30ppnk
Mukhriz Mahathir bersalaman dengan para peladang ketika hadir dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-31 Pertubuhan Peladang negeri Kedah di Dewan MBAS di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 30 September - Kerajaan negeri menganugerahkan tanah seluas 376.73 hektar di Gunung Bongsu kepada Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) kerana yakin tanah tersebut akan memberi manfaat kepada 90,000 ahli pertubuhan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan rekod cemerlang PPNK yang mampu menguruskan tanah kurniaan kerajaan negeri di Charuk Sendok, Sik, kerajaan negeri tidak ragu-ragu untuk menganugerahkan tanah di Gunung Bongsu itu kepada pertubuhan itu.

"Saya kagum dengan prestasi cemerlang PPNK selama 31 tahun ditubuhkan dan saya dimaklumkan bahawa ladang PPNK di Charuk Sendok telah menghasilkan pendapatan purata sebanyak RM4 juta setahun.

"Jika dicampur pengeluaran hasil yang diperoleh selama 26 tahun adalah dianggarkan PPNK telah mendapat pendapatan hampir RM100 juta dan penganugerahan tanah di Gunung Bongsu adalah bukti bahawa kerajaan negeri yakin dengan kemampuan pertubuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNK kali ke-31 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pengarah PPNK, Datuk Badri Yunus dan ahli-ahli PPNK.

Menurut Mukhriz, PPNK juga telah berjaya melaksanakan program Azam Tani di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu golongan miskin keluar daripada belenggu kemiskinan.

"PPNK sendiri terlibat dengan projek semaian getah untuk 112 peserta Azam Tani yang terdiri daripada golongan miskin tegar serta mewakili beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Sehingga bulan Ogos tahun ini, PPNK telah membayar dividen kepada peserta sebanyak RM1,900 seorang dan jumlah dividen yang telah dibayar kepada peserta sehingga kini ialah RM212,800.

"Oleh itu, saya menyeru kepada PPNK dan lain-lain PPK supaya meningkatkan usaha seumpama ini bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat terutama para peladang sekalian," jelasnya.

Sumber : UTUSAN

29tumpuan
ALOR SETAR 29 September– Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan kepada usaha menarik pelaburan domestik dan asing dalam apa jua sektor dalam usaha meletakkan Negeri Kedah sebagai sebuah destinasi pelaburan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi di negara ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri memerlukan suntikan pembangunan daripada Kerajaan Pusat bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri agar Negeri Kedah adalah setaraf dengan kemajuan negeri-negeri lain.

“Untuk merealisasikan hasrat berkenaan, Kerajaan Negeri memerlukan elemen pembangunan yang dinamik bagi meningkatkan lagi sektor ekonomi negeri ini. Alhamdulillah, beberapa projek keutamaan Kerajaan Negeri Kedah telah pun dibawa bentang ke peringkat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta melalui beberapa siri perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan,” katanya pada majlis perasmian Program Retreat Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas dan AkuJanji Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Menurutnya, antaranya ialah cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan pembangunan Lebuhraya Sungai Petani-Kulim di samping projek-projek keutamaan lain yang sedang dalam perhatian Kerajaan Negeri seperti pembangunan Bandaraya Getah atau Rubber City di Bukit Ketapang dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kuala Kedah.

“Kerajaan Negeri turut mengatur langkah untuk menarik pelabur-pelabur asing ke Negeri Kedah dengan membuka kawasan perindustrian baru melalui penubuhan Taman Sains dan Teknologi Negeri Kedah serta Bandar Sains Perubatan di Bandar Baharu, selain memperluas kawasan industri sedia ada melalui peluasan kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang kini sedang memasuki fasa keempat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Seksyen Pembangunan Wilayah di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Haji Khazali Din dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din.

Sumber : UMTK

29tanpa
JITRA 29 September – Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama Institusi Pengurusan dan Integriti Kedah (INSPIN) dalam usaha memantapkan agenda integriti di kalangan setiap lapisan masyarakat dan penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perkara itu penting kerana ia menjamin keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dengan seruan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Saya percaya bahawa kepentingan integriti bukan sekadar menjadi pemangkin kepada transformasi, namun lebih penting daripada itu. Ia hendaklah dilihat sebagai ukuran kepada kejayaan transformasi itu nanti,” katanya pada majlis perasmian Kempen Merakyatkan Agenda Integriti Kedah 2014 di Dewan Wawasan.

Beliau menjelaskan, perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja akan memusnahkan niat murni Kerajaan dalam membantu rakyat, tetapi turut menggagalkan dasar-dasar yang telah dirancang. Kesedaran terhadap nilai integriti tidak hanya terhad kepada sesuatu perkara sahaja, namun nilai integriti perlu dipersembahkan melalui penampilan, sikap mahupun sebarang keputusan yang dibuat.

“Hal ini kerana dalam usaha untuk merealisasikan pembangunan pentadbiran negara di era globalisasi, kita harus sentiasa dinamik dan fleksibel serta mempunyai nilai integriti yang tinggi. Penekanan terhadap perkara ini sememangnya adalah bertepatan dengan iltizam Kerajaan,” ujarnya.

Sumber : UMTK

29Mantapkan
ALOR SETAR 29 September-  Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi pentadbiran dan merancakkan pertumbuhan ekonomi demi keperluan rakyat ke arah mentransformasikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri berdaya maju.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, faktor inilah yang telah menyuntik semangat Kerajaan Negeri untuk menyusun program pembangunan bagi Negeri Kedah melalui penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas  2016-2020, yang mana ia merupakan fasa akhir pelan hala tuju pembangunan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya pihak kementerian, agensi kerajaan, Kerajaan Negeri, pihak swasta, pihak akademik, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya pada majlis perasmian Program Retreat Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas dan AkuJanji Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Menurutnya, inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengadakan program ini selama dua hari seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar segala perancangan pembangunan Negeri Kedah mengambil kira pelbagai aspek dan menepati kehendak semasa.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Seksyen Pembangunan Wilayah di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Haji Khazali Din dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din.

Sumber : UMTK

29kerjasama
KULIM 29 September– Majlis Kolaborasi Strategik 2014 anjuran Kolej Komuniti Kulim bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam bidang latihan dan pendidikan berlangsung dengan jayanya di Dewan Persidangan Kolej Komuniti Kulim.

Antara agensi dan syarikat yang menyertai program ini ialah  Jobs Malaysia Kedah, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kedah, Kumpulan Barkath, Amanah Ikhtiar Malaysia Kulim, Rzac Cosmetic dan Darwish Printing Solutions.

Program meliputi perkongsian maklumat, teknologi kepakaran dan latihan industri dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar Kolej Komuniti Kulim yang berkualiti termasuk untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, YB. Chua Thiong Ghee merangkap Lembaga Penasihat Kolej Komuniti Kulim ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, usaha yang dilakukan banyak memberi manfaat kepada bakal pelajar kolej berkenaan.

“Masyarakat tempatan juga perlu mengambil peluang menyertai program ini hasil jalinan kerjasama antara agensi berkenaan dengan Kolej Komuniti Kulim. Cita-cita Kolej Komuniti Kulim untuk membawa perubahan hidup kepada masyarakat tempatan bakal menjadi kenyataan jika usaha dilakukan sentiasa mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya.

Sumber : UMTK

29ekspo
BALING 29 September – Penganjuran Ekspo Usahawan Desa Dua Negara: Malaysia dan Thailand iaitu Satu Desa Satu Produk di Pekan Baru mampu mengeratkan hubungan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, YB. Dato’ Azmi Che Husain berkata, selain merapatkan hubungan antara usahawan berkenaan, program itu juga adalah pencetus idea bagi tujuan pasaran produk ke negara jiran itu.

“Melalui ekspo ini, usahawan desa tempatan berpeluang memasarkan produk mereka ke negara jiran. Mereka boleh mengutip ilmu yang ada dalam kalangan usahawan Thailand untuk melahirkan industri satu rumah satu produk bagi menjana pendapatan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ekspo berkenaan.

Sumber : UMTK

Oleh SAFINA RAMLI
29ternakan
RUMAH-RUMAH kecil yang berwarna-warni menarik perhatian pengunjung ke Ladang Madu Kelulut Ori di Kampung Padang Lalang, Alor Janggus.

ALOR SETAR 29 September - Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus sebelum ini merupakan laluan biasa yang digunakan oleh pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Perlis.

Namun, sejak 24 Julai lalu, kewujudan sebuah ladang ternakan lebah kelulut yang dibina seperti taman fantasi dan penuh warna-warni menjadikan kawasan tersebut istimewa dan mula mendapat perhatian pengguna laluan tersebut.

Sejak beberapa tahun lalu, madu yang dihasilkan lebah kelulut semakin mendapat perhatian daripada pengguna kerana dikatakan khasiatnya lebih tinggi daripada lebah madu.

Menggunakan populariti madu kelulut yang semakin meningkat, Chan Kok Thian, 30, mengambil keputusan untuk membuka sebuah ladang ternakan lebah kelulut yang diberi nama Ladang Madu Kelulut Ori di Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus.

Kok Thian berkata, dia sengaja memilih untuk membuka ladang ternakan lebah kelulut di kawasan tersebut dalam usaha menjadikan kawasan Alor Janggus sebagai salah satu destinasi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kawasan itu.

Katanya, lokasi Alor Janggus yang terletak kira-kira dua kilometer dari Muzium Padi juga menjadikan dia bertekad untuk membuka ladang ternakan lebah kelulut itu di situ kerana yakin pengunjung yang datang ke Muzium Padi akan singgah ke tempat tersebut.

"Saya sengaja menghias ladang tersebut dengan rumah-rumah kecil berwarna-warni yang merupakan sarang lebah kelulut dan dilengkapi maklumat tentang spesies kelulut yang ada di sini sebagai panduan kepada pengunjung.

"Saya juga hiaskan ladang kelulut ini dengan meletakkan kincir angin yang dibina sendiri, menggunakan bahan terbuang, binaan perigi lama dan pelantar untuk pengunjung bergambar berlatarbelakangkan sawah padi dan Gunung Keriang.

"Sejak dibuka, sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan kerana selain melihat sendiri lebah kelulut mereka boleh mendapat ilmu baharu tentang lebah ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Kok Thian, antara spesies yang ada di ladang tersebut ialah Heterotrigona Bakeri, Geniotrigona Tho Rocica dan Tetrigona Apicalis.

"Selain menjadi destinasi pelancongan baharu, ladang ini juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk orang ramai mempelajari tentang lebah kelulut dan khasiat madunya," katanya lagi.

Kok Thian memberitahu, selain ladang yang mempunyai lebih 50 sarang kelulut itu, turut disediakan premis jualan madu kelulut dan produk berasaskan madu kelulut seperti kopi madu kelulut, sabun madu kelulut, minyak panas propolis kelulut dan sabun badan madu kelulut menggunakan jenama Dukun Jaya.

"Ramai pengunjung tempatan dan luar Kedah datang berkunjung ke ladang untuk melihat sendiri secara lebih dekat lebah madu kelulut di dalam sarangnya dan secara tidak langsung mempelajari sedikit-sebanyak tentang lebih 10 spesies kelulut di situ," jelasnya.

Tambahnya, khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menjaga kecantikan, menguatkan tenaga wanita yang baru lepas bersalin dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

Sumber : UTUSAN

28rumah2
RUMAH Mohamad Najib Rabi yang dihiasi 1,000 Jalur Gemilang dipilih sebagai johan Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan 2014 di Kampung 300 Kaki, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 28 September - Niatnya hanyalah semata-mata demi menunjukkan kecintaan kepada negara, namun tanpa disangka, usaha Mohamad Najib Rabi, 61, menghias rumahnya di di Kampung 300 Kaki, mukim Relau dekat sini dengan lebih 1,000 Jalur Gemilang membawa tuah apabila terpilih sebagai johan Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan 2014 peringkat negeri Kedah bagi kategori individu.

Mendapat bantuan isteri, Norsiah Yusuf, 56, serta anak bongsunya, Nor Afiza, 27, pesara tentera itu menghabiskan kira-kira RM1,000 bagi memastikan rumahnya kelihatan seolah-olah 'dihujani' bendera kebanggaan negara itu.

"Kami sanggup melakukan apa saja untuk menceriakan rumah termasuklah menghiasinya dengan Jalur Gemilang termasuk menjadikan bendera itu sebagai langsir.

"Segalanya datang daripada idea kami bertiga. Selain memastikan rumah ini dipenuhi Jalur Gemilang, kami turut mementingkan kekemasan agar elok mata memandang'" katanya yang mendiami kediaman tersebut sejak 1987.

Rumah berkenaan turut dipilih mewakili negeri Kedah bagi pertandingan sama di peringkat kebangsaan.

Pertandingan itu merupakan acara tahunan Jabatan Penerangan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin Nor­sabrina Mohd. Noor menyatakan rasa bangga terhadap semangat ditunjukkan Mohamad Najib sekeluarga.

"Usaha ini jelas menunjukkan semangat jati diri yang ada pada keluarga Mohamad Najib dalam menyatakan rasa cinta kepada negara. Ini merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan.

"Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya berharap agar usaha se­perti ini dicontohi iaitu semua kita sentiasa memperbaiki diri dan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang diceburi," katanya.

Sumber : UTUSAN

23kerajaan
                                                                 MUKHRIZ

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KUBANG PASU 27 September - Para penjawat awam diseru untuk segera menyelesaikan apa jua masalah dihadapi rakyat terutamanya berkaitan kelulusan pelbagai perkara bagi menutup ruang kepada perbuatan tidak berintegriti yang mampu mencalar imej pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu juga penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara di samping mampu mendatangkan pelbagai manfaat termasuk merancakkan pembangunan negeri.

"Perlu diakui, apabila terlalu lama masa diambil untuk menyelesaikan sesuatu permohonan, maka tindakan itu membuka peluang kepada amalan tidak berintegriti.

"Jika itu berlaku, apa jua perancangan yang dirangka kerajaan negeri hanya tinggal perancangan semata-mata. Tak mungkin kita mampu melaksanan pembangunan dengan cara sebegitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Kempen Merakyatkan Agenda Integriti Negeri di Dewan Wawasan, di sini baru-baru ini.

Selain beberapa exco kerajaan negeri, lebih 1,000 penjawat awam turut hadir ke majlis berkenaan.

Beliau menambah, kepentingan integriti bukan sekadar menjadi pemangkin kepada transformasi, malah apa yang lebih penting adalah integriti hendaklah dilihat sebagai ukuran kepada kejayaan transformasi.

"Dalam erti kata lain, tidak ada maknanya jika kita memperoleh kejayaan sesuatu proses transformasi itu, sedangkan amalan baik yang membenih dan menyuburkan nilai integriti tidak digarapkan bersama dalam proses transformasi tersebut.

"Etika dan integriti seharusnya menjadi budaya dan ‘pakaian’ masyarakat dalam kehidupan harian. Harus disedari, nilai integriti tidak terhad kepada sesetengah perkara saja sebaliknya perlu ditampilkan dalam semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap dan kebijaksanaan membuat tindakan," katanya.

Sumber : UTUSAN

SUNGAI PETANI 27 September. - Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menganjurkan Kempen Jom Sihat Bersama Komuniti 2014 di Kampung Simpor Kecil, Kota Kuala Muda di sini, baru-baru ini.

Seramai 56 kakitangan hospital itu dipilih untuk tinggal bersama keluarga angkat selama dua hari dengan menjalankan pelbagai aktiviti di kampung tersebut.

Urus setia kempen itu, Norejan Nordin berkata, penduduk kampung tersebut berpeluang mendengar ceramah mengenai pendermaan organ, bahaya merokok dan alkohol pada program tersebut.

"Program yang dianjurkan ini berjaya mengeratkan hubungan antara kakitangan hospital dengan penduduk tempatan.

"Kami berbangga kerana program ini mampu mendedahkan penduduk dengan amalan hidup sihat," katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpor Kecil, Mustafa Husain memberitahu, ceramah yang disampaikan oleh kakitangan HSAH boleh dijadikan panduan asas kepada penduduk dalam menjayakan amalan cara hidup sihat.

"Penduduk kampung sering terdedah dengan pelbagai kes penyakit berjangkit, termasuk masalah nyamuk aedes.

"Melalui nasihat yang diberikan, penduduk mendapat ilmu dan mula membersihkan kawasan rumah sendiri bagi mengelak penyakit ini daripada merebak," ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta kempen itu, Nur Nadiah Abdul Rahim, 23, dari Jalan Pengkalan Sungai Petani berkata, langkah HSAH bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dengan penduduk kampung adalah tepat.

"Sebagai seorang penuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), saya gembira kerana di samping menjalani latihan di HSAH saya mempelajari ilmu berkaitan bidang kesihatan dan perubatan melalui ceramah yang disampaikan," katanya

Sumber : UTUSAN

KULIM 25 September - Kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan Bandar Sains dan Perubatan Kedah di Bandar Baharu dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor berkata, projek itu bertujuan menggalakkan pelaburan tempatan dan asing dalam bidang sains dan perubatan.

Selain itu kata beliau, ia juga memastikan proses pembangunan dapat dikembangkan ke kawasan Bandar Baharu yang merupakan daerah paling selatan di negeri itu.

"Projek ini diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir baru-baru ini. Buat masa ini tapak tanah telah dikenal pasti dan kita juga giat mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain utama dalam industri sains dan perubatan untuk menanam modal di situ.

"Setakat ini juga beberapa syarikat dari Eropah dan Jerman telah menunjukkan minat untuk melabur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Inovasi Uereka-EIE 2014 di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini semalam.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, jika tiada sebarang masalah, projek Bandar Sains dan Perubatan Kedah itu akan dimulakan dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Pembangunan menyeluruh projek ini dijangka memakan masa lima hingga enam tahun. Apabila siap kelak, ia bukan sahaja dapat memacu pembangunan kawasan selatan Kedah malah meningkatkan lagi peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga optimis Kulim dan Bandar Baharu akan berkembang pesat ekoran beberapa perancangan rapi telah dibuat.

Sumber : UTUSAN

25kempen
LANGKAWI 25 September – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menganjurkan kempen ‘Anti Litter’ untuk mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan di pulau bersejarah ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ab. Rahim Md. Noor berkata, kempen berkenaan adalah usaha berterusan pihaknya ke arah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran terutama di kawasan tumpuan pelancong.

“Usaha ini akan berterusan bagi menjadikan Langkawi sebagai pulau yang terbersih sejajar dengan matlamat Langkawi bebas sampah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan di Laman Padi Village Pantai Cenang.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan berkata, kempen kesedaran itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, malah memerlukan penglibatan masyarakat.

“Usaha murni dalam mengubah minda masyarakat untuk menjadikan amalan menjaga kebersihan adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama agar dapat melahirkan masyarakat yang maju dan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup kita,” ujarnya.

Sumber : UMTK

25 JAWATANKUASA
ALOR SETAR 25 September – Jawatankuasa Teknikal ditubuhkan segera bagi mengatasi masalah perparitan yang tidak diselenggara berdekatan Hospital Sultanah Bahiyah membabitkan Kampung Telaga Bata, Taman Teratai Indah dan Taman Satria.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, jawatankuasa itu yang menggabungkan wakil Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), E-idaman dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menyediakan pelan bertindak secara menyeluruh bagi penyelesaian jangka panjang kawasan terlibat.

“Jawatankuasa ini akan pantau dan selesaikan masalah yang dibangkitkan penduduk sebelum ini. MADA akan bantu Hospital Sultanah Bahiyah dan MBAS kenal pasti status tanah terlibat yang menempatkan sistem perparitan sepanjang 1.5 kilometer, bawah tanggungjawab siapa untuk diselenggarakan,” katanya ketika meninjau sistem perparitan berdekatan Kampung Telaga Bata, Taman Teratai Indah dan Taman Satria.

Turut sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong.

Sumber : UMTK

25derita

ALOR SETAR 25 September – Projek Tebatan Banjir Sungai Anak Bukit diyakini mampu mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri ini, khususnya di Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, projek menaiktaraf  itu kini dalam proses kelulusan tender dan akan dilaksana segera sebaik kontraktor dilantik.

“Sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung jumlah air hujan yang turun, ditambah pula sampah sarap yang menyempitkan laluan hingga menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika meninjau sistem perparitan berdekatan Kampung Telaga Bata, Taman Teratai Indah dan Taman Satria.

Beliau menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta menyediakan pelan komprehensif mengatasi banjir kilat sekitar bandaraya ekoran kedudukan tanah lebih rendah berbanding paras laut.
“Itu untuk jangka panjang, selain menaiktaraf longkang dan saliran sedia ada termasuk

mendalamkannya. Bagaimanapun, kita lakukan secara berperingkat kerana melibatkan kos yang tinggi. Kerajaan Negeri melalui JPS telah mengenal pasti lima zon yang sering dilanda banjir kilat,” ujarnya.

Menurutnya, perunding telah dilantik bagi menjalankan kajian serta reka bentuk terperinci semua zon terlibat dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Sumber : UMTK

24Sistem
PENDANG 24 September – Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan dijangka dapat membantu golongan petani yang sering berdepan dengan masalah kerosakan hasil tanaman selepas tuaian.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Dato’ Ahmad Ishak berkata, berdasarkan kajian, petani terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan 30 peratus hasil pertanian kerana cara pembungkusan dan penyimpanan salah.

“Melalui Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan, petani akan diberi bimbingan cara betul menyimpan dan membungkus hasil pertanian mereka supaya kekal segar dan tidak busuk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Peringkat Negeri Kedah di Tapak Pasar Tani FAMA.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob.

Menurutnya, peraturan terhadap sistem penggredan, pembungkusan dan pelabelan bukan sekadar membantu mengurangkan barangan rosak, malah turut memberi faedah kepada semua pihak membabitkan pelbagai aspek. Dengan adanya sistem penggredan, ia  membolehkan peniaga menentukan kadar harga sesuatu barangan berdasarkan gred ditetapkan berbanding dengan sistem penjualan secara campur aduk yang dilihat merugikan peniaga.

Sumber : UMTK

24matrade
SUNGAI PETANI 24 September – Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MATRADE) sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang perdagangan kepada syarikat dalam memperkukuhkan potensi perniagaan masing-masing.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, syarikat di Kedah perlu memanfaatkan maklumat ini dan bantuan yang disediakan MATRADE dan mereka juga harus berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan produk tempatan berkembang di peringkat antarabangsa.

“Selain pengukuhan pengetahuan mengenai keperluan pasaran terkini, manfaat yang bakal diperoleh termasuk penggunaan teknologi, peningkatan kualiti pengeluaran serta perkongsian pengalaman yang dianggap penting dalam persekitaran perniagaan global yang semakin mencabar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Forum Exporters anjuran Perbadanan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MATRADE) di Hotel Park Avenue.

Beliau menjelaskan, setakat ini, sebanyak 312 syarikat di Kedah berdaftar dengan MATRADE termasuk 264 adalah syarikat berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

“Kita berhasrat untuk memacu transformasi bagi menjadikan Kedah sebuah negeri maju dan membangun. Justeru, semua usahawan, termasuk petani dan nelayan di Kedah dapat beralih kepada paradigma baru dalam pengeluaran dan pemasaran barangan kerana sektor eksport akan memberi pulangan yang cukup besar kepada perkembangan ekonomi negeri,” ujarnya.

Sumber : UMTK

24kedah
Mohd. Tajudin Abdullah (barisan kedua dari belakang) bersama-sama sebahagian daripada pelajar dalam Bengkel Skor 'A' SPM Pelajar-pelajar Luar Bandar Daerah Sik, baru-baru ini.

SIK 24 September - Kedah menyasarkan untuk berada di antara tangga pertama hingga kelima bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan, semua pihak seperti ibu bapa, guru dan pelajar harus bekerjasama.

"Kerajaan negeri mahu melihat Kedah menduduki antara tangga teratas dan terbaik dalam sistem pendidikan negara.

"Untuk memastikan perkara ini menjadi kenyataan, ibu bapa, guru dan para pelajar perlu saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bengkel Skor 'A' SPM Pelajar-pelajar Luar Bandar yang dianjurkan Pertubuhan Kelab Anak-anak Sik di Dewan Kolej KEDA, Rimba Taqwa di sini baru-baru ini.

Seramai 150 peserta terpilih daripada keluarga miskin dari tujuh sekolah menengah menyertai program tersebut.

Menurut Mohd. Tajudin, semua pihak tidak harus meletakkan tanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik para pelajar kepada pihak sekolah, terutamanya guru-guru.

"Ibu bapa dan pelajar sendiri perlu ada kesedaran dan komitmen untuk mencapai kejayaan yang diingini.

"Pelajar juga tidak harus lalai dan melepaskan peluang yang ada, di samping berlumba untuk mencipta kejayaan sehingga ke peringkat tertinggi," jelasnya.

Sumber : UTUSAN

23kajian
SINTOK 23 September –  Kerajaan Negeri sudah memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah supaya mengadakan satu kajian lebih terperinci mengenai status peratusan tanah rizab Melayu yang masih wujud di negara ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai keluasan sebenar tanah rizab yang ada dan perkara itu sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Perancangan Negeri sebelum ini mengenai berapa keluasan yang masih wujud, berapa peratusannya dan apakah nilainya.

“Saya bangkitkan mengenai apakah nilai tanah yang masih wujud itu kerana kebiasaannya kalau hendak dibangunkan sesuatu projek seperti perumahan atau sebagainya akan berlaku pertukaran status daripada tanah rizab kepada bukan rizab,” kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Demokrasi Di Malaysia’ yang diadakan di Dewan EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurutnya, tanah yang mengalami pertukaran status itu juga walaupun dari segi keluasannya masih sama, namun dari segi nilainya akan berubah. Kerajaan perlu memastikan baki 12 peratus tanah rizab yang masih wujud itu dibangunkan supaya dapat memberi manfaat seadil-adilnya kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, YB. Dato’ Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz dan Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sumber : UMTK

23paya
ALOR SETAR 23 September - Hutan paya laut merupakan salah satu khazanah alam yang sungguh unik dan kaya dengan sumber-sumber semulajadi, di samping mengandungi kepelbagaian biologi di dalamnya.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, hutan paya laut juga turut menyumbangkan faedah-faedah lain yang tidak ternilai seperti kestabilan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan pengwujudan kawasan rekreasi dan eko-pelancongan serta menjadi kawasan penampan di kawasan pantai sekiranya kejadian malapetaka seperti tsunami.

“Usaha-usaha untuk melindungi dan memelihara khazanah hutan ini perlu diberi keutamaan bagi memastikan peranannya kepada ekonomi dan sosial negara ini dapat terus dikekalkan dan dipergiatkan,” katanya pada majlis perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Flora Di Hutan Paya Laut Merbok yang diadakan di Hotel Tabung Haji.

Menurutnya, sumber hutan paya laut bukan sahaja merangkumi kayu bakau untuk dijadikan arang bahkan kawasan hutan paya laut yang unik ini juga mampu memberi kesan penjanaan pendapatan yang tinggi di dalam sektor eko–pelancongan jika diuruskan dan digunakan secara optimum.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah khususnya dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia amnya diharap dapat berganding bahu dalam membantu Kerajaan Negeri Kedah untuk merancang projek-projek berimpak tinggi, khususnya di kawasan hutan paya laut yang boleh menjana pendapatan baru kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Dr. Hj. Abd. Rahman Hj. Abd. Rahim; Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Ku Azmi Ku Aman dan Ketua Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Flora di Hutan Paya Laut Merbok, Profesor Dr. Maketab Mohamed.

Sumber : UMTK

23Yayasan
SINTOK 23 September – Kerajaan Negeri akan berusaha mencari jalan membantu kira-kira 20 ahli Yayasan Islam Negeri Kedah yang diberhentikan berikutan cadangan Kerajaan yang mahu menstruktur semula yayasan berkenaan dari segi operasi perniagaan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya akan mencuba membantu sebaik mungkin dengan menempatkan semua yang terbabit dalam pemberhentian itu dalam Kerajaan sendiri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergantung kepada kekosongan yang ada.

“Perkara itu sedang dalam perbincangan secara terperinci dan Kerajaan Negeri akan memperhalusi supaya satu cara penyelesaian terbaik yang boleh diterima semua pihak dapat dicapai dalam masa terdekat. Saya meminta supaya Yayasan Islam Negeri Kedah dibuat penstrukturan semula dalam operasinya dari segi perniagaan kerana kita mahu memastikan hanya perniagaan yang menguntungkan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Demokrasi Di Malaysia’ yang diadakan di Dewan EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada majlis itu, buku hasil terbitan tiga pensyarah dari universiti berkenaan iaitu Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Abdul Rahman Abdul Aziz dan Muhamed Nor Azman Nordin menghimpunkan tulisan bernas bagi memahami konteks demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Buku berkenaan turut menceritakan mengenai konsep dan makna demokrasi yang menjadi dasar serta tunjang sistem kenegaraan Malaysia bagi memastikan rakyat lebih memahami demokrasi yang bukan sekadar kebebasan semata-mata.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, YB. Dato’ Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz dan Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sumber : UMTK

23kerajaan                                                           Mukhriz Mahathir
Oleh ABDUL RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI 23 September - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan sebuah hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam industri aeroangkasa berhampiran kawasan yang dicadangkan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, cadangan tersebut turut dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Majlis Ekonomi baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memperuntuk sebidang tanah berhampiran lapangan terbang antarabangsa tersebut bagi membangunkan MRO itu yang bakal memacu Kedah sebagai hab aeroangkasa di rantau ASEAN.

"Kita bukan semata-mata hendak bina lapangan terbang tetapi turut merancang berkaitan logistik dan pembangunan hab MRO yang dilihat sebagai pencetus untuk menarik pelaburan baharu.

"Apabila ada lapangan terbang antarabangsa di kawasan luas, taman industri baharu mampu diwujudkan dan bakal menjadi tarikan kepada pemain utama dalam sektor MRO untuk menempatkan perkhidmatan di lapangan terbang ini. Industri penerbangan dan pesawat membangun dengan pesat terutama dengan Dasar Langit Terbuka ASEAN 2015," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri Kedah di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani di sini, kelmarin yang turut dihadiri Presiden PPP, Tan Sri M. Kayveas.

Menyentuh tentang cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu itu, kata Mukhriz, pihaknya optimis dengan taklimat yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut dan berharap kajian berkaitannya akan diadakan secepat mungkin.

Mukhriz berkata, rakyat bakal menikmati lebih banyak pembangunan dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim nanti.

Sumber : UTUSAN

SUNGAI PETANI 23 September - Usahawan di negeri ini perlu mendaftar sebagai ahli Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mendapatkan maklumat pasaran serta peluang perdagangan terkini di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Matrade sebagai Agensi Promosi Perdagangan Malaysia bersama-sama agensi lain yang berkaitan dapat membantu usahawan terbabit meningkatkan keupayaan bagi meneroka pasaran luar negara.

Katanya, kerajaan negeri dan Matrade sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang-peluang perdagangan kepada syarikat dari semasa ke semasa.

"Jika usaha ini berjaya, akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Kedah serta mempermudah lagi eksport barangan keluaran tempatan ke luar negara dengan lebih cepat dan efisien.

"Syarikat di Kedah perlu memanfaatkan maklumat ini dan bantuan yang disediakan oleh Matrade. Mereka juga harus berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan 'home grown brand' berkembang di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Forum Pengeksport Matrade 2014 di sini hari ini yang dihadiri 180 usahawan tempatan terdiri daripada penuntut universiti, pengusaha sektor makanan, pengangkutan dan pengilangan.

Forum tersebut merupakan usaha berterusan Matrade dalam memperkasa pengeksport Malaysia di pasaran global, sekali gus menggalakkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Ini bagi menyebarkan maklumat terkini berkaitan aktiviti Matrade, keperluan dan peluang pasaran serta berkongsi pengalaman dengan syarikat tempatan yang telah mencapai kejayaan di pasaran antarabangsa.

Kata Mukhriz, usaha dilakukan ini boleh melahirkan lebih ramai usahawan berjaya untuk meneroka perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Syarikat-syarikat tempatan perlu berusaha tanpa merasa takut dan ragu-ragu untuk membawa barangan dan perkhidmatan masing-masing ke pasaran dunia," katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz meminta usahawan tempatan terus mengikuti program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Matrade melalui Program Dana Usahawan, Program Pembudayaan Keusahawanan, Program Pembangunan Perniagaan, Program Infra Usahawanan, Program Pembangunan Francais Tempatan, Program Latihan Lanjutan dan Peningkatan dan Program Penganjuran Misi Perdagangan yang bakal diadakan nanti.

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad pula berkata, sehingga ini, hanya 312 syarikat di Kedah mendaftar dengan Matrade dan daripada jumlah itu, 79 adalah syarikat bumiputera dan 31 syarikat dikendalikan usahawan wanita.

Menurutnya, kakitangan Matrade turut memperkenal program turun padang untuk berkongsi pendapat bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di syarikat berkenaan.

"Matrade turut memperkenal Program Go-Ex bagi menyasarkan sejumlah 1,400 syarikat dalam jangka masa lima tahun untuk dibimbing dan dibangunkan untuk menjadi pengeksport yang berdaya saing di pasaran antarabangsa," katanya.

Tambahnya, Program Pembangunan Syarikat Mid-Tier diperkenalkan untuk membantu syarikat-syarikat pertengahan sehingga berjaya menjadi juara serantau dan global.

"Ini dilakukan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia yang bergiat dalam inovasi dan pembangunan teknologi untuk terus maju di pasaran antarabangsa," tambah Noraini.

Sumber : UTUSAN

KULIM 23 September - Majlis Kolaborasi Strategik 2014 anjuran Kolej Komuniti Kulim (KKK) bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam bidang latihan dan pendidikan berlangsung dengan jayanya di dewan persidangan kolej itu di sini, baru-baru ini.

Antara agensi dan syarikat yang menyertai program itu termasuk Jobs Malaysia Kedah, Jabatan Tenaga Kerja negeri, Kumpulan Barkath, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Kulim, Rzac Cosmetic, EDC Universiti Utara Malaysia (UUM), MNZWAJ Assodiates, R & Z Cosmetics dan Darwish Printing Solutions.

Program meliputi perkongsian maklumat, teknologi kepakaran dan latihan industri dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar KKK yang berkualiti termasuk untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurut Pengarah KKK, Abdul Rahim Hashim, pihaknya sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi di negeri Kedah dan Pulau Pinang ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda dengan memberikan mereka latihan dan bimbingan secukupnya.

"Setakat ini, beberapa pelatih di KKK berjaya memperoleh kejayaan hebat dalam bidang tertentu dan usaha menambah usahawan baru perlu dilakukan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program tersebut.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee merangkap Lembaga Penasihat KKK ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, usaha dilakukan banyak memberi manfaat kepada bakal pelajar kolej berkenaan.

"Masyarakat tempatan juga perlu ambil peluang menyertai program ini hasil jalinan kerjasama antara agensi berkenaan dengan KKK itu," katanya.

Menurutnya, cita-cita KKK untuk membawa perubahan hidup kepada masyarakat tempatan bakal menjadi kenyataan jika usaha dilakukan sentiasa mendapat sokongan semua pihak.

Sementara itu, Eksekutif Sumber Manusia EDC UUM, Wan Eina Isma Wan Kamarulzaman berkata, kerjasama seumpama itu mampu melahirkan lebih ramai pelajar KKK yang berkualiti dalam menghadapi kerjaya di masa akan datang.

"Melalui perbincangan diadakan itu, pihak UUM sedia melakukan apa sahaja yang terbaik untuk membawa perubahan lebih menarik di KKK tersebut," katanya.

Sumber : UTUSAN

22NCIA
BANDAR BAHARU 22 September– Projek pembinaan sebuah hospital baru dan lebuh raya yang menghubungkan daerah ini dengan Sungai Petani bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila beberapa pihak kini bersetuju menjayakan projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, antara badan berkenaan adalah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Malah, perbincangan secara serius berhubung pelaksanaan projek tersebut juga telah dijalankan Kerajaan Negeri dengan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Dato’ Redza Rafiq Abdul Razak baru-baru ini.

“Kedua-dua projek tersebut merupakan antara akujanji Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya umum ke-13 lalu. Projek ini bakal direalisasikan tidak lama lagi dengan kerjasama beberapa pihak termasuk NCIA dan Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Seindah Syawal 2014 anjuran NCIA di Perkarangan Masjid Al-Ridzuan, Kampung Celong.

Menurutnya, berdasarkan perancangan Kerajaan Negeri, projek lebuh raya terbabit mempunyai jarak kira-kira 80 kilometer menghubungkan Bagan Samak, di sini dan melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke Amanjaya, Sungai Petani.

“Kewujudan lebuh raya baru tersebut dijangka memberikan manfaat besar termasuklah merancakkan lagi ekonomi di beberapa kawasan seperti Sungai Kob, Padang Serai dan Mahang,” ujarnya.

Sumber : UMTK

22Perlantikan
ALOR SETAR 22 September –  Kerajaan Negeri melantik lapan anak tempatan dalam Lembaga Rayuan Negeri Kedah bagi sesi 2014-2017.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, mereka dipilih berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dalam perancangan bandar, sistem kerajaan tempatan, pembangunan hartanah dan undang-undang.

“Pelantikan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pelaksanaan Lembaga Rayuan yang ditubuhkan mengikut peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang merupakan proses lengkap perancangan,” ujarnya pada majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Menurutnya, ini bagi memastikan setiap pembangunan memenuhi keperluan dasar, perundangan, peraturan, telus dan melibatkan orang awam.  Fungsi Lembaga Rayuan adalah bagi mendengar rayuan pihak awam yang terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jenis rayuan yang boleh dikemukakan oleh orang awam ialah keputusan PBT yang enggan memberi kebenaran merancang atau merayu terhadap syarat yang dikenakan. Melalui penubuhan Lembaga Rayuan, orang awam boleh mengemukakan rayuan untuk didengar oleh satu badan yang berkecuali dan profesional dalam bidang perundangan dan perancangan bandar serta desa untuk membuat keputusan,” katanya.

Sumber : UMTK

21gilap
BALING 21 September – Ahli Persatuan Pengakap akan digilap menjadi sukarelawan dalam kerja kebajikan untuk membantu masyarakat supaya mereka juga mampu berbakti kepada negara pada masa depan.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penyertaan pelajar sekolah dalam persatuan pengakap mencerminkan mereka juga ada tanggungjawab untuk melaksanakan kerja kebajikan. Mereka akan digilap melalui persatuan masing-masing diperingkat sekolah supaya selepas melangkah ke alam dewasa, segala ilmu yang dipelajari dapat digunakan dengan sebaiknya.

“Remaja diperingkat sekolah perlu digilap dengan bersungguh-sungguh supaya mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat dan negara suatu hari kelak. Sekiranya mereka memiliki ilmu di dada, nescaya mereka akan menjadi manusia yang berguna dan mampu menyumbang bakti kepada negara,” katanya ketika merasmikan penutup Perkhemahan Persahabatan Dua Negara Pengakap Malaysia dan Thailand di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong.

Perkhemahan selama empat hari itu dihadiri ahli pengakap dari seluruh Negeri Kedah dan Thailand dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Dato’ Shukur Baharum; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Abdul Razak Md Noh dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Baling, Idris Said.

Sumber : UMTK

21mangsa
ALOR SETAR 21 September – Seramai 10 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pegawai Seberang Keretapi di sini akan dipindahkan ke Flet Seri Gemilang untuk sementara, sehingga penyelesaian dicapai di antara Kerajaan Negeri dengan Pejabat Daerah Kota Setar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya sedang berurusan dengan pejabat daerah bagi mencari penyelesaian, sama ada untuk membina semula perkampungan itu atau menggunakan inisiatif lain untuk membantu mangsa.

Katanya, Kerajaan Negeri boleh memilih memberi bantuan atas dasar prihatin, namun tidak wajib untuk membina semula penempatan terbabit kerana ia adalah kawasan setinggan yang tidak terancang.  Kerajaan Negeri menguruskan beberapa perkara sebelum memulakan pemindahan mangsa kebakaran itu ke rumah pangsa berkenaan sebagai penempatan sementara bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Kita tetap kenakan bayaran tetapi dalam bentuk token kerana memahami mereka dalam kesempitan, namun ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi Kerajaan. Saya akan membawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti kaedah yang boleh digunakan untuk membantu semua mangsa,” ujarnya ketika ditemui selepas meninjau tapak kebakaran di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak harus sedar, status perkampungan itu sebagai kawasan yang tidak terancang. Kerajaan Negeri akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sumber : UMTK

21penjawat
ALOR SETAR 21 September – Semua agensi Kerajaan Negeri disaran sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya setiap pembangunan dan projek berkepentingan dengan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik, sekaligus memberi faedah kepada pelbagai pihak.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun masalah berkaitan komunikasi itu hanya berlaku di beberapa kawasan, namun pihaknya mengarahkan penjawat awam supaya mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat mengenai sebarang projek pembangunan untuk rakyat.

“Masalah ini belum sampai tahap sehingga tidak dapat diperbetulkan, namun satu arahan sudah diberikan kepada semua penjawat awam di Kedah iaitu apa saja yang berkaitan dengan rakyat perlulah berbincang dengan wakil rakyat khususnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Menurutnya, perkara sama pernah dibangkitkan sebelum ini membabitkan pemindahan tapak pasar malam Pantai Johor kerana kadang-kadang keputusan dibuat tanpa dimaklumkan kepada pucuk pimpinan hanya akan timbul masalah hingga dituduh sebagai tidak mesra rakyat.

“Bagaimanapun, saya mempertahankan keputusan yang dibuat pegawai Kerajaan, namun berpesan supaya berbincang dan memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkaitan sebelum sesuatu tindakan diambil,” katanya.

Sumber : UMTK

KULIM 20 September - Pembuat panel solar terkemuka Amerika Syarikat, First Solar Inc. terus komited menanam modal di negara ini apabila mengumumkan pelaburan terbaharunya untuk membina tapak pengujian panel solar bernilai RM10 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dekat sini.

Naib Presiden Operasi Pembuatannya, Tymen De Jong berkata, tapak pengujian yang dinamakan Kulim Test Site itu dibina atas tanah seluas 2.0 hektar (5 ekar) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengujian produk panel solar.

Katanya, tapak pengujian panel solar yang dijangka siap pada bulan Mac 2015 itu juga merupakan yang pertama dan terbesar di negara ini.

"Apabila siap kelak ia dijangka mampu membantu proses R&D produk. Kapasiti pengujian adalan kira-kira 8,000 modul panel dan pada masa sama ia dapat menjana tenaga elektrik sehingga 750 kilowatt (kW) atau bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk 300 buah rumah sehari.

"Tenaga elektrik ini juga akan disalurkan untuk kegunaan pusat data dan sebahagian operasi kilang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah tapak yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Norsabrina Mohd. Noor, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan First Solar (M) Sdn. Bhd., P'ng Soo Hong dan Presiden Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd (KTPC), Anuar Mohd. Safar.

De Jong berkata, kewujudan tapak pengujian tersebut dapat memberikan manfaat dari segi pemindahan teknologi serta membantu proses R&D dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui pada masa akan datang.

"Selain itu, kita juga bercadang membuka tapak ini untuk tujuan lawatan dalam kalangan pelajar sekolah atau pun industri apabila siap kelak," jelasnya.

Sementara itu, Soo Hong berkata, setakat ini First Solar menanam modal RM4 bilion di Malaysia dengan sebahagian besarnya untuk pembangunan kilang pengeluaran di KHTP.

Sumber : UTUSAN

18rumahlangkawi
LANGKAWI 18 September – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan projek perumahan di daerah ini membabitkan keluasan kira-kira 58 hektar yang dijangka bermula akhir tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Dato’ Abdul Mutalib Alias berkata, projek pembangunan itu merangkumi kawasan seluas kira-kira 58 hektar yang akan dibangunkan dalam dua fasa membabitkan keluasan tanah kira-kira 22.2 hektar yang akan menyaksikan pembinaan kira-kira 1,000 unit rumah teres satu dan dua tingkat serta blok apartmen.

“Fasa pertama ini dijangka bermula akhir tahun 2015 yang akan dilengkapi dengan kemudahan awam bagi memenuhi keperluan penduduk. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan LADA dalam meneruskan hasrat kami untuk menjayakan misi dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada golongan muda yang berpendapatan sederhana,” katanya selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pemerkasaan Komunikasi Langkawi dan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia.

PR1MA diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis manakala LADA diwakili Ketua Pegawai Ekselutifnya, Tan Sri Khalid Ramli sambil disaksikan Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor yang mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK

18kerajaan
LANGKAWI 18 September – Kerajaan komited memperkasakan hubungan telekomunikasi kerana pembangunan sesebuah negara itu ada kaitan dengan telekomunikasi seperti enjin dan jentera.

Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, pembangunan sesebuah negara dan kemudahan telekomunikasi saling berkaitan berikutan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia kini semakin meningkat berkali-kali ganda.

“Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah 31.7 peratus dan angka terbaru bagi tahun ini sebanyak 67.1 peratus. Hanya 7.9 peratus lagi untuk sampai 75 peratus sasaran menjelang 2015,” katanya ketika berucap merasmikan Inisiatif Pemerkasaan Komunikasi Langkawi dan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, banyak kajian dan laporan termasuk yang diterbitkan oleh kesatuan teknologi antarabangsa menyatakan pelaburan untuk membangunkan infrastruktur dapat meningkatkan produktiviti dan memacu pembangunan.

“Infrastruktur telekomunikasi yang baik juga mencetuskan transformasi, meningkatkan kebolehan rakyat, menjana inovasi, melancarkan urusan dan meluaskan kerjasama,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor yang mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK

15GPMS
TAJUL Urus Mat Zain melepas burung merbuk dari dalam sangkar sempena Pelancaran Program Motivasi Perdana GPMS Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini

SUNGAI PETANI 16 September - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah akan terus bekerjasama dengan universiti tempatan untuk menjayakan pelbagai program pendidikan demi membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, setakat ini Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi kerjasama.

"Usaha dilakukan selama ini banyak memberi manfaat dan dapat menggembirakan ramai ibu bapa, khususnya di negeri Kedah," katanya sempena Majlis Pelancaran Program Motivasi GPMS 2014 Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini, baru-baru ini.

Program tersebut yang disertai oleh 327 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Shamsul Bahar turut melahirkan rasa gembira kepada agensi dan syarikat termasuk Petronas Chemical Fertilizer Sdn Bhd, My-Sutera Sdn Bhd. (Canggih), Bina Darulaman Berhad, Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri dan Era Edar Marketing yang turut memberi kerjasama menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Tajul Urus dalam ucapannya berkata, tanpa ilmu secukupnya, usaha membawa orang Melayu maju ke tahap lebih sempurna tidak akan kesampaian.

"Melalui ilmu secukupnya, mereka boleh menjadi lebih maju dan terkenal di seluruh dunia," katanya.
Beliau meminta pelajar Melayu supaya tidak terjebak dengan minuman keras, berjudi dan merokok kerana amalan buruk itu boleh merosak diri generasi akan datang.

Pengetua sekolah berkenaan, Nik Rahimah Nik Wan pula berkata, langkah diambil oleh GPMS Kedah untuk melancarkan program peringkat negeri di SMK Merbok, tentu memberi kebaikkan kepada calon-calonnya SPM nanti.

"Mereka juga berpeluang membuat pelbagai pertanyaan kepada penceramah dan program begini dengan kerjasama Pejabat Pelajaran daerah Kuala Muda/Yan dan pengurusan universiti boleh merapatkan hubungan baik antara satu sama lain," katanya.

Sumber : UTUSAN

SIK 15 September - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Kedah disaran membuat transformasi menarik dengan memberi bimbingan dan latihan secukupnya kepada tenaga pengajar kerana ia berupaya melahirkan lebih ramai pelajar cerdik di samping mempunyai idea baru.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, usaha itu jika dilakukan secara serius ia tidak boleh lagi diperkotak-katikkan lagi oleh mana-mana pihak dalam menjayakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak.

"Bukan mudah untuk melakukan tugas itu tanpa kerjasama sepenuhnya, mereka yang bertugas di setiap daerah perlu menyokong dan hasilnya boleh dinikmati bersama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Hari Potensi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas 2014 Peringkat Negeri Kedah di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik di sini, kelmarin.

Seramai 870 kanak-kanak Tabika di 15 Parlimen seluruh negeri Kedah hadir bagi memeriahkan program itu.

Menurut Mohd. Tajudin, usaha membimbing kanak-kanak perlu dimula di peringkat awal lagi selaras dengan peribahasa Melayu iaitu 'Melentur buluh biarlah daripada rebungnya'.

Beliau juga memberitahu, pihaknya bakal menyerah pelan strategi pembangunan, termasuk usaha menangani masalah kemiskinan penduduk di luar bandar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 21 September ini.

"Apa yang diharap melalui pelan bakal diperkenalkan itu sedikit sebanyak boleh menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh kalangan peniaga, petani dan lain-lain di negeri ini," katanya.

Sumber : UTUSAN

11azam
BALING 11 September - Program Azam Tani yang diilhamkan sejak 2010 menunjukkan prestasi positif daripada peserta apabila pendapatan mereka meningkat daripada sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB. Harun Aziz berkata, program ini adalah salah satu daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mempertingkatkan taraf hidup rakyat.

"Projek ini adalah salah satu daripada inisiatif di bawah program 1Azam yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Modal Insan dan Pengurusan Kewangan Peserta Azam Tani Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Negeri Kedah dan Pulau Pinang di Hotel Bayu, di sini.

Seramai 100 peserta dari Kedah dan Pulau Pinang menghadiri kursus tersebut sebagai persiapan untuk membina projek baru mahupun yang sedia ada ke arah yang lebih berdaya maju. Melalui kursus itu, peserta diberi pendedahan pengetahuan, kemahiran serta daya saing golongan sasar di dalam bidang pertanian.

Turut hadir dalam majlis itu ialah ADUN Bayu, YB. Dato’ Azmi Che Husin; Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Jamaludin Salim; Pengarah MARDI Kedah, Rashidan Ariffin dan Pengarah MARDI Pulau Pinang, Azmi Abdul Razak.

Sumber : UMTK

11sidam
KULIM 11 September – Kerajaan Negeri sudah membentangkan cadangan mengenai pembinaan lapangan terbang baru di negeri ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 8 September 2014.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, mengikut perancangan lapangan terbang baru itu akan dibina di sebuah tapak di Sidam Kiri dan hanya mengambil masa selama 20 minit perjalanan dari Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim.

“Usul berkenaan sudah dibentangkan untuk perhatian UPEN, malah kami turut membincangkan cadangan pembinaan lapangan terbang baru itu secara terperinci dengan menteri bertanggungjawab. Kami berharap ia akan diluluskan Kerajaan Pusat, sekaligus menjadikan Kulim sebagai kawasan pembangunan baru di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kilang Abbott Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini berunding dengan beberapa pelabur berpotensi berhubung cadangan membangunkan Bandar Sains Perubatan Kedah di Bandar Baharu. Perancangan itu adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri di mana pembangunan Bandar Sains Perubatan Kedah akan dilakukan di atas tanah seluas 264 hektar di Bandar Baharu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain.

Sumber : UMTK

10abbott
KULIM 10 September - Syarikat Abbott mengumumkan akan melabur sebanyak USD$60 juta bersamaan RM180 juta bagi membina sebuah kilang di Taman Perindustrian Kulim Hi-Tech yang terletak di Negeri Kedah untuk menghasilkan kanta intraokular yang digunakan untuk merawat mereka yang mengalami masalah katarak.

Kilang ini merupakan pelaburan dalam sektor pembuatan yang pertama untuk syarikat penjagaan penglihatan Abbott di Malaysia, seterusnya memperluaskan rangkaiannya di seluruh dunia. Operasi kilang itu dijangka bermula pada tahun 2015 dengan pengeluaran produk pertama dalam separuh kedua tahun 2016. Kilang tersebut akan digunakan untuk membekalkan pasaran kanta intraokular global.

Abbott adalah sebuah syarikat penjagaan kesihatan global terkemuka yang berdedikasi dalam meningkatkan kualiti hidup melalui pembangunan produk dan teknologi yang meliputi segala aspek penjagaan kesihatan.

Majlis perasmian pecah tanah Kilang Abbott Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK