27batal
ALOR SETAR 27 Julai - Kerajaan Negeri Kedah telah membuat keputusan  untuk membatalkan semua acara rasmi Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan yang dibuat itu adalah sebagai berkongsi kesedihan dan menghormati keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

“Ini termasuklah membatalkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon pada 2 Ogos 2014.

“Keputusan ini adalah sejajar dengan keputusan Kabinet yang membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jemaah Menteri 2014,” ujarnya.

Beliau berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan meneruskan amalan kunjung-mengunjung dan penuh kesederhanaan.

Sumber:UMTK
27insan
ALOR SETAR 27 Julai - Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dalam  usaha melaksanakan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun ini telah memantapkan lagi gerakan pembangunan luar bandar yang melibatkan masyarakat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Gerakan yang dimaksudkan adalah Gerakan Daya Wawasan 3.0. Ianya merupakan satu gerakan berterusan dalam usaha mentransformasikan kepimpinan JKKK agar menjadi institusi berwibawa dan mampu berperanan sebagai agen transformasi yang berkesan dalam menggerakkan penglibatan aktif komuniti setempat bagi merealisasikan wawasan desa yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, tanggungjawab yang paling utama bagi JKKK ialah sebagai penyampai dasar dan hala tuju Kerajaan kepada masyarakat serta menerima maklum balas terhadap perkara-perkara yang melibatkan rakyat seperti masalah, harapan dan cadangan untuk dikemukakan kepada Kerajaan.

“Kerajaan telah pun mengambil beberapa pendekatan dalam transformasi struktur, antaranya dengan meletakkan had umur kelayakan seseorang JKKK di sekitar umur 65 tahun. Turut digalakkan ialah penyertaan 30 peratus golongan belia dalam JKKK.

“Kewajipan menghadiri kursus induksi yang merupakan salah satu tindakan mentransformasikan struktur JKKK. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada JKKK Negeri Kedah yang telah hadir dalam kursus induksi yang merupakan kursus yang wajib bagi Pengerusi dan Setiausaha JKKK,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Abu Bakar Din dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Haji Mohd Arpan Shari. 

Sumber:UMTK
Oleh ABD RAZAK OSMAN
24jkkkMukhriz Tun Dr. Mahathir (tengah) bersama dengan sebahagian penerima elaun JKKK Peringkat Zon Selatan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah, semalam. - Utusan/Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 24 Julai - Semua ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta berintegriti dan sanggup bekerja secara lebih berhemah tanpa ada amalan pilih kasih terhadap penduduk di kawasan masing-masing. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, ia merupakan cara terbaik untuk memajukan masyarakat desa melalui dasar-dasar baharu setelah diperkenalkan oleh kerajaan.

"Mereka juga perlu berani menjawab sebarang prasangka buruk setelah disebarkan oleh pihak tertentu kepada kerajaan, termasuk berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini, tidak lama lagi" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan elaun kepada seramai 1,444 JKKK termasuk pengerusi dan setiausaha peringkat Zon Selatan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, di sini hari ini.

Menurutnya, setiap komen rakyat melalui JKKK perlu disampaikan ke peringkat atasan kerana ia boleh dijadikan panduan untuk membuat perubahan.

"Pemimpin JKKK perlu menyusun strategi baharu di samping sanggup mengikuti pelbagai kursus anjuran kerajaan negeri kerana mereka adalah ejen transformasi di peringkat tempatan," katanya.

Seorang penerima elaun, M. K. Sennivasan, 56, dari Kampung Cempedak, Jalan Padang Lembu, Gurun berkata, tanggungjawab JKKK ketika ini banyak berubah dan mereka perlu berbuat sesuatu agar masyarakat tidak mempertikaikan tentang tugas yang dilakukan.

Sumber:Utusan
24kuih
ALOR SETAR 24 Julai – Umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah puasa dengan aman kerana jasa dan khidmat bakti yang diberikan oleh anggota–anggota keselamatan negara.

Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (BIDARA), Tok Puan Norzieta Zakaria berkata, sebagai warganegara Malaysia, kita harus bersyukur atas nikmat keamanan yang dikurniakan Allah SWT dan mestilah berusaha untuk mempertahankannya.

“Namun begitu, janganlah kita lupa kepada saudara Islam di bumi Palestin yang sedang bersedih dan berusaha menyelamatkan diri dari bedilan roket yang dilancar rejim Zionis.

“Keganasan serta serangan itu menyebabkan ramai rakyat Palestin termasuk kanak-kanak telah terkorban manakala beratus-ratus lagi tercedera. Marilah kita panjatkan doa kepada Allah SWT supaya Palestin kembali aman,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya kepada anggota-anggota keselamatan negara di Negeri Kedah di Dewan Seri Melor, Mentaloon, di sini.

Menurutnya, beberapa hari lalu negara telah dikejutkan dengan peristiwa Pesawat MH17 yang terhempas setelah ditembak pengganas di kawasan perkampungan Donetsk di sempadan Ukraine dan Rusia.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan syabas kepada anggota-anggota keselamatan negara di Negeri Kedah  atas khidmat cemerlang mereka dalam memelihara keamanan serta kesejahteraan rakyat Negeri Kedah,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Datin Rodziah Yob; Timbalan Pengerusi PERKEP, DCP Dato’ Zaleha Abdul Rahman; Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Anggota Tentera (BAKAT), Puan Endahsari Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Isteri-Isteri Bomba dan Penyelamat (PRISMA), Puan Rosmah Abu Bakar serta Pengerusi Persatuan  Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP), Datin Fauziah Ishak.

Sumber:UMTK
24makam
ALOR SETAR 24 Julai –  Kerajaan Negeri berhasrat membina sebuah makam syuhada sekitar Masjid Zahir untuk memperingati pejuang yang mati syahid ketika berlaku peperangan antara Siam dan Kedah pada tahun 1821.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, pelaksanaannya perlu mendapat perkenan Sultan Kedah yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Idea mewujudkan makam itu tercetus hasil lawatannya ke Kota Iskandariah, Mesir yang terkenal dengan sejarahnya. Tidak ramai yang mengetahui sewaktu peperangan itu, 1,019 pejuang mati syahid dan sebahagiannya dikebumikan di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ringkas diterangkan mengenai pusara pejuang terbabit. Jika boleh kita mahu perincikan lagi sejarah mereka yang syahid supaya kisahnya dapat dijadikan teladan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau menjelaskan, pembinaan makam itu kelak bakal menarik kunjungan lebih ramai pelancong melalui pelancongan berbentuk dakwah atau kerohanian.

“Selalunya ramai yang berminat mengetahui kisah alim ulama, contohnya melawat kawasan tanah rata puncak Gunung Jerai yang dipanggil ‘Padang Tok Sheikh’ sempena nama Sheikh Abdullah seorang pendeta Arab yang berusaha mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah.

“Sebagai peringkat permulaan, saya sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus  Mat Zain supaya arkitek yang menjalankan kerja pengubahsuaian dalam kawasan Masjid Zahir memperuntukkan sudut khas untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, Kedah adalah antara negeri paling ramai syuhada kerana sering terlibat dalam peperangan pada masa lampau.

Sumber:UMTK
24tani
ALOR SETAR 24 Julai – Sebanyak lima pasar tani baru akan dibuka di lokasi-lokasi yang terpilih di negeri ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli pelbagai jenis barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, antara pasar tani baru yang akan dibuka adalah di Alor Setar, Padang Terap, Pendang, Kulim serta Kubang Pasu.

“Buat masa ini, di Kedah terdapat 18 lokasi pasar tani dengan 40 kali operasi pada setiap minggu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang dalam proses untuk menambah bilangan pasar tani di negeri ini.

“Lokasi di mana pasar tani ini akan beroperasi bergantung kepada kelulusan majlis daerah dan saya yakin dengan keadaan pasar tani yang berwajah baru dengan barangan yang lebih tersusun.

“Lebih ramai pengguna akan memilih pasar tani untuk membeli barangan keperluan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pasar Tani Pra-Syawal Peringkat Negeri Kedah di Pasar Tani Taman Wira Mergong, di sini.

Menurutnya, sempena musim perayaan ini juga, pengguna berpeluang mendapatkan harga barangan dengan lebih murah iaitu sekitar lima hingga 20 peratus bagi barangan yang terpilih.

“Pengguna kena bijak mencari barangan yang dijual di gerai-gerai yang mempunyai tanda ‘jimat harga dapur’  bagi mendapatkan barangan dengan lebih murah.

“Pada musim-musim perayaan seperti ini, kita mesti mengambil peluang sebaiknya bagi mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan di pasar tani,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, proses pembinaan Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di Kuala Kedah juga berjalan dengan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan bakal dirasmikan pada tahun 2015.

“Pembinaan yang melibatkan kos sebanyak RM3.4 juta ini akan beroperasi 24 jam yang mana melibatkan tiga giliran iaitu pada waktu pagi, petang dan malam dan peniaga tidak perlu lagi menggunakan khemah untuk berniaga,” katanya.

Sumber:UMTK
23asnaf
SUNGAI PETANI  23 Julai - Menunaikan tanggungjawab sosial dalam bulan Ramadan termasuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dapat memupuk dan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya berkata, usaha itu bukan sahaja memberi erti yang besar dalam membantu golongan yang memerlukan bantuan, malah dapat memastikan pemimpin rakyat peka terhadap keperluan dan masalah rakyat.

"Walau semaju mana pun sesebuah negara, amalan kemasyarakatan seperti tolong-menolong perlu terus dipupuk demi mewujudkan sebuah masyarakat sejahtera," katanya pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada 68 asnaf di Masjid Puteri Jaya, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja sosial bukan merupakan satu tugas mudah kerana perkara tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Sehubungan itu, beliau mahu lebih banyak pihak tampil menjayakan tanggungjawab sosial terutama membantu meri­ngankan beban golongan miskin agar mereka turut sama meraikan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Tambahnya, hal demikian kerana golongan kurang bernasib baik termasuk warga emas serta anak yatim memerlukan bimbingan, panduan dan peluang untuk meneruskan hidup mereka pada masa depan.

Sumber:UMTK
22lada
ALOR SETAR 22 Julai - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tidak perlu malu untuk mendapatkan nasihat daripada pakar bagi mengekalkan status Langkawi sebagai Geopark.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, LADA perlu membuat rujukan dan analisa daripada orang yang berpengalaman dan taman-taman geopark lain.

Menurutnya, melalui rujukan tersebut, idea baru akan diperoleh dalam menambahbaik Langkawi Geopark tanpa menjejaskan status yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kalau ada amaran daripada UNESCO itu, LADA dan pihak bertanggungjawab perlu cepat bertindak, cari jalan apa yang perlu diperbaiki.

“Mereka boleh minta pendapat-pendapat yang sebelum ini seperti pengasas Geopark Langkawi, Profesor Dato’ Dr Ibrahim Komoo dan membuat lawatan ke taman dunia lain sebagai rujukan dalam mendapatkan inspirasi.

“Bukan senang kita nak dapatkan taraf Geopark yang diiktiraf UNESCO yang pertama di Asia Tenggara. Jadi, sebarang bentuk tambah baik perlu diberi nafas baru supaya sentiasa segar,” katanya.

Media massa baru-baru ini melaporkan ada dakwaan menyatakan Langkawi Geopark menerima ‘kad kuning’ daripada UNESCO ekoran pihak berkuasa gagal patuhi amalan pemuliharaan yang mampan.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli dan berkata, dakwaan tersebut tidak benar setelah mereka membelanjakan hampir RM38 juta untuk penambahbaikan Langkawi Geopark.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, semua pihak perlu bersama-sama menjaga produk pelancongan terutamanya yang mendapat pengiktirafan UNESCO kerana ia sangat berharga.

“Kita perlu bersama-sama menjaga produk kita ini, bukan senang nak dapat kerana ia sangat berharga, selain mampu menjana pendapatan dalam sektor pelancongan dan sebagainya,” ujarnya.

Sumber:UMTK
22ipt
ALOR SETAR 22 Julai – Seramai 307 pelajar di Parlimen Alor Setar menerima sumbangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2013 di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB. Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sumbangan bernilai RM126,700 daripada Kerajaan Negeri Kedah sebagai semangat kepada pelajar di negeri ini untuk menyambung pengajian.

“Sebanyak 21 pelajar peringkat sijil menerima RM100  manakala 92 pelajar peringkat diploma menerima RM300 diikuti 194 pelajar peringkat ijazah menerima RM500 setiap seorang.

“Pihak kami mengharapkan pelajar yang menerima sumbangan ini menggunakan wang dengan sebaiknya untuk tujuan pengajian masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang berminat mendapat sumbangan untuk 2014, ibu bapa pelajar boleh mengemukakan dokumen berkaitan ke pusat khidmatnya.

“Kita masih membuka permohonan sehingga kini. Sebenarnya ada yang masih belum mengetahui bantuan Kerajaan Negeri termasuklah sumbangan wang IPT ini.

“Sesiapa berhasrat mendapatkan sumbangan diminta membawa salinan surat tawaran pengajian dan kad pengenalan ke Pusat Khidmat DUN Bakar Bata,” ujarnya.

Sumber:UMTK
22lukisan
SINTOK 22 Julai - Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM30,000 kepada Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkasakan sumber sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Dana khas itu sekali gus menyemarakkan lagi kerjasama  penyelidikan antara Kerajaan Negeri Kedah dan IPDM bagi mendokumentasikan semula sejarah Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), YB. Aminuddin Omar berkata, salah satu sebab peradaban Melayu tidak dapat berkembang dengan luas adalah kerana kelemahan aspek dokumentasi dalam peradaban Melayu.

“Hampir semua bukti sejarah peradaban Melayu tidak mempunyai bukti sejarah yang tertulis.

Banyak fakta-fakta penting seperti riwayat Kerajaan Melaka atau Lagenda Hang Tuah tidak mempunyai bukti yang kukuh selain dari sekadar cerita dan dogengan masyarakat.

"Justeru itu, Kerajaan Negeri mengorak langkah bagi mendokumentasikan kembali sejarah Negeri Kedah dan IPDM diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan kembali sejarah Negeri Kedah untuk dijadikan hadiah buat generasi akan datang agar warisan ini tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan dana penyelidikan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah Kepada IPDM di UUM, di sini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, hasil kerjasama penyelidikan itu, pihaknya akan menghasilkan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah yang secara tidak langsung memberi nafas baru dalam pensejarahan Negeri Kedah.

Menurutnya, senario dunia yang kian mencabar dan menuntut kecemerlangan dalam setiap bidang, sesebuah institusi itu tidak boleh bergerak sendirian.

“Kerjasama sebegini amat penting untuk penggemblengan sumber penyelidikan dan inovasi yang bersifat multidisiplin dan mengoptimumkan potensi sumber pakar dan kepakaran universiti.

"Dalam usaha ini, perbincangan juga dibuat bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah untuk menjadi rakan strategik IPDM dalam menjayakan projek mendokumentasikan sejarah Negeri Kedah," katanya.

Sumber:UMTK
ALOR SETAR 21 Julai - Polis Kedah akan menempatkan lebih ramai anggota bagi memantau 41 kawasan panas yang sering berlaku kemalangan sepanjang Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini hingga 4 Ogos nanti.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, antara lokasi tumpuan ialah di daerah Kuala Muda iaitu Kilometer 45, Jalan Alor Setar-Butterworth dan Kilometer 4, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil yang sering mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap kali musim perayaan.

"Dalam operasi kali ini akan memberikan pengkhususan kepada 41 lokasi kemalangan termasuk dua lokasi tumpuan yang sering berlaku kemalangan di negeri ini.

"Bagi tujuan itu, kita akan menempatkan lebih ramai anggota dan pegawai di lokasi-lokasi yang terlibat untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya ketika melancarkan Ops Selamat Siri 5/2014 peringkat negeri di Plaza Tol Alor Setar (Selatan) di sini hari ini.

Menurut Ahmad, sejak Ops Selamat dilancarkan pada 2012, jumlah kemalangan jalan raya di negeri itu didapati menurun sebanyak empat peratus.

"Pada tahun lalu, sebanyak 1,098 kemalangan direkodkan membabitkan 19 kematian berbanding 1,147 kemalangan dan 23 kematian pada tahun 2012.

"Kita harapkan kempen dan penguatkuasaan yang dilakukan pada tahun ini juga menunjukkan kesan positif," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain tumpuan di jalan raya, keselamatan rumah yang ditinggalkan sempena musim perayaan juga perlu diberi perhatian oleh orang ramai.

"Polis menyediakan borang balik kampung yang boleh dimuat turun daripada laman web Polis Diraja Malaysia atau di balai-balai polis berhampiran untuk diisi oleh orang ramai yang meninggalkan rumah," katanya.

Sumber:Utusan
21tadarusALOR SETAR 21 Julai – Isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria bersama rakyat memenuhi bulan Ramadan dengan menyertai Tadarus Al-Quran dan Khatam Al-Quran 2014 yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Majlis dimulakan dengan penyampaian tazkirah oleh Pegawai Penyelidik di Jabatan Mufti Negeri Kedah, Ustazah Faridah Ahmad serta tadarus dan khatam Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, program yang diadakan itu adalah susulan daripada program yang diadakan di setiap parlimen di negeri ini.

“Program ini adalah antara sumbangan yang diberikan kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian dan program seperti ini akan diteruskan dan dilaksanakan pada setiap tahun.

“Kita berharap golongan wanita dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam usaha merealisasikan hasrat ke arah menjayakan program ini,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Kama Noriah Ibrahim.

Sumber:UMTK
21terbiar
BALING 21 Julai – Lebih 480 hektar tanah terbiar sekitar daerah ini akan dimajukan dengan pelbagai projek pembangunan khususnya dengan tanaman padi dan pertanian lain untuk manfaat rakyat.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Kerajaan melalui agensi berkaitan pertanian serta Biro Pertanian UMNO Bahagian Baling sedang menyusun usaha mengenal pasti tanah terbiar terbabit supaya dapat dimajukan bersesuaian dengan struktur tanah untuk projek pertanian.

Menurutnya, banyak tanah terbiar terbengkalai berpunca sistem perparitan tidak tersusun menyebabkan ramai petani meninggalkan tanah mereka selama bertahun-tahun.

“Berikutan itu, kita minta Jabatan Pertanian serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membantu sambil saya berusaha mendapatkan peruntukan supaya tanah terbiar dapat dibangunkan semula terutama ditanam dengan padi atau tanaman lain yang sesuai mengikut keadaan tanah.

“Saya yakin jika ini dapat dilakukan, tidak mustahil Baling mampu menjadi kawasan tanaman padi terbesar, sekaligus membuka ruang dan peluang kepada generasi muda untuk bertani,” katanya selepas menyampaikan sumbangan raya kepada 239 cawangan UMNO empat peringkat sekitar Parlimen Baling di Kompleks Rakan Muda, di sini.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut mengenal pasti sebahagian tanah kosong di daerah ini yang tidak sesuai dengan pertanian, untuk dimanfaatkan melalui projek industri seperti kilang automotif jenama terkemuka yang kini dalam proses rundingan, selain kilang kereta perisai yang akan dibangunkan.

“Buat masa ini, pusat latihan dan kaedah pemindahan teknologi bagi kenderaan berjenama AUDI masih di peringkat perbincangan untuk memastikan projek itu memberi manfaat kepada rakyat.

Sebuah syarikat Korea ada menyuarakan minat untuk bekerjasama membangunkannya di daerah ini.

“Kita akan kenal pasti lokasi bersesuaian dan jika projek ini berjaya direalisasikan tahun depan, kita akan urus soal tanah dengan Kerajaan Negeri. Kita yakin ia secara tidak langsung dapat membantu melonjak pertumbuhan ekonomi kawasan serta membantu penduduk setempat menambahkan pendapatan,” ujarnya.

Sumber:UMTK
21sumbangan
LANGKAWI 21 Julai - Seramai 450 warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan fakir miskin menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan.

Majlis anjuran Yayasan 1Malaysia Development Berhad dengan kerjasama UMNO Bahagian Langkawi itu berlangsung di Dewan Badminton, Komplek Sukan Lada, di sini yang diadakan bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan.

YB. Nor Saidi Nanyan, sumbangan yang diberikan itu adalah bersempena menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, YB. Dato’ Ir Haji Nawawi Haji Ahmad ADUN Ayer Hangat, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid.

Sumber:UMTK
17pahlawan
ALOR SETAR 17 Julai – Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga  Sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah 2014 berlangsung dengan penuh istiadat di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara, di sini.

Majlis yang berlangsung itu dimulakan dengan perbarisan menyembah ‘Hormat DiRaja’ dan lagu ‘Allah Selamat Sultan’ serta ‘Negaraku’ turut dimainkan.

Seterusnya tiupan ‘Last Post’ dan pembacaan sajak bertajuk ‘Pahlawan’ oleh  Leftenan Mohd Hafiz Abdullah dari Kolej Tentera Udara Alor Setar.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan kalungan bunga oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir .

Panglima Enam Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Mohd Zakaria Yadi bersama Ketua Polis Negeri Kedah, Senior DCP Dato’ Ahmad Ibrahim dan Panglima Wilayah Laut Tiga, Kapten Abau Endin Boon turut mengalung bunga di tugu peringatan itu.

Kalungan bunga diteruskan oleh Komandan Tentera Udara DiRaja Malaysia, Kolonel Sardon Hassan bersama Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Kedah, Encik Shuaib Haji Hussain dan Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas-Bekas Polis Negeri Kedah, Encik Mohd Amin Ramli.

Sumber: UMTK
17permit
BUKIT KAYU HITAM 17 Julai – Kerajaan disarankan mewujudkan permit khas bagi membolehkan pengusaha kereta sewa atau teksi khususnya di kawasan luar bandar bertukar kepada van yang lebih selesa dan besar.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB. Dato’ Mohd Johari Baharom berkata, permit itu dilihat perlu diberikan khusus kepada pengusaha teksi di kawasan sempadan negara jiran seperti Bukit Kayu Hitam-Thailand dan Kelantan-Thailand.

“Pemandu van Thailand mampu meraih kira-kira RM17,000 sebulan dengan membawa penumpang keluar masuk dari negara ini ke Thailand dan dari Thailand ke destinasi dalam negara ini secara terbuka,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ambang Ramadan anjuran Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, di sini.

Menurutnya, beliau akan berjumpa dengan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya mempermudah pinjaman kewangan kepada pengusaha teksi untuk tujuan membeli van baru.

“Ini akan memberi peluang kepada pengusaha teksi tempatan untuk memberi perkhidmatan terbaik berbanding perkhidmatan van dari negara jiran,” katanya yang turut merasmikan Pejabat Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Kerajaan juga perlu mengkaji semula Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang disalahguna oleh pengusaha kenderaan persendirian negara jiran itu dengan membawa masuk pelancong asing ke negara ini.

“Pengusaha teksi di negara ini tidak pernah melanggar undang-undang negara jiran itu dan tidak pernah membawa pelancong dari negara ini terus ke destinasi tertentu di negara jiran.

“Saya akan bertemu dengan wakil kenderaan sewa Thailand bagi membincangkan isu ini. Kita mahu kedua-dua pihak iaitu pengusaha teksi tempatan dan Thailand mendapat keuntungan sama adil dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sumber:UMTK
17makkah
BALING 17 Julai – Lembaga Tabung Haji bercadang membangunkan sebuah kompleks khas di Makkah bagi kemudahkan penyelarasan dan penyediaan segala kemudahan jemaah negara di sana.

Pengerusinya, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, untuk tujuan itu, Tabung Haji sedang mencari tanah sesuai untuk dijadikan tapak pembangunan kompleks tersebut.

“Kunjungan saya ke Makkah baru-baru ini, antara lain untuk mengenal pasti tapak sesuai bagi pembinaan kompleks Tabung Haji. Kerjasama erat di antara Malaysia dan Arab Saudi dapat memastikan keupayaan Tabung Haji membina kompleks di negara berkenaan.

“Ini rancangan yang akan kita laksanakan supaya segala urusan dapat dilakukan dengan mudah, demi memberi keselesaan kepada jemaah haji negara setiap kali menunaikan ibadat di sana.

“Kita yakin usaha ini mendapat sokongan kerana hubungan baik Kerajaan kita dengan Arab Saudi, apatah lagi negara itu percaya dengan kesungguhan Malaysia dalam semua aspek termasuk akhlak jemaah haji ketika menunaikan ibadat di Makkah,” ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Baling berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan agihan zakat sebanyak RM200,000 oleh Tabung Haji kepada golongan asnaf Peringkat Negeri Kedah di Dewan Tun Abdul Razak, di sini.

Pada majlis itu, seramai 400 asnaf miskin dan fakir menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang yang disalurkan oleh Tabung Haji bagi meringankan beban mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Tabung Haji Negeri Kedah, Ahmad Sohaimi Dato’ Abdul Rahim dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Sumber:UMTK
16zakat
ALOR SETAR 16 – Jabatan Zakat Negeri Kedah menyasarkan kutipan zakat kira-kira RM160 juta pada tahun ini berbanding RM123 juta pada tahun 2013 berikutan wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali berkata, pihaknya juga mencapai kenaikan 100 peratus jumlah kutipan zakat menjadikan jumlah terkumpul bagi tempoh Januari sehingga Julai 2014, sebanyak RM80 juta berbanding RM40 juta bagi tempoh yang sama tahun 2013.

“Alhamdulillah, jumlah kutipan zakat menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari semasa ke semasa dan berharap sasaran kita pada tahun ini tercapai bagi tujuan membantu golongan asnaf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kaunter Zakat Bergerak di Bangunan Jabatan Zakat Negeri Kedah, di sini.

Menurutnya, kaunter zakat bergerak itu yang julung kali diperkenalkan di negeri ini bakal memberi kemudahan kepada masyarakat Islam menunaikan kewajipan masing-masing.

Katanya, kaunter itu bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat harta dan zakat fitrah, malah menjaga pelbagai urusan keprihatinan asnaf termasuk hebahan skim bantuan zakat, penerangan, permohonan bantuan dan semakan penyata zakat.

“Kami merasakan perlu untuk memastikan aktiviti dakwah berkaitan zakat di negeri ini tidak ketinggalan dan seiring dengan cabaran semasa.

“Kaunter bergerak ini lebih berfungsi untuk mengagihkan bantuan berbanding mengutip zakat dan akan pergi ke kawasan pedalaman di seluruh negeri bagi memberi khidmat secara menyeluruh kepada penduduk di luar bandar,” ujarnya.

Sumber:UMTK
16transit
ALOR SETAR 16 Julai – Kerajaan Negeri merancang menyediakan rumah transit di dua daerah membabitkan Kota Setar dan Langkawi bagi memberi tempat perlindungan sementara kepada golongan gelandangan dan pengemis di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, Kerajaan Negeri mencari premis bersesuaian di bandaraya ini dan Langkawi yang dikenal pasti antara tempat perlindungan sementara kepada golongan sasar itu.

“Kami mengakui di bandaraya ini juga wujudnya golongan gelandangan dan kami memang memerlukan rumah transit ini sebagai tempat tinggal sementara mereka sebelum mereka boleh hidup berdikari dan mencari kerja.

“Selain gelandangan dan pengemis, rumah transit ini juga berperanan menempatkan ibu tunggal dihalau keluar  oleh suami apabila diceraikan, selain remaja bawah umur yang ditahan akibat kesalahan juvana.

“Kami meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan sekiranya mendapat premis bersesuaian, kami akan ubah suai seperti asrama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Tambahnya, kemudahan rumah transit itu akan dilaksanakan secepat mungkin berdasarkan jumlah golongan sasar yang semakin ramai perlu dibantu di negeri ini.
“Gelandangan dan golongan sasar ini akan diberikan tempoh menginap sekurang-kurangnya dua minggu hingga tiga bulan sebelum mereka dibantu mencari pekerjaan dan tempat kediaman lebih selesa.

“Kami juga akan meminta perintah mahkamah supaya tiada mana-mana pihak yang berniat tidak baik boleh mendekati penghuni rumah transit ini bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Sumber:UMTK
15takungan
PADANG TERAP 15 Julai - Walaupun paras air di Empangan Ahning, di sini, mencatat penurunan sebanyak 12 meter berbanding paras asal 113 meter, ia masih dapat membekalkan keperluan air domestik di Kedah Utara dan Langkawi untuk tempoh empat bulan lagi walaupun musim kemarau.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid berkata, ia berikutan takungan air di empangan itu adalah sebanyak 139 juta meter padu berbanding keperluan air yang dilepaskan setiap hanya satu juta meter padu ke loji air di Pelubang, Padang Sanai dan Bukit Pinang, di sini.

Katanya, keadaan semasa di Empangan Pedu pula menunjukkan paras air semasa 85 meter berbanding paras maksimum 100 meter, namun takungan airnya lebih besar iaitu 435 juta meter padu dan masih lagi mencukupi bagi keperluan pertanian dan domestik untuk masa yang panjang.

“Paras air masih lagi cukup dan tidak berlaku krisis hingga memerlukan bekalan air dicatu dalam masa terdekat. Namun, kita sentiasa memantau kesan Fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada September dan Oktober depan.

“Meskipun kita tidak menghadapi masalah bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini, persediaan tetap perlu dilakukan supaya bekalan air di Negeri Kedah sentiasa terjamin,” katanya pada sidang media selepas melawat Empangan Ahning, di sini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Kerajaan perlu memulakan pembinaan sebuah lagi empangan yang sudah dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Jeniang bagi memastikan pengurusan bekalan air di Wilayah Utara lebih terjamin.

Katanya, dalam RMK-9, Kerajaan sudah merancang pembinaan Empangan Noaq di Jeniang untuk meringankan bebanan, sekaligus menakung bekalan air bagi Empangan Ahning dan Pedu pada masa depan.

“Kini sudah RMK-10 dan hujung tahun ini, kita akan masuk RMK-11, jadi saya rasa sudah sampai masanya ia dibina kerana pelan binaan serta urusan lain berkaitan semuanya sudah dilaksanakan ketika ini.

“Jika siap nanti, ia akan membolehkan bekalan air kita lebih selamat kerana sekarang keperluan harian juga semakin meningkat walaupun empangan sedia ada masih mampu menampungnya,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim dan Pegawai Daerah Padang Terap, Tuan A.Rahman Haji Zainol.

Sumber:UMTK
15hsb
ALOR SETAR 15 Julai – Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan menaiktaraf Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan hospital itu kini telah mencapai kapasiti yang maksima bagi menampung jumlah pesakit dari daerah berdekatan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, bagaimanapun, kertas cadangan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan untuk kelulusan.

“Sudah tiba masa HSB diperbesarkan dengan tambahan bangunan baru untuk menempatkan pesakit. Bagaimanapun, perkara ini perlukan persetujuan Pusat. Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan untuk salurkan bantuan lain yang diperlukan, termasuk dana,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada pesakit HSB, di sini.

Menurutnya, beliau turut berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan HSB kepada pesakit, selain kagum dengan usaha hospital itu meningkatkan mutu perkhidmatannya.

“Keperluan rakyat Kedah adalah keutamaan kita, termasuk isu kesihatan. Kita akan adakan perbincangan dengan pihak HSB untuk kenal pasti keperluan lain untuk diberi keutamaan,” ujarnya.

Pada lawatan itu, Menteri Besar turut mengunjungi kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan dan komunikasi bawah Projek Rehabilitasi Awal Melalui Kumpulan Bersepadu Lestari (Preamble Step).

Tambahnya, HSB kini dilengkapi teknologi terkini untuk mengenal pasti bayi yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir dan mereka boleh mendapatkan rawatan di pusat berkenaan.

“Sudah banyak usaha dibuat untuk tingkatkan kemudahan perkhidmatan termasuk kepada pesakit kanak-kanak. Pusat ini membolehkan rawatan awal dibuat seawal mungkin dan ia satu usaha yang sangat baik,” katanya.

Turut hadir ialah isteri Menteri Besar, Tok Puan Norzieta Zakaria dan Pengarah HSB, Dato’ Dr. Juita Ghazalie.

Sumber:UMTK
15asnaf
JITRA 15 Julai – Seramai 400 asnaf di negeri ini menerima bantuan Ramadan dan persediaan Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, di sini.

Majlis penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah merangkap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Noh Dahaya berkata, selain sumbangan wang tunai, golongan berkenaan juga menerima barangan keperluan seperti beras, beras pulut, minyak masak dan sebagainya.

“Ini adalah acara tahunan yang dilakukan di setiap daerah di negeri ini dan tahun ini, giliran Kubang Pasu menjadi tuan rumah. Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban golongan berkenaan.

“Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada imam di lima kariah di setiap daerah di negeri ini. Apa yang kita tekankan, umat Islam sememangnya digalakkan bersedekah apatah lagi pada bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Safiah Abas, 70 tahun berkata, dia bersyukur kerana dipilih oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah untuk menerima sumbangan sempena Ramadan tahun ini.

“Alhamdulillah, sumbangan ini bolehlah makcik buat belanja sikit-sikit untuk hari raya. Makcik sangat berterima kasih kepada Kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah di atas sumbangan ini,” katanya.

Berangkat sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber:UMTK
14piala
ALOR SETAR 14 Julai – Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir bersama hampir 1,000 peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2014 yang menyaksikan Jerman muncul juara menewaskan Argentina 1-0.

Meskipun terikat dengan banyak komitmen mentadbir negeri ini, Menteri Besar Kedah tidak keberatan untuk turut sama bersengkang mata sehingga jam 6 pagi sambil ditemani Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong.

Menteri Besar Kedah yang hadir dengan memakai t-shirt berlengan panjang memilih Jerman sebagai pasukan pilihannya. Beliau yang tiba kira-kira 2.45 pagi kemudiannya bersahur bersama peminat bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Perlawanan antara Jerman dan Argentina berlangsung dengan penuh mendebarkan dan pelbagai aksi turut ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan. Namun tiada jaringan berjaya dilakukan sehingga tamat perlawanan.

Walaubagaimanapun, pasukan Jerman berjaya menunjukkan prestasi yang mengagumkan apabila penyerangnya, Mario Goetze berjaya menjaringkan gol kemenangan Jerman pada minit ke-113 masa tambahan menerusi voli cantik.

Sumber:UMTK
14bdb
ALOR SETAR 14 Julai – Bina Darulaman Berhad (BDB) menandatangani perjanjian dasar induk (HoA) untuk membeli 485 hektar tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Perjanjian itu ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato’ Izham Yusoff dan Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Pada perjanjian itu, BDB bersetuju untuk mengambil 21 bidang tanah masing-masing tiga di Langkawi, satu di Kubang Pasu, lima di Kuala Muda, dua di Pokok Sena dan 10 di Kulim.

Difahamkan, proses pengambilalihan itu membabitkan perbelanjaan kira-kira RM204 juta. Izham berkata, langkah itu adalah satu usaha bersama bagi menentukan hala tuju BDB pada masa akan datang.

“Kebanyakan tanah ini akan kita bangunkan sebagai kawasan perumahan baru termasuk rumah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani HoA di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, selaras dengan objektif BDB untuk meningkatkan jumlah tanah untuk pembangunan hartanah, cadangan pengambilalihan itu mampu meningkatkan simpanannya kepada 1,097 hektar.

“Dalam cadangan projek perumahan, memang kita ada berbincang dengan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), tetapi tidak semestinya menggunakan tanah yang kita beli ini,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun 2013, BDB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21.1 juta berbanding pendapatan tahunan sebanyak RM281.0 juta.

“Aset ketara bersih sesaham meningkat kepada RM3.64 dari RM3.42 pada tahun 2012 manakala dana pemegang saham pula meningkat kepada RM265.2 juta berbanding RM249.2 juta pada tahun 2013,” katanya.

Sumber:UMTK
9dun
ALOR SETAR 9 Juali – Sebanyak 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah menerima peruntukan sebanyak RM40,000 bagi setiap DUN untuk melaksanakan projek penyelenggaraan jalan perhubungan desa di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara DUN yang menerima peruntukan itu ialah DUN Ayer Hitam, Guar Chempedak, Sungai Tiang, Tanjung Dawai, Kuala Nerang, Ayer Hangat, Belantik, Jitra, Bandar Baharu, Gurun, Bayu, Bakar Bata, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Bukit Lada, Kuah, Pedu, Jeneri, Pantai Merdeka, Kupang dan Kulim.

“Peruntukan yang disalurkan itu merupakan peruntukan untuk projek penyelenggaran jalan perhubungan desa bagi tahun 2014 di bawah program one-off  peruntukan belanja mengurus (OE).

“Kriteria yang telah ditetapkan bagi pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan perhubungan desa ialah jalan kampung yang tiada dalam senarai sistem rekod maklumat jalan di Malaysia.

“Di samping itu, kita juga turut memberi penekanan terhadap jalan kampung yang tidak menerima sebarang peruntukan selenggara daripada Kerajaan Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Daerah,” katanya pada majlis penyampaian peruntukan sebanyak RM40,000 kepada 21 DUN di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada jalan-jalan kampung yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah pentadbiran Unit Pembangunan Luar Bandar Pejabat-Pejabat Daerah.

Beliau menjelaskan, skop kerja selenggara seperti menampal lubang dan bahu jalan, pemotongan rumput tepi jalan, selenggara sistem saliran tepi jalan, selenggara perabot jalan dan pembentung serta menggantikan pembentung turut diberikan perhatian.

“Keutamaan kepada penyelenggaraan jalan-jalan kampung yang amat diperlukan oleh rakyat diharap mampu memberi faedah kepada lebih ramai pengguna jalan.

“Setiap projek yang dilaksanakan itu hendaklah disediakan papan tanda projek sepertimana yang dikehendaki oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” ujarnya.

Sumber:UMTK
YUSOFF ISMAIL
9sprm
ALOR SETAR 9 Julai - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan agar pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditempatkan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tugas membanteras kegiatan perjudian haram dilakukan secara telus.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail (gambar) berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera agar kegiatan perjudian haram itu dapat dihapuskan sepenuhnya di negara ini.

"Kadang-kadang kita hairan apabila satu serbuan dijalankan ke atas premis perjudian haram dengan mudahnya premis tersebut akan dibuka semula tidak lama kemudian.

"Sebab itu pihak Cake cadangkan agar pegawai integriti SPRM ditempatkan di setiap PBT agar usaha menghapuskan kegiatan perjudian haram di negara ini dapat dilakukan secara telus dan premis perjudian tersebut tidak dibuka semula selepas diserbu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai aktiviti perjudian yang berlaku di seluruh negara sehingga mendapat reaksi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta semua pihak bertindak kerana kegiatan tersebut kini pada tahap luar biasa.

Menurut Yusoff, pegawai integriti SPRM itu juga perlu memantau setiap operasi serbuan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa PBT.
Katanya, pemantauan secara berkala juga perlu dilakukan dengan lebih kerap oleh anggota-anggota penguat kuasa PBT ke lokasi-lokasi premis perjudian haram yang pernah diserbu.

"Bila premis perjudian ini dibuka semula, anggota penguat kuasa PBT perlu terus menjalankan operasi dan menyerbu premis tersebut.

"Barangan yang ada di dalam premis ini perlu disita dan jangan dikembalikan kepada pemiliknya semula agar kegiatan tersebut tidak berulang kembali," jelasnya.

Sumber:Utusan
9pac
ALOR SETAR 9 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Kedah akan memantau setiap projek yang dirancang di negeri ini supaya berjalan lancar.

Pengerusinya, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, perkara itu penting kerana rakyat inginsetiap projek pembangunan yang dirancang menjadi kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 46 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan. Masing-masing 29 projek Kerajaan Persekutuan dan 17 projek Kerajaan Negeri.

“Kita berpuas hati dengan projek-projek yang sedang dilaksanakan di Kedah sebab tidak ada satu pun projek sakit atau runtuh.

“Ini yang kita nak tahu kerana setiap projek pembangunan itu melibatkan duit rakyat. Jadi, kita perlu maklumkan segala yang sedang berlaku kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini.

Menurutnya, PAC akan terus bergerak dan membuat pemantauan secara berkala supaya setiap projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Antara projek yang sedang berjalan ialah pembinaan Maktab Mahmud di Pokok Sena. Projek bernilai RM3.6 juta itu dijangka siap pada November tahun ini.

“Selain itu, projek pembinaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Langkawi juga kini sudah 75 peratus siap. Projek bernilai RM4.4 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, projek pembinaan Jambatan Kuala Pegang, Baling terpaksa ditangguhkan atas sebab teknikal.

“Pada awalnya, kita bercadang untuk membina jambatan itu dengan saiz yang tidak begitu besar. Tetapi disebabkan jambatan itu selalu mengundang bahaya, maka kita akan memperbesarkan saiznya.

“Oleh itu, kita memerlukan peruntukan tambahan dan berjanji rakyat di situ akan menerima kemudahan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Sumber:UMTK
7impak

ALOR SETAR 7 Julai – Kerajaan Pusat sedia mempertimbangkan dan merealisasikan beberapa projek yang dirancang Kedah termasuk pembinaan lapangan terbang baru di Kulim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Abdul Wahid Omar berkata, Kerajaan Negeri sudah memberi beberapa fakta mengenai cadangan pembinaannya tetapi kedua-dua pihak perlu berbincang lebih lanjut mengenai keperluan dan implikasinya terhadap kawasan persekitaran dan negeri ini.

Beliau berkata, banyak faktor yang perlu diberi perhatian berhubung pembinaan lapangan terbang ketiga di Kedah.

“Apa yang penting ialah semua projek yang bakal dilaksanakan itu dapat memberi impak besar kepada ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, banyak projek lain turut dicadangkan Kerajaan Negeri kerana ia adalah rancangan yang penting menjelang Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang berakhir menjelang tahun 2020.

“Saya diberi penerangan dan maklum balas oleh Kerajaan Negeri. Memang kalau diikutkan senarai itu terlalu panjang dan memerlukan komitmen yang agak tinggi.
“Bagaimanapun, kita perlu perbincangan lebih lanjut mengenainya sebelum dibentangkan di Parlimen pada Jun 2015,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Pusat menyokong apa jua inisiatif yang ingin dilaksanakan Kerajaan Negeri tetapi bergantung kepada kemampuan dan kedudukan ekonomi negara.

“Bukan saja dari segi kewangan tetapi kewujudan infrastruktur lain yang sedia ada di kawasan itu.

“Kita perlu melihat konsep pembangunannya dan cara dibiayai. Ini sudah tentu memerlukan penelitian dan perbincangan bersama,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, kawasan Lembah Bujang mempunyai potensi tarikan pelancong dan wajar dibangunkan semula.

“Ia adalah antara kawasan paling menarik dan mempunyai potensi untuk dimajukan walaupun dari segi pelaburannya tidak begitu besar.

“Ini merupakan satu kawasan tamadun lama berbanding Angkor Wat. Mungkin kita boleh lihat semula bagaimana kaedah untuk membangunkan Lembah Bujang yang bukan sahaja sebagai pusat tamadun bersejarah tetapi kawasan tarikan pelancong berkualiti tinggi,” katanya.

Selain itu, Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park) perlu dimajukan lagi kerana sebelum ini Kedah berjaya mewujudkan satu kawasan teknologi tinggi dan banyak syarikat terkemuka di dunia beroperasi di situ.

“Ini sesuatu yang mungkin boleh dipertingkatkan lagi,” ujarnya.

Sumber:UMTK
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
6gempur
JERAI 6 Julai - Pihak berkuasa agama negeri diingatkan supaya sentiasa menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, usaha itu melibatkan banyak pihak seperti polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang Islam yang terlibat perlu dikenakan tindakan sewajarnya demi keutuhan akidah mereka.

"Jabatan agama Islam negeri sentiasa kita ingatkan untuk menguatkuasakan tindakan kepada orang Islam yang terjebak dengan judi ini bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan-bulan lain.

"Ada peraturan dan enakmen negeri-negeri yang memperuntukkan tidak membenarkan orang Islam bermain mesin judi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan iaitu buah kurma dan air zam-zam kepada 44 imam masjid Parlimen Jerai di Guar Chempedak, di sini semalam.

Selain itu, sempena Ramadan ini beliau turut menggesa agar pihak berkuasa agama terbabit supaya lebih giat menjalankan pemantauan terhadap premis perniagaan agar mematuhi larangan untuk tidak menjual makanan sebelum pukul 3 petang.

"Peraturan ini ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan, namun ada juga berlaku pelanggaran kerana ada juga yang menjual sebelum pukul 3 petang.

"Sebagai penjual kita berniaga nak cari rezeki, jadi biarlah rezeki yang kita cari itu halal walaupun makanan itu dasarnya halal tetapi kita jual kepada orang yang tidak berpuasa, ini merupakan larangan.

"Jadi di peringkat penguatkuasaan kita minta agar mereka lebih kerap membuat pemantauan secara teratur ke atas mereka yang terlibat," katanya.

Sumber:Utusan
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
5nciaMukhriz Mahathir

KUBANG PASU 5 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi menjalankan kajian terperinci berhubung kebolehlaksanaan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim yang mahu dimasukkan sebagai salah satu daripada projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hasil kajian itu nanti akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memudah cara proses keputusan yang bakal dibuat di peringkat Persekutuan berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk mengusulkan pembinaan lapangan terbang itu baru-baru ini, kerajaan negeri sebenarnya sudah mendapat input daripada Makmal Transformasi Kedah yang berlangsung September tahun lepas yang dianggotai beberapa pihak berwajib seperti Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pemegang taruh lain dalam industri berkenaan.

"Apabila mendapat input berkenaan, kami berasa yakin mengenainya. Bagaimanapun, perlu diakui input yang diperoleh itu tidak menyeluruh menyebabkan saya terfikir untuk mendapatkan kerjasama NCIA.

"Hasrat ini sudah pun saya nyatakan dalam mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang hadir ke Kedah kelmarin di mana hasil kajian itu nanti diyakini dapat membantu banyak pihak terlibat seperti EPU, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama rakyat yang dianjurkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) di Surau Kampung Kuala Jerlun di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam turut menyampaikan sumbangan peribadi berserta barangan keperluan dapur dan wang tunai daripada BDB kepada 340 keluarga miskin, golongan berusia dan ibu tunggal yang tinggal di kawasan berkenaan.

Ditanya bila kerjasama itu akan dijalankan, Mukhriz berkata, perkara itu akan dilaksanakan secepat yang boleh sambil menjangkakan hasil kajian itu akan diperoleh dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Kelmarin, Abdul Wahid mengesahkan kepada media bahawa kerajaan negeri sudah pun mengemukakan fakta serta justifikasi berhubung pembinaan lapangan terbang tersebut yang dicadangkan agar dimasukkan sebagai salah satu daripada Projek Pembangunan RMK-11.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu enggan mengulas lanjut kerana menganggap segalanya masih di peringkat awal dan memerlukan banyak perbincangan dengan pelbagai pihak.

Mengulas kunjungan Abdul Wahid dan EPU ke negeri ini, Mukhriz menyifatkannya sebagai satu sejarah di mana Kerajaan Pusat dilihat mengambil inisiatif untuk mengadakan pendekatan berbincang dan berunding dengan kerajaan negeri kira-kira 18 bulan sebelum rancangan pembangunan Malaysia yang baharu diumumkan.

Sumber:Utusan