29Kajian

ALOR SETAR 29 Oktober -  Jabatan Mineral dan Geosains Kedah memerlukan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kajian geofizik di kawasan Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, perkara itu penting kerana setiap kajian memerlukan dana yang tinggi.

“Kerajaan perlu memandang serius perkara ini. Jabatan Mineral dan Geosains amat memerlukan dana dalam melakukan kajian di kawasan Kampung Lahar, Bongor, Baling. Mereka hanya ada kepakaran, tetapi tidak cukup dana,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Kompleks Pentadbiran Anak Bukit.

Menurutnya, anggaran RM100,000 diperlukan sebagai permulaan untuk melakukan kajian di kawasan berkenaan. Setiap kajian memerlukan kos sehingga RM30,000 di sesuatu kawasan. Mereka tidak cukup dana untuk melakukan kajian seperti itu.

“Saya harap Kerajaan dapat melakukan tindakan segera sebelum perkara buruk berlaku kerana ia demi masa depan dan keselamatan penduduk Baling,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu mahu pembinaan masjid di Pekan Baling yang berdekatan dengan Gunung Baling perlu mendapatkan kelulusan teknikal daripada Jabatan Mineral dan Geosains.

Tambahnya, ia kerana Gunung Baling secara dasarnya dipenuhi dengan batu kapur dan mengundang bahaya kepada setiap pembinaan di kawasan berhampiran.

Sumber : UMTK

29Bangunan
ALOR SETAR 29 Oktober – Bangunan kosong akan diubahsuai menjadi asrama wanita Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil bagi menampung keperluan pelajar yang belum mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, proses pembinaan asrama yang sebelum ini terbengkalai dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi tetapi hanya mampu menampung kira-kira 1,000 orang.


Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah KUIN memberitahu, bangunan kosong yang diubahsuai turut dilengkapi kemudahan bilik air dan boleh menempatkan tambahan 1,000 pelajar.


“Mesyuarat teknikal mengenai perpindahan KUIN akan diadakan selepas sesi lawatan ke kawasan asrama dan bangunan kosong. Semua pelajar wanita akan ditempatkan di asrama dalam kampus manakala pelajar lelaki di rumah sewa di Taman Insaniah,” ujarnya.


Menurutnya, Pengurusan Perumahan Rakyat 1Malaysia juga bersetuju membeli beberapa rumah di Taman Insaniah untuk kemudahan kakitangan. Bagaimanapun, kuarters pensyarah masih dalam pembinaan dan sementara waktu, mereka masih tinggal di Mergong.

Sumber : UMTK


29tapak

ALOR SETAR 29 Oktober-  Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan Bandar Sains dan Perubatan Kedah di Bandar Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, projek itu bertujuan menggalakkan pelaburan tempatan dan asing dalam bidang sains dan perubatan.

Selain itu, katanya, ia juga memastikan proses pembangunan dapat dikembangkan ke kawasan Bandar Baharu yang merupakan daerah paling selatan di negeri ini.

“Projek ini diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir baru-baru ini. Buat masa ini, tapak tanah telah dikenal pasti dan kita juga giat mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain utama dalam industri sains dan perubatan untuk menanam modal di situ,” ujarnya.

Setakat ini, katanya, beberapa syarikat dari Eropah dan Jerman telah menunjukkan minat untuk melabur.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, jika tiada sebarang masalah, projek Bandar Sains dan Perubatan Kedah itu akan dimulakan dalam tempoh setahun dari sekarang.

Sumber : UMTK

28aktif

ALOR SETAR 28 Oktober– Semua bilik kuarantin di pintu masuk sempadan negeri dan lapangan terbang sudah diaktifkan bagi menjalankan pemantauan rapi terhadap wabak Ebola.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, bilik kuarantin itu kini ditempatkan di pintu masuk sempadan utama iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Beliau berkata, langkah itu adalah persediaan awal bagi menangani isu wabak Ebola yang berkemungkinan besar boleh disebarkan oleh pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini.

“Kita sudah melakukan persiapan secukupnya bagi mengesan penyebaran penyakit Ebola termasuk mengambil langkah proaktif ketika menyambut kepulangan jemaah haji baru-baru ini. Malah, sejak awal lagi ketika penyakit itu menunjukkan tanda serius terutama di negara Afrika Barat, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan arahan kepada setiap Pejabat Kesihatan Negeri supaya mengambil langkah sepatutnya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, semua kakitangan kesihatan yang terbabit diarahkan supaya memakai peralatan perlindungan persendirian bagi mengelakkan jangkitan.

Sumber: UMTK

28Doktor

ALOR SETAR 28 Oktober – Kira-kira 300 penduduk sekitar Daerah Kota Setar mengambil peluang mendapatkan rawatan kesihatan percuma pada program Klinik Percuma Penyayang dan Kempen Derma Darah di Dewan Orang Ramai, Flat Setia Jaya.

Seorang penduduk, Nor Zuhanif Darus, 26 tahun dari Taman Perumahan Awam Mergong berkata, dia mengambil kesempatan itu untuk berjumpa dengan doktor pakar mata bagi membuat rawatan matanya yang semakin kabur sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Perunding Persatuan Gerak Medical Alor Setar, Dr Teh Hak Lian berkata, program ini bertujuan membantu penduduk berpendapatan rendah mendapatkan rawatan dengan doktor pakar.

Program itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Kedah (BIDARA), Tok Puan Norzieta Zakaria.

Sumber : UMTK

27boleh
Oleh Opat Rattanachot

SUNGAI PETANI 27 Oktober - Rakyat negeri Kedah yang kematian ahli keluarga mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan khairat kematian sebanyak RM250 seorang.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad berkata, bantuan berkenaan merupakan sumbangan daripada kerajaan negeri dan disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing atau menerusi penyelaras yang dilantik.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, banyak pihak tidak mengetahui bantuan khairat kematian tersebut.

“Khairat kematian ini diperkenalkan kerajaan negeri mulai Januari lalu. Ia diagihkan secara berperingkat. Bantuan ini disalurkan kepada waris yang mana orang meninggal dunia itu merupakan anak Kedah dan menetap di negeri ini semasa hayatnya.

“Sungguhpun begitu ramai masih tidak tahu wujudnya bantuan berkenaan malah ada juga pihak-pihak tidak bertanggungjawab mempolitikkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khairat kematian kepada 30 waris penduduk Mukim Sidam Kiri di Kampung Padang Buluh dekat sini hari ini.
Yang hadir bersama ialah Penghulu Mukim Sidam Kiri, Mahdzir Mahmud dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Mashitoh Mohd. Yusof.

Abdul Rahim berkata, sumbangan khairat kematian berkenaan juga disalurkan kepada rakyat negeri Kedah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Sehubungan itu, mereka yang kehilangan ahli keluarga sejak Januari lalu hingga kini, boleh membuat permohonan dengan mengisi borang dan mengepil bersama salinan kad pengenalan waris serta salinan sijil kematian atau permit perkuburan.

“Borang permohonan boleh didapati di pejabat UMNO Bahagian atau pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) berdekatan,” katanya.

Sumber : UTUSAN

27ambiltindakan
PADANG TERAP 27 Oktober– Semua premis hotel bajet dan rumah tumpangan di negeri ini yang dikesan beroperasi secara haram sehingga boleh mengancam keselamatan pengunjung akan ditutup serta-merta untuk mengelak sebarang kejadian buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya akan mengetengahkan perkara berkenaan dalam mesyuarat  Kerajaan Negeri untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima laporan berhubung kewujudan  120 rumah tumpangan  dalam kawasan perumahan termasuk di Simpang Kuala, Alor Setar yang didapati diubah suai dengan pembinaan pintu besi hingga boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kebakaran.

“Kami akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah untuk memastikan tahap keselamatan premis berkenaan dan sekiranya ia beroperasi secara haram serta berbahaya kepada pengunjung maka kami perlu mengambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Ikhlas Barakah Warga Pendidikan Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang.

Selain itu, katanya, kewujudan rumah tumpangan haram di kawasan perumahan ini dikatakan turut menggalakkan aktiviti sosial dalam kalangan remaja.

Pada majlis itu, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menyerahkan wang tunai RM1,000 manakala YB. Badrol Hisham Hashim turut memberi sumbangan peribadi kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dalam kereta bapanya di perkarangan sekolah berkenaan pada 20 Ogos 2014.

Sumber : UMTK

ALOR SETAR 27 Oktober - Seorang wakil rakyat atau Yang Berhormat perlu memahami setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan menjadikan tugas sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.


Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, menjadi satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang wakil rakyat dalam menyelesaikan setiap masalah yang berlaku agar jalinan kerjasama antara rakyat dan Kerajaan Negeri berjalan dengan baik dan sempurna.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu meletakkan rakyat sebagai fokus utama dan kita tidak seharusnya membelakangi rakyat kerana tanpa rakyat, sesebuah Kerajaan tidak dapat dibentuk melalui pilihanraya,” katanya pada majlis Amanat Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Beliau menjelaskan, penumpuan terhadap pembangunan juga perlu diberikan perhatian dalam usaha mensejahterakan rakyat di samping menitikberatkan hubungan antara wakil rakyat dengan rakyat.
“Konsep integriti perlu diamalkan agar pendekatan yang diambil mampu memberikan keselesaan kepada rakyat serta berupaya mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka  Syeikh Muhamad Baderudin Haji Ahmad.

Sumber : UMTK


24Mek
 Oleh Mohd. Rafie Azimi

KUBANG PASU 24 Oktober - Kesenian Mek Mulung yang wujud sejak lebih 400 tahun lalu diisytiharkan sebagai Seni Warisan Kedah yang akan dipelihara dan diangkat ke peringkat antarabangsa bagi memastikannya tidak luput ditelan zaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pengiktirafan itu dibuat setelah mengambil kira fakta bahawa Kedah merupakan satu-satunya ne­geri di mana Mek Mulung sudah dimainkan dari generasi ke generasi sejak sekian lama.

“Susulan pengiktirafan ini, pelbagai usaha akan digerakkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak tertentu khususnya, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) untuk membawa Mek Mulung ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Usaha tersebut diharap mampu membuka jalan untuk membolehkan Mek Mulung dipertimbangkan sebagai warisan dunia oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan Pelancaran Buku Mek Mulung di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini mengumpulkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada kalangan penulis dan saste­rawan tempatan.

Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa menerusi penulisan selain membantu Malaysia mencapai matlamat sebagai negara maju bertamadun besar.
 
“Penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini merupakan penghargaan serta tanda sokongan kepada industri penulisan negara. Diharapkan semoga yayasan ini dapat menggerakkan industri penulisan negara menjadi lebih aktif,” ujarnya.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Mukhriz meng­anggap penganjurannya sebagai rahmat bagi negeri ini kerana ia secara tidak langsung membawa masyarakat untuk turut serta dalam perjuangan membentuk gagasan baharu sastera negara yang sememangnya diketahui umum menjadi antara kayu ukur tamadun sesebuah bangsa.

“Sedar atau tidak, sastera adalah bidang seni kreatif yang mempunyai keupayaan besar untuk membangunkan nilai kemanusiaan tinggi pada setiap individu dan menuntut penulis mencari jalan untuk merawat dan memulih jiwa masyarakat majmuk di negara ini menerusi penulisan.

“Hakikatnya, penulis tidak hanya perlu kreatif malah perlu memiliki semangat sebagai seorang pejuang, jiwa patriotik, azam, kesungguhan dan kemahuan besar untuk melahirkan karya yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya.

Sumber : Utusan

20perlu dana
ALOR SETAR 20 Oktober – Kerajaan diminta menyediakan dana khas untuk tujuan pemuliharaan tinggalan sejarah yang berpotensi menjadi produk pelancongan yang baru dan berharga di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, sektor pelancongan tidak hanya bergantung kepada program yang diadakan, namun ia lebih kepada produk yang ada di sesuatu kawasan.

Menurutnya, Kerajaan perlu memperuntukkan dana khas untuk aktiviti pemuliharaan warisan serta tinggalan sejarah yang wujud seperti fosil trilobite, sekaligus mampu menjadi tarikan pelancongan ke negeri ini.

“Saya juga akan minta peruntukan atau dana khas supaya mewujudkan muzium fosil atau batu supaya kita boleh simpan khazanah tersebut,” ujarnya.

Sumber: UMTK

20Kemudahan
ALOR SETAR 20 Oktober – Selaras perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan informasi (ICT), sebanyak 36 masjid di seluruh negeri ini turut dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (Wi-Fi) percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pemasangan Wi-Fi berkenaan bagi memudahkan proses komunikasi dan mendapatkan maklumat mengenai sistem atas talian kepada orang ramai.

“Kemudahan Wi-Fi ini disediakan sempena program e-masjid dan e-Kitab yang menyediakan pelbagai aplikasi untuk kemudahan orang ramai. Menerusi kemudahan ini, ia secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai jemaah terutama golongan muda untuk mengimarahkan masjid,” ujarnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini giat merancang dan melaksanakan banyak aplikasi menggunakan jalur lebar bagi kemudahan rakyat untuk mengakses maklumat, malah Pusat Transformasi Digital Kedah di Bangunan UTC  turut dilancar pada September 2014.

“Pusat transformasi ini berperanan sebagai Pusat Sehenti yang memberikan kemudahan internet untuk orang ramai mengakses pelbagai maklumat,” katanya.

Sumber : UMTK


19pameran
ALOR SETAR 19 Oktober– Kira-kira 80,000 orang dijangka menyaksikan sembilan dinosaur animatronik di Pameran Petrosains Dino Trek 2 yang diadakan di Balai Seni Negeri.

Pengerusi Lembaga Petrosains, Norliza Kamarudin berkata, pameran selama lapan bulan itu memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman sebenar seperti berada ketika di zaman reptilia itu.

Menurutnya, dinosaur animatronik yang dipamerkan boleh mengeluarkan bunyi dan bergerak. Pameran itu boleh menjadi pencetus minat untuk mengenali bidang sains secara tidak langsung.

“Program tersebut perlu mempunyai sokongan dan kerjasama daripada swasta dan Kerajaan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat untuk meningkatkan ilmu dalam bidang sains paleontologi.

Pameran Petrosains Dino Trek 2 itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar.

Sumber: UMTK

19Penantian
ALOR SETAR 19 Oktober – Masalah ruangan terhad dialami anak kariah Masjid Halim Shah Seberang Pantai Johor selesai selepas menerima bangunan baru yang kini mampu memuatkan lebih 1,400 anak kariah.

Timbalan Pengerusi masjid, Jaafar Tajuddin, 68 tahun berkata, bangunan masjid lama sebelum ini kecil dan hanya mampu memuatkan lebih kurang 800 anak kariah dalam satu-satu masa.

“Ruang solat dan tempat letak kereta terhad menyebabkan anak kariah tidak selesa. Namun, penantian dua tahun kami berakhir melalui kerja menaiktarafkan masjid ini,” katanya pada majlis penyerahan Masjid Halim Shah Seberang Pantai Johor di perkarangan masjid itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata.

Sumber : UMTK

ALOR SETAR 18 Oktober - Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah, menyasarkan untuk mencapai taraf universiti penuh pada 2016.

Rektornya, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim berkata, Kuin kini sebenarnya sudah hampir sempurna untuk mencapai status tersebut berdasarkan kemudahan yang ada selain pensyarah yang berkelayakan dan program yang ditawarkan juga lengkap.

Katanya, sebagai perancangan ke arah itu, operasi Kuin dan kebanyakan pelajar akan berpindah dari kampus sementara di Mergong di sini ke kampus tetap di Kuala Ketil pada Disember ini memandangkan semua kemudahan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Dari segi operasi kita pindah secara berperingkat. Yang tinggal hanya Kuliyyah Perubatan, Kaunseling dan Kejururawatan yang akan kekal di kampus Mergong, kerana lesennya di situ. Yang lain akan ke Kuala Ketil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis “Dialog Mengenai Dimensi Masa Depan Kewangan dan Perbankan Islam (IBF) di Malaysia” di sini hari ini. - BERNAMA.

Sumber: Utusan

LANGKAWI 18 Oktober - Peringkat keempat Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) Tradewinds 2014 menyaksikan Eva Lechner dari pasukan Colnago Sudtirol mengekalkan kedudkannya selaku pendahulu kategori elit wanita apabila menaiki tangga pertama podium buat kali kedua berturut-turut semalam.

Lechner menamatkan perlumbaan dengan masa satu jam 11 minit 17.70 saat, meninggalkan pelumba kebangsaan Slovenia, Blaza Klemencic (1'12:45.40s) di tempat kedua manakala Tanja Zakelj dari pasukan Unior Tools (1'13:25.90s) ketiga dalam saingan di trek Langkawi Geopark sejauh 4.1 kilometer dengan lima pusingan.

Kini, tumpuan lebih terarah kepada Lechner yang masih lagi mempertahankan jersi merah jambu setelah mengumpul masa terpantas 8'45:07.00s keseluruhan dengan persaingan untuk bergelar juara kategori elit wanita akan ditentukan dalam peringkat terakhir hari ini.

Dia kini berada 9:50.60s di hadapan Zakelj, diikuti Klemencic di tangga ketiga dengan berada 12:54.10s di belakang Lechner.

Bagi pelumba Itali itu, dia berpuas hati kerana segala perancangan yang diatur membuahkan hasil dan merapatkannya dengan habuan utama bernilai AS$15,000 (RM4,9257).

"Saya harap fizikal dan mental saya dalam keadaan cergas serta cerdas. Kalau semuanya berjalan lancar, sudah pasti saya akan meraih kemenangan. Lagi pun jarak keseluruhan masa di antara pelumba kedua dan ketiga terlalu jauh," katanya yang optimis akan dapat menebus kekecewaan selepas menduduki tempat ketiga pada edisi lalu.

Sementara itu, ratu basikal bukit kebangsaan, Masziyaton Mohd. Radzi berjaya memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga kelapan di peringkat keempat dengan rekod masa 1'26:52.70s manakala rakan senegara, Juss Junaidah di tempat ke-11 (1'29:52.70s).

Setakat ini, Masziyaton masih lagi mengungguli kelompok terbaik wanita Asia dengan merakam masa 10'46:32.10s keseluruhan, mengetepikan 17 peserta negara lain yang terdiri daripada pelumba Indonesia, Thailand, Filipina, China dan Timor Leste.

"Untuk perlumbaan terakhir esok, saya mahu buktikan bahawa pelumba wanita Malaysia boleh memberikan saingan sengit seterusnya mengekalkan kedudukan No. 1 Asia," katanya.

Sementara itu jersi hijau master lelaki masih kekal milik pelumba Britain, Nicholas Craig yang berjaya muncul juara peringkat keempat dengan catatan masa 40:17.60s, manakala jersi biru senior master lelaki masih disarung oleh Mads Boedker dari Denmark (44:34.50s).

Kategori terbuka lelaki pula dimenangi Surachet Sing-Jui dari pasukan Endurace Thailand dengan masa 44:12.10s.

Sumber : Utusan

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK

LANGKAWI 18 Oktober- Perlumbaan peringkat terakhir dalam Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) Tradewinds 2014 di sini hari ini bakal menyaksikan pertarungan sengit tiga pelumba Eropah bagi merebut kejuaraan kategori elit lelaki. Pelumba kebangsaan Slovakia, Michal Lami yang merupakan pendatang baharu LIMBC setakat ini mendahului dengan masa lapan jam 45 minit 18.50 saat.

Dia bagaimanapun diekori rapat juara 2011, Karl Platt dari pasukan Bulls yang hanya ketinggalan satu minit 15 saat di belakangnya, diikuti pelumba Giant Pro XC, Fabian Giger (juara 2012, +3:38.60s). Lami, 28, berkata dia tiada sebarang ramuan istimewa untuk dipamerkan dalam saingan akhir hari ini, melainkan melakukan yang terbaik untuk merebut ganjaran utama bernilai AS$15,000 (RM49,110).

"Saya akan cuba sedaya upaya mempertahankan jersi kuning ini. Siri terakhir (peringkat kelima) ini nampaknya sangat sengit. Jarak masa mereka (Karl dan Fabian) dengan saya sangat rapat. "Malah, mereka mempunyai pengalaman di sini. Apa sahaja boleh berlaku esok," katanya.

Dalam saingan peringkat keempat kategori elit lelaki semalam, Giger meraih tempat pertama dengan masa 1'11:14.40s di trek Langkawi Geopark sejauh 4.1 kilometer (km) dengan enam pusingan. Begitu pun, Lami yang menduduki tangga kedua dengan catatan masa 1'11:18.30s berjaya menyambar jersi kuning yang dimiliki oleh Platt kelmarin apabila pesaingnya itu gagal menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas (1'13:31.50s).

Platt bagaimanapun masih bertekad untuk melakukan yang terbaik. "Tidak mustahil saya mampu memperoleh kejuaraan. Ini peluang saya untuk memperoleh kejuaraan kali kedua. Saya tidak akan lepaskannya," katanya. Peringkat terakhir hari ini menyaksikan seramai 67 pelumba perlu menamatkan perlumbaan dalam tempoh 30 minit di trek yang diberi nama Lagenda Park Short Circuit sejauh 1.3 km.

Sumber: UTUSAN

16Peluang
ALOR SETAR 16 Oktober - Penduduk negeri ini kini berpeluang melihat haiwan prasejarah dinosaur dalam pameran bergerak Petrosains DinoTrek 2 di Balai Seni Negeri yang bermula Sabtu lalu sehingga Mei tahun depan.

Pameran anjuran pusat penerokaan sains kontemporari, Petrosains yang terletak di Suria KLCC, Kuala Lumpur itu merupakan yang kedua selepas siri pertamanya di negeri ini pada 2004.
Bagaimanapun pameran kali ini lebih menarik dengan sembilan dinosaur animatronik, 12 pameran interaktif serta pelbagai aktiviti lain yang menawarkan pengalaman berguna kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains, Norliza Kamaruddin, Petrosains komited untuk menggalakkan rakyat menjadi celik sains serta untuk mencetuskan minat rakyat dalam mempelajari bidang itu.

"Kami hendak seramai mungkin datang melihat pameran seperti ini. Kami mahu pupuk pembelajaran interaktif untuk memupuk semangat kanak-kanak mempelajari sains," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

'Petrosains DinoTrek' dianjurkan buat pertama kali pada 2003 di KLCC sebelum dibawa ke negeri lain pada 2004 bermula dengan Kedah, diikuti Terengganu, Sabah dan Sarawak selama empat tahun.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, pameran tersebut sehingga kini berjaya menarik 1.5 juta pengunjung di seluruh negara dan sebanyak 80,000 pengunjung disasarkan untuk pameran di negeri ini kali ini.

"Kali pertama di negeri ini diadakan di Muzium Kedah. Kali ini lebih besar dan lebih menarik kerana ada sembilan animatronik dan 12 pameran interaktif," katanya.
Pameran dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan harga tiket adalah RM10 bagi dewasa, remaja dan kanak-kanak (RM5), rombongan sekolah (RM4), pakej keluarga iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak (RM20) manakala kanak-kanak bawah empat tahun percuma.

Sumber : Utusan

16 Konvoi
ALOR SETAR 16 Oktober – Seramai 50 wakil media menyertai program Sahabat Media-Discover Kedah Agro Trail sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 anjuran Majalah Santai Travel dan Pelancongan Malaysia.

Program empat hari itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Dalam program itu, semua media berkenaan yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dibawa ke setiap lokasi produk pertanian terkenal di negeri ini.

Konvoi yang membabitkan 20 kenderaan pacuan empat roda itu dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah.

Sumber : UMTK


16mulaprojek
ALOR SETAR 16 Oktober– Projek pembangunan semula Pekan Rabu akan dimulakan selepas kesemua 277 peniaga di pusat membeli-belah itu berpindah ke lokasi sementara di Ukir Mall, dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, proses perpindahan peniaga di situ sepatutnya dijadualkan pada Ogos 2014 tetapi masih tertangguh sehingga kini.
Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan kerja-kerja merobohkan dan membina semula Pekan Rabu belum dapat dilaksanakan meskipun peruntukannya sudah disediakan.

“Kita akui proses ini mengambil sedikit masa kerana mahu memastikan ia berjalan lancar dan teratur demi kepentingan peniaga yang terlibat. Bagaimanapun, usaha ke arahnya sedang giat dilaksanakan dan kita menjangkakan kesemua peniaga dapat dipindahkan ke lokasi sementara di Ukir Mall dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai segelintir peniaga yang membantah perpindahan ke Ukir Mall itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri sudah mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan melihat lokasi berkenaan sangat sesuai bagi tujuan itu.

Sumber: UMTK

15 Kesejahteraan\
KULIM 15 Oktober– Kerajaan Negeri  akan terus memberikan perhatian yang sebaiknya dalam usaha mensejahterakan rakyat di samping melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk keselesaan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan diberikan keutamaan dan tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Rakyat boleh mengemukakan permasalahan yang berlaku di tempat mereka. Kita akan meneliti setiap masalah yang berlaku itu sebelum tindakan diambil untuk mengatasinya,” katanya pada majlis perasmian Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kulim yang diadakan di Dataran Kulim.

Beliau menjelaskan, Program Mesra Rakyat anjuran Kerajaan Negeri Kedah adalah antara program yang diharap mampu mendekatkan rakyat dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Kedah.

“Program Mesra Rakyat yang diadakan selama dua hari ini adalah langkah terbaik dalam usaha mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat,” ujarnya.

Sumber : UMTK

15ketajamanKULIM 15 Oktober- Kemenangan mengatasi pasukan Kelantan 3-0 pada aksi suku akhir Piala Malaysia membuktikan bahawa pasukan Kedah setanding dengan pasukan-pasukan lain.

Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketajaman serangan adalah nadi utama yang membawa kepada kemenangan pasukan Kedah pada perlawanan itu.

“Sokongan daripada peminat-peminat Hijau Kuning juga adalah pencetus kepada kemenangan itu dan pemain-pemain dilihat tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pembangunan di Pejabat Daerah dan Tanah Kulim sempena Program Mesra Rakyat Daerah Kulim.

Bagaimanapun, katanya, kelemahan yang ada perlu diperbaiki semula apabila bertemu pasukan Pahang pada aksi separuh akhir Piala Malaysia dalam usaha memburu tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sumber:UMTK

15 Pelbagai Projek
KULIM 15 Oktober– Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai projek di daerah ini yang bertujuan untuk memberi kemudahan yang terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara projek yang akan dilaksanakan ialah membaiki Surau Batu 12 Kampung Terap dengan peruntukan sebanyak RM12,000.

“Kita juga akan menaiktaraf jalan dari Kampung Indah ke Durian Burung dengan peruntukan sebanyak  RM200,000. Di samping itu, kita turut menaiktaraf jalan di Kampung Sidam Kanan dan Kampung Tanjung Belit dengan peruntukan sebanyak RM250,000,” ujarnya pada majlis perasmian Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kulim di Kampung Terap.

Menurutnya, peruntukan untuk menaiktaraf pagar Taman Selasih sebanyak RM62,000 serta menaiktaraf longkang di Medan Citarasa dengan peruntukan sebanyak RM60,000 diharap mampu memberikan keselesaan kepada rakyat.

“Masjid Kampung Terap juga perlu diperbaiki semula dengan anggaran kos sebanyak RM40,000 di samping membina dewan baru bagi menggantikan dewan yang sedia ada iaitu Dewan Baru Guar Lobak dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” katanya.

Sumber : UMTK

15mesraKULIM 15 Oktober–  Sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ketika bertemu rakyat yang secara tidak langsung menunjukkan ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Inilah yang dibuktikan oleh beliau pada Program Walk About di Medan Citarasa  serta  lawatan ke Stesyen Bas dan Teksi, Kulim sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kulim yang bertujuan untuk mendekatkan Kerajaan Negeri dengan rakyat.

Program yang diadakan itu diharap mampu menjalinkan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dengan rakyat di negeri ini di samping menyelami setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Sumber: UMTK

SUNGAI PETANI 14 Oktober - Seramai 25 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai kempen 'RM1 Million for Gaza' anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Wilayah Utara di Jalan Kem Sungai Layar, Sungai Petani di sini, kelmarin.

Majlis pelancaran konvoi itu yang menuju ke beberapa destinasi bagi mendapat sumbangan dana daripada orang ramai disempurnakan oleh Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid di Pejabat Mapim di sini.

Ketika berucap di majlis itu, Azmi berkata, sambutan dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi menyertai program itu, adalah baik sekali.

"Apa yang kita harap setiap lokasi disinggah oleh anggota konvoi selama 15 hingga 30 minit akan menarik perhatian orang ramai untuk memberi sumbangan masing-masing," katanya.

Menurutnya, terpulang kepada orang ramai untuk menghulur sumbangan sekadar yang mampu di lokasi ditetapkan seluruh negara.

"Usaha dilakukan ini hendaknya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu membebaskan Palestin bukan lagi isu agama, tetapi ia adalah mengenai kemanusiaan. "Ia berupaya menggerakkan masyarakat untuk sama-sama membantu melalui sebarang cara yang difikirkan sesuai bagi mengumpul dana hingga mencecah RM1 juta bagi membangunkan semula Gaza khususnya dan Palestin akibat perang itu," katanya.

Urusetia konvoi itu, Nurul Fikriyah Abdul Halim memberitahu, peserta yang menyertai konvoi terdiri pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Saya berharap peserta berupaya membuat pendekatan menarik di setiap lokasi sehingga 25 Disember nanti bagi mendapat sumbangan," katanya.

Sumber: Utusan
ALOR SETAR 9 Oktober- Kira-kira 370 peniaga di Pekan Rabu akan mula berpindah secara berperingkat-peringkat ke lokasi sementara di Ukir Mall mulai minggu depan sehingga 25 Oktober ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula pusat perniagaan tersebut.

Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Leftenan Kolonel (B) Lutfi Ahmad Ghazi berkata, tapak perniagaan di Pekan Rabu itu perlu dikosongkan oleh semua peniaga di situ pada 26 Oktober ini.

"Kita akui ada segelintir peniaga yang enggan berpindah ke lokasi sementara tetapi kita telah pujuk dan beri nasihat kepada mereka bahawa perpindahan ini adalah untuk masa depan mereka juga.

"Projek pembangunan semula Pekan Rabu ini perlu dijalankan dan semua peniaga harus akur untuk berpindah ke lokasi sementara di Ukir Mall," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini projek pembinaan semula pusat tarikan pelancong di Kedah itu dijangka dilaksanakan bermula November ini membabitkan peruntukan sebanyak RM53 juta dengan peniaga diminta mengosongkan bangunan lama itu pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, proses perpindahan peniaga di Pekan Rabu yang dijadualkan Ogos lalu tersebut, tertangguh hingga kini ekoran terdapat peniaga yang enggan berpindah ke Ukir Mall.

Reka bentuk baharu Kompleks Pekan Rabu membabitkan pertambahan kedai sebanyak 78 unit, sekali gus menjadikan keseluruhan ruang niaga berjumlah 355 unit dan 216 tempat letak kereta.

Menurut Lutfi, peniaga-peniaga di Pekan Rabu sebenarnya enggan berpindah kerana bimbang pendapatan mereka terjejas di lokasi baharu.

"Pihak kami akan menghebahkan perpindahan peniaga Pekan Rabu ke Ukir Mall ini menggunakan media sosial, iklan di radio serta akhbar.

"Peniaga-peniaga Pekan Rabu dijangka perlu berniaga di Ukir Mall dalam tempoh dua hingga dua setengah tahun bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula Pekan Rabu," jelasnya.

Sumber: UTUSAN


9bajet
ALOR SETAR 9 Oktober– Kerajaan Negeri berharap pembentangan Bajet 2015 akan memberi lebih tumpuan kepada golongan penoreh khususnya di kawasan pedalaman termasuk di Kedah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun ada keperluan dari segi bantuan perumahan, infrastruktur dan bekalan air masyarakat luar bandar, namun kemerosotan harga getah memberi tekanan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam industri berkenaan.

Menurutnya, mereka pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan menyenaraikan lima cadangan untuk mengurangkan bebanan yang terpaksa dipikul penoreh dan pengusaha getah.

“Ada cadangan yang dipersetujui ialah berian one-off geran bantuan rakyat. Cadangan lain termasuk langkah meningkatkan hasil getah melalui pembiayaan baja dan memansuhkan bayaran tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman.

Dalam perkembangan lain, Program Mesra Rakyat kali keempat akan diadakan di Kulim pada 11 dan 12 Oktober 2014 yang bertujuan untuk memberi penerangan mengenai perancangan Kerajaan Negeri.

Sumber: UMTK
9industri
ALOR SETAR 9 Oktober–  Industri  perlebahan di negara ini kian mendapat perhatian serta menjadi popular di kalangan penternak lebah individu dan swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, sehingga kini, terdapat lebih daripada 730 usahawan telah menceburkan diri dalam industri lebah negara.

“Industri lebah terkenal dengan khasiat perubatan madu seperti antibakteria, antikulat, antikolesterol dan  antivirus manakala produk-produk lebah pula seperti madu, propolis dan royal jelly,” katanya pada majlis perasmian Roadshow Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah Zon Utara yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian Telok Chengai.

Menurutnya, program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah khususnya bagi golongan belia yang berumur di bawah 40 tahun. “Ia secara tidak langsung mampu mempromosikan aktiviti perlebahan yang merupakan salah satu sumber ekonomi kepada golongan belia pada masa kini. Di samping memberi peluang untuk mendaftarkan belia-belia di kawasan Zon Utara untuk mendaftarkan mereka bagi menyertai Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah anjuran Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia di Jabatan Pertanian Malaysia, Hajah Rasnani Arifin; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh dan Timbalan Pengarah Pertanian Bahagian Pengembangan di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman.

Sumber: UMTK
9SUMBER
BALING 9 Oktober-  Dari jauh sekiranya anda melalui Kampung Mengkuang Hujung, aroma bau harum gorengan biji kopi semerbak dapat dihidu. Lantas, sesiapa sahaja pasti teruja untuk menikmati secawan kopi yang hitam pekat buat membasahi tekak yang kehausan.

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa di situ terletak sebuah kilang pemprosesan kopi berjenama yang terkenal terutamanya di utara tanah air iaitu Kopi Cap Gantang. Ia merupakan usaha seorang anak muda, Mohamed Hassan Mohamed Rawter, 49 tahun, anak kelahiran Kampung Kubang Rotan, Alor Setar, sejak 2002 yang membuahkan hasil yang membanggakan.
                 
Mohamed Hassan yang mulanya hanya sebagai pekerja di sebuah kilang pengeluar serbuk kopi di Kuala Pegang, Baling, kini menjadi pemilik sebuah kilang kopi terkemuka di daerah utara. Bercerita pengalaman lalu, menurut Mohamed Hassan, ketika bekerja makan gaji dahulu, beliau menggunakan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu.

Ketika di kilang itu, beliau bekerja bersungguh-sungguh sehingga diberikan kepercayaan oleh pemilik kilang berkenaan untuk membantu menguruskan perniagaannya. Setelah bekerja beberapa tahun, Mohamed Hassan kemudian bertemu jodoh dengan seorang gadis, Zarulaswah Mohd Nayan, 45 tahun, juga kerana secawan kopi.

Sama ada kebetulan atau tidak tetapi sesuatu yang pasti jodoh itu rahsia Allah, menikmati hidangan kopi yang disajikan gadis itu menyebabkan Mohamed Hassan jatuh cinta lantas melamarnya.  Demikian juga demi mencipta masa depan yang cemerlang untuk keluarga, beliau bercita-cita untuk menjadi 'tauke' kopi yang berjaya dan terkemuka.

Akhirnya, anak sulung daripada empat beradik yang berjiwa kental itu memberanikan diri berhijrah dari kampung halamannya sekitar tahun 1980-an untuk memenuhi impiannya membuka perniagaan sendiri.  Bermodalkan hanya RM500 ketika itu, beliau membuka perniagaan sendiri dengan mengeluarkan serbuk kopi secara kecil-kecilan di Kuala Pegang.

Berkat usaha gigih yang tidak mengenal erti jemu, perniagaan kopi dengan jenama Kopi Cap Gantang semakin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemarnya. Pengalaman sejak tahun 2002 membolehkan Mohamed Hassan layak menerima pelbagai pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Antaranya, beliau dianugerahkan sebagai Peladang Jaya Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008 di Serdang, Selangor. Mengenai kelazatan dan keenakan rasa kopi yang harum semerbak, beliau menggunakan biji kopi jenis Robusta yang dibelinya sendiri dari Indonesia sebagai bahan mentah.

Kopi yang dihasilkannya itu mempunyai aroma keharuman yang tersendiri dan kelazatan yang boleh menyegarkan tekak dan pernafasan serta lebih segar dan amat baik untuk kesihatan. Kilangnya kini memerlukan 16 tan biji kopi setiap bulan untuk menampung permintaannya di pasaran.

Syarikat Gantang Enterprise Serbuk Kopi Warisan Kita mengeluarkan kopi dalam bentuk bungkusan seberat 70 gram, 150 gram, 320 gram dan 650 gram dengan harga antara RM1 hingga RM7 setiap satu. Pasarannya  adalah di sekitar Kedah, Perlis dan Perak dengan melantik lima pengedar untuk mengurus pengedaran kopi Cap Gantang ke semua tempat yang memerlukannya.

Antara agensi kerajaan yang banyak membantu dalam menyuntik modal dan kepakaran selain daripada nasihat yang diberikan ialah Agrobank, Tekun Nasional, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang banyak membantunya untuk merealisasikan impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Sumber: UMTK

08 Okt KEDA
ALOR SETAR 08 Oktober– Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menumbangkan 21 lembu pada Majlis Korban Perdana KEDA.

Majlis yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Pakatan Setia  1Malaysia  (PS1M) dan Pertubuhan Silat Kebangsaan Kedah (PESAKA).

Pengurus Besar KEDA, Dato’ Mohd Arpan Shari berkata, penganjuran program itu adalah sebagai tanggungjawab sosial untuk mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat.

“Kita mahu semua ahli NGO dan masyarakat setempat dapat bersatu padu dan saling menghormati tanpa mengira perbezaan ideologi,” katanya pada Majlis Korban Perdana KEDA bersama NGO Kedah di Dataran KEDA, Jalan Langgar.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK

8penyerahan
SUNGAI PETANI 8 Oktober – Penyerahan agihan lermbu korban sempena Hari Raya Aidiladha dijadikan sebagai acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri  dengan kerjasama anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah (GLC).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri masih mampu untuk membantu rakyat terutama menjelang Hari Raya Aidiladha yang disambut pada setiap tahun.

“Harga lembu sekarang amat tinggi berbanding sebelum ini. Walaubagaimanapun, kita tetap mengagihkan sebanyak 455 ekor lembu pada tahun ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Jabatan serta Persatuan,” katanya pada majlis penyerahan agihan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Pusat Latihan Rela Bukit Selambau.

Menurutnya, pengagihan lembu ini diharap mampu mendekatkan Kerajaan Negeri dengan agensi Kerajaan serta persatuan yang ada di negeri ini.

Sumber : UMTK

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR 8 Oktober - Sebanyak 10,973 petani terlibat di dalam projek estet padi yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak dimulakan pada 2011 bagi meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, pencapaian keluasan sehingga kini mencapai 19,024 hektar dan tahun ini penubuhan projek melibatkan peserta baharu sedang giat dilaksanakan.

"Sehingga 24 September lalu sebanyak 2,234 petani baharu dengan kawasan seluas 3,865 hektar telah menyertai projek estet padi ini.

"Pihak MADA berharap lebih ramai lagi peserta akan terlibat dengan projek estet padi ini dalam usaha menambah pendapatan mereka," katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang Kawasan Alor Senibong di sini baru-baru ini.

Menurut Othman, sehingga musim 2/2014 sebanyak RM129.69 juta telah diagihkan kepada peserta projek merangkumi projek bagi 2011,2012 dan 2013.

"Pemberian insentif ini merupakan salah satu manfaat dan galakan yang diberikan kepada petani untuk menyertai projek estet padi.

"Insentif ini diberikan kepada peserta projek pada setiap musim penanaman selama lima musim berturut-turut dengan kadar RM2,000 per hektar," jelasnya.

Tambah beliau, penyampaian insentif projek estet padi bagi musim 2/2014 secara keseluruhannya berjumlah RM19.81 juta yang melibatkan 5,857 peserta dengan keluasan projek 9,904 hektar.

Dalam pada itu, Othman memberitahu, pihak MADA juga mengenal pasti kawasan sawah seluas 8,107 hektar yang menghadapi masalah tanah jerlus di kawasan MADA.

"Antara tindakan diambil oleh MADA adalah pembatalan penanaman padi dan pemberian bantuan wang ihsan.

"Selain itu, MADA juga melaksanakan pemulihan tanah jerlus dan penyediaan tanah sawah selepas program pemulihan tanah jerlus," katanya.

Sumber : UTUSAN

8Lembu
ABDUL Aziz Sheikh Fadzir (kanan) bersama penduduk melapah lembu yang selesai disembelih pada program Korban Perdana peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kulim, semalam.

KULIM 8 Oktober - Sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu meriah apabila lebih 500 penduduk daripada 56 kampung mengadakan gotong-royong melapah 56 ekor lembu yang disembelih bagi ibadah korban di kawasan itu semalam.

Majlis yang diadakan di Kampung Seberang Jaya, Karangan di sini turut dihadiri Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Daging lembu korban tersebut diagih-agihkan kepada 3,000 penerima yang layak termasuk golongan miskin di sekitar kawasan Parlimen itu.

Abdul Aziz berkata, acara tahunan yang diadakan di ka­wasan Parlimen tersebut ber­langsung dalam suasana ke­keluargaan dan dapat me­ngeratkan hubungan sila­turahim sesama umat Islam, se­laras dengan tuntutan agama.

Katanya, sebanyak 13 ekor lembu tersebut disumbangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sementara selebihnya merupakan peruntukan daripada UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu.

"Selepas mengadakan gotong-royong menyembelih lembu, kita kemudian mengagihkan daging kepada mereka yang layak ke seluruh kawasan menerusi ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.

Sumber : UTUSAN

ALOR SETAR 4 Oktober - Rakyat negeri ini digesa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan menolak fahaman ekstremis dalam usaha menjaga perpaduan antara semua kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kemajuan sesebuah negeri itu tidak bermakna jika rakyatnya tidak tahu menjaga hubungan antara kaum termasuk menghormati perbezaan dan menerima kepelbagaian kaum, budaya serta agama.

“Saya merayu agar semua rakyat negeri ini mengamalkan kesederhanaan dalam hidup dan menolak fahaman ekstremis demi kepentingan kita bersama.

“Sedikit yang kita korbankan sebenarnya lebih banyak yang kita dapat. Dalam usaha memupuk perpaduan ini kerjasama diperlukan daripada semua pihak.

“Kemajuan ekonomi yang cuba kita kecapi tidak akan bermakna perpaduan tidak dijaga," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada 1,000 warga tua dan fakir miskin anjuran Pertubuhan Kebajikan San Sheng di Taman Putra Jaya dekat sini semalam.

Mukhriz menambah, aktiviti kebajikan seumpama itu yang membabitkan semua kaum wajar mendapat perhatian pelbagai pihak dalam usaha memupuk perpaduan rakyat.

“Kita berharap aktiviti seperti ini dalam diadakan oleh lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya.

Sumber : UTUSAN

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
7cermin
MOHD. Banuri Aris (kanan) bersama-sama Said Ali Syed Rastan ( tiga dari kanan) menyampaikan cermin kata kepada Rosnani Ayob (tiga dari kiri, duduk depan) dalam Program Kami Prihatin Yayasan Felda di Langgar, Alor Setar, semalam.

POKOK SENA 2 Oktober Sebanyak 1,217 penduduk menerima sumbangan cermin mata daripada Yayasan Felda menerusi Program Kami Prihatin di pekarangan Pejabat UMNO Pokok Sena di sini hari ini.

Pengarah Yayasan Felda, Mohd. Banuri Aris berkata, cermin mata percuma itu adalah lanjutan daripada Program Amal Bakti Nurani 1Muafakat anjuran Yayasan Felda di Kampung Kubang Lintah dekat sini pada 5 September lalu.

"Sebanyak 1,217 penduduk kampung dari kawasan ini membuat pemeriksaan mata dalam program amal tersebut dan hari ini kita sampaikan cermin mata yang telah siap kepada mereka," katanya kepada pemberita dalam majlis Penyampaian Cermin Mata Percuma di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Said Ali Syed Rastan.

Kata Mohd. Banuri, selain sumbangan cermin mata, Yayasan Felda juga menjalankan banyak lagi program amal sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk program komuniti seperti gotong-royong membersihkan surau dan masjid, pemeriksaan kesihatan dan baik pulih rumah.

"Yayasan Felda telah menjalankan program seperti ini sejak tahun 2000 lagi dan kini dilakukan secara lebih meluas selepas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mahu memberi penekanan dan perhatian serius kepada masyarakat pinggiran Felda dan komuniti di kampung kawasan Felda," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya akan terus memberi khidmat kepada seluruh masyarakat menerusi program amal yang akan dirancang di setiap lokasi baharu seluruh negara.

"Ini adalah hasil kejayaan Kumpulan Felda setelah 57 tahun berusaha dan kejayaan ini dikongsi bersama-sama seluruh rakyat Malaysia," katanya sambil memberitahu program amal seterusnya akan diadakan di Kelantan.

Sementara itu, penerima sumbangan, Niza Shuib, 42, dari Kampung Masjid Lama, Lepai dekat sini berkata, cermin mata percuma itu adalah bagi menggantikan cermin mata lamanya yang telah patah.

Sumber : UTUSAN

1hari
ALOR SETAR 1 Oktober – Hari Buluh Sedunia adalah acara sambutan yang diilhamkan oleh Pertubuhan Buluh Sedunia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pada 18 September setiap tahun, setiap negara di seluruh dunia digalakkan merayakannya dengan cara masing-masing bagi meningkatkan kesedaran mengenai buluh secara global.

“Pelbagai program dan aktiviti turut diatur bersempena Sambutan Hari Buluh Sedunia 2014 seperti pameran, seminar, bengkel, dialog, forum, hiburan dan persembahan yang interaktif dengan menggunakan segala prasarana dan teknologi terkini untuk menjadikan acara ini lebih menarik,” ujarnya pada majlis perasmian penutup Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

Menurutnya, Hari Buluh Sedunia yang diadakan ini diharap dapat membuka minda masyarakat untuk berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif serta melihat potensi buluh yang sangat luas.

“Ia tidak seharusnya dianggap sebagai industri picisan kerana produk-produk buluh Malaysia yang berinovasi mampu berkembang dengan pesat hingga ke peringkat dunia sekiranya dilaksanakan dengan serius oleh semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah  Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK

1kedah
ALOR SETAR 1 Oktober – Kerajaan Negeri Kedah akan mengeksploitasi sepenuhnya kekayaan sumber buluh dalam pelbagai bidang industri berasaskan teknologi hijau dan lestari sebagai satu agenda transformasi negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tanaman buluh mengikut anggaran bancian Pejabat Perhutanan kini meliputi 30.67 peratus daripada 344,233 hektar hutan simpan di Kedah.

“Kita semua mengenali tanaman ini sejak kecil lagi dengan kegunaan biasanya terhad kepada empat atau lima jenis kraftangan sahaja seperti bakul, pancing, wau, kerawang atau hiasan dalaman rumah, gulai rebung dan acar rebung,” katanya pada majlis perasmian Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

Beliau memberitahu, pelbagai kegunaan buluh boleh dieksploitasi membabitkan industri pembuatan bahan binaan, pakaian dan alat kosmetik selain industri makanan yang sudah diusahakan ketika ini.

“Slogan Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi adalah amat tepat digunakan kerana saya melihat buluh adalah tumbuhan atau bahan semulajadi yang boleh menjadi ikon untuk transformasi,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor serta Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK

1Kanopi
ALOR SETAR 1 Oktober – Struktur kanopi ikonik berasaskan buluh akan dibina di Taman Jubli Emas sebagai tarikan baru kepada pelancong, sekaligus menjadikan Kedah sebagai negeri contoh dalam industri buluh.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbincangan awal dengan Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global serta Konsortium Bamboo Malaysia diadakan bagi merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, proses pembinaan kanopi itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan arkitek terlibat sudah mempamerkan model awal binaannya. Kita dalam proses rundingan dengan arkitek dan Majlis Bandaraya Alor Setar untuk memastikan struktur binaan itu sesuai dengan kawasannya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

“Taman rekreasi itu sering dikunjungi orang ramai, namun kawasan berteduh agak terhad. Kanopi ikonik itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sana. Di samping itu, Pusat Pengkomersilan Buluh akan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Sains Wilayah Utara di Gunung Keriang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor serta Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK

Oleh SAFINA RAMLI
1bazar
Mohd. Noor Azam Ismail ( kiri) memberi penerangan kepada ahli jawatankuasa Majlis Belia Daerah Pendang tentang pengurusan operasi Bazar Melayu @ Kemboja berdekatan Mini Stadium, Pendang, Kedah.

PENDANG 1 Okt. - Bazar Melayu @ Kemboja berhampiran Mini Stadium di sini yang memulakan operasinya baru-baru ini mampu menjadi salah satu tarikan orang ramai untuk berkunjung ke daerah Pendang.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Pendang, Mohd. Noor Azam Ismail berkata, Bazar Melayu @ Kemboja itu diadakan setiap Jumaat bermula pukul 7 pagi hingga 1 petang, diilhamkan daripada Bazar Kemboja yang popular di Parit Buntar, Perak.

Katanya, bazar tersebut mampu menarik pengunjung berikutan pelbagai tawaran menarik disediakan oleh kira-kira 120 peniaga yang berniaga pakaian, makanan, minuman dan tudung.

"Di Bazar Melayu @ Kemboja kita jemput 20 pemborong yang berniaga di Bazar Kemboja, Parit Buntar untuk sama-sama menjalankan perniagaan di sini.

"Selain itu, peniaga-peniaga tempatan turut menjalankan perniagaan dan kami berharap Bazar Melayu @ Kemboja ini akan menjadi salah satu destinasi membeli-belah dengan harga berpatutan bagi penduduk di kawasan utara," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pelbagai promosi giat dijalankan oleh pihak Majlis Belia Daerah Pendang dengan kerjasama Koperasi Bumi Bakti Kedah Bhd. bagi memastikan bazar tersebut popular.

"Kami jangkakan antara 30,000 hingga 50,000 pengunjung akan mengunjungi Bazar Melayu @ Kemboja sepanjang beroperasi," jelasnya.

Selain itu, Mohd. Noor Azam memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membuka Bazar Melayu @ Kemboja di setiap daerah di negeri ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barang keperluan dengan harga berpatutan.

Dalam pada itu, seorang pemborong pakaian, Tahir Omar, 42, berkata, sambutan daripada orang ramai untuk hari pertama Bazar Melayu@Kemboja itu dibuka amat menggalakkan.

"Saya juga berniaga di Pazar Kemboja di Parit Buntar dan saya gembira apabila Bazar Melayu @ Kemboja di Pendang ini mendapat perhatian orang ramai," jelasnya.

Seorang lagi peniaga pakaian, Juwairiah Yaakob, 20, pula berkata, bazar itu membuka peluang kepada golongan muda untuk meluaskan rangkaian perniagaan.

Sumber : UTUSAN

SUNGAI PETANI 1 Oktober - Kampung Pering, Kodiang dekat Kubang Pasu meraih anugerah Kampung Tradisional Terbaik sempena Pertandingan Keceriaan Merdeka Kedah 2014 yang berlangsung di Hotel Emerald Puteri, Sungai Petani baru-baru ini.

Sebanyak 11 kampung tradisional termasuk Kampung Baharu Cina, estet dan Felda menyertai pertandingan anjuran bersama Jabatan Penerangan negeri dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pering, Johari Yahaya berkata, kemenangan itu begitu bermakna kerana membuktikan kerjasama penduduk yang bertungkus-lumus menyertai pelbagai aktiviti bagi memperindah kampung tersebut.

"Penduduk berjaya membina pintu gerbang, Jalur Gemilang besar, kain rentang, menghias setiap lorong rumah dan usaha itu berjaya membuahkan hasil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, terdapat 672 penduduk di Kampung Pering yang membabitkan 185 rumah dan kebanyakan mereka bekerja dalam bidang pertanian termasuk tanaman jagung manis berkelompok dan pokok kenaf di bawah perhatian Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

"Bagi memajukan kampung ini, kami berjaya menubuhkan Koperasi Asas Tani Kedah Berhad dan setakat ini, sebanyak 101 penduduk telah menjadi ahli. Kami juga membuka kedai input pertanian, ini semua dapat memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan tersebut," katanya.

Johari memberitahu, kampung itu juga telah dipilih memenangi Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Peringkat Daerah Kubang Pasu 2014 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah Kubang Pasu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kubang Pasu.

Pengarah Penerangan Negeri Kedah, Dr. Haniff Hassan ketika berucap dalam majlis itu berkata, sebanyak lapan kategori dipertandingkan sempena program itu, termasuk bangunan kerajaan, swasta, kampung tradisional, sekolah, taman perumahan, pintu gerbang dan lain-lain.

"Kerjasama penduduk di negeri Kedah bagi menjayakan program pertandingan kali amat baik sekali dan usaha dilakukan menunjukkan mereka prihatin dan sayangkan negara sendiri," katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori lain termasuk sekolah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, Kulim, bangunan swasta (Kulim Inn daerah Kulim) dan bangunan kerajaan (Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai daerah Yan).

Kategori lain ialah taman perumahan (Taman Desa Damai, Jitra), anjung komuniti (Kampung Desa Keda Wang Tok Rendong, Langkawi), pintu gerbang (Pertubuhan Kebajikan Shan Cheng, Alor Setar) manakala bahagian individu, Najib Rabi dari Kampung Relau daerah Bandar Baharu.

Sumber : UTUSAN