29pelabur

ALOR SETAR 29 April – Pelabur dari China terus menunjukkan minat untuk melabur di Kedah dan ini suatu perkembangan yang positif.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, beberapa syarikat besar dari negara itu berminat dalam bidang sektor pengeluaran, pertanian dan perikanan.

“Maklum balas itu diperoleh daripada lawatan pegawai Kerajaan Negeri ke beberapa syarikat besar di negara itu. Kita sudah ada kolaborasi dengan China di Gurun.

“Namun, minat pelaburnya meningkat, malah terdapat dua syarikat besar dalam bidang automotif menyatakan minat. Namun, saya belum boleh umumkan selagi tidak muktamad,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kedah juga sedang mengintai pelaburan di Jepun dengan menganjurkan Seminar Pelaburan Kedah di Tokyo pada Mei 2014.

“Saya akan mengetuai delegasi ke Jepun untuk menyertai konvensyen dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pihak swasta,” katanya.

Menteri Besar juga berhasrat melawat Mie Prefecture di Jepun bagi berkongsi kejayaan mereka dalam sektor penanaman padi, industri automotif, elektronik dan elektrikal serta pelancongan pusat bersejarah.

“Ada banyak persamaan dengan Kedah. Mungkin boleh lawat untuk ketahui resipi kejayaan mereka dalam sektor berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai projek Zon Perindustrian Petroleum Yan (ZIPY) di Sungai Limau, membabitkan Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd (MERAPOH) dan China Energy Huacheng Industrial Investment Co.Ltd (China Enegy), Menteri Besar berkata, perincian projek sedang dilakukan bagi mengenal pasti nilai sebenar pelaburan.

“Walaupun anggaran pelaburan awal mencecah RM28 bilion (U$10 bilion), namun ia mengambil masa panjang, sebab itu saya belum umum jumlah pelaburan yang akan dimeterai,” katanya.

Sumber:UMTK
Oleh SAFINA RAMLI
28dagingMUKHRIZ Tun Mahathir (kanan, sekali) mengambil tempat bersama Dr. Ku Abdul Rahman Ku  Ismail dan Suraya Yaakob sempena persidangan Dewan Undangan Negeri keempat Penggal Pertama Negeri Kedah di Wisma Darul Aman , Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 28 April - Kerajaan negeri Kedah akan memohon permit import (AP) tambahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan daging lembu dan kambing mencukupi ketika Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, AP tambahan itu akan diberikan kepada Lembaga Pertu­buhan Peladang Kawasan (LPPK) ne­geri.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebenarnya telah bersiap sedia untuk mengeluarkan AP tambahan untuk memastikan bekalan lembu dan kambing mencukupi pada musim hari raya nanti.

"Kita sedang bincang untuk mohon AP tambahan ini untuk diberikan kepada LPPK negeri agar ia dapat membantu memastikan bekalan mencukupi dan menambah ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tam­bahan daripada Mohd. Azam Samat (Pas- Sungai Limau) pada Mesyuarat Kali Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu Suraya memberitahu, Dasar Penternakan Negeri Kedah adalah selari dengan Dasar Pertanian Negara dan Dasar Agromakanan Negara.

"Sehingga kini Kedah telah mencapai tahap sara diri sebanyak 14.9 peratus bagi komoditi lembu; 13.5 peratus kerbau; 25.9 peratus kambing; 30.4 biri-biri; ayam 110 peratus dan telur 92 peratus," jelasnya.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menggerak dan menggalakkan sistem penternakan di negeri ini.

"Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan pe­nyampaian perkhidmatan ve­terinar, meningkatkan sekuriti makanan dengan mengamalkan sistem kualiti serta keselamatan makanan dan melaksanakan kawasan zon bebas penyakit.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menggalakkan integrasi pengeluaran daging dengan ladang penanaman kekal se­perti kelapa sawit dan getah," katanya.

Sumber:Utusan
ALOR SETAR 28 April - Kerajaan negeri akan membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan projek berimpak tinggi Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, bagi tujuan itu pihak Merapoh Resources Corporation (Merapoh) dan Kedah Investment Centery akan dipanggil bagi membincangkan penubuhan jawatan kuasa itu.

"Kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bantuan untuk menja­yakan projek ini dan kita akan pastikan segala urusan seperti kelulusan tanah akan diperoleh secepat mungkin.

"Kita akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memastikan projek ZIPY ini akan berjaya dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah (BN-Bakar Bata) ketika sesi pertanyaan Mesyuarat Kali Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Ku Abdul Rahman, kerajaan negeri yakin projek ZIPY itu akan berjalan seperti yang dirancang memandangkan satu perjanjian usahasama telah ditandatangani antara Merapoh dan China Energy Hua Cheng Industrial Investment Co. Ltd (China Energy) yang merupakan syarikat yang dimiliki oleh kerajaan China.

Katanya, syarikat berkenaan mempunyai kemampuan kewangan yang sangat diperlukan bagi menjayakan projek yang besar itu.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Azam Samat (Pas-Sungai Limau) beliau berkata, sebanyak 1,000 hektar tanah yang terlibat dengan pembangunan ZIPY diperoleh daripada tanah yang ditambak di Sungai Limau Yan, Jerai.

"Kerajaan negeri tidak mahu melaksanakan projek yang melibatkan pengambilan tanah penduduk kampung," jelasnya.

Tambah beliau, kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) akan dilakukan sebelum projek itu dilaksanakan.

"Selain EIA kita juga akan menjalankan kajian kesan penilaian sosial (SIA) bagi mengetahui apakah kesan projek berkenaan terhadap masyarakat.

"Kita akan laksanakan penilaian ini dalam masa terdekat dan insya-Allah boleh dapat kelulusan," katanya.

Tambah beliau, projek tersebut setelah siap kelak dijangka menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini selain merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Sumber:Utusan
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
25rtcNajib (kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran RTC Napoh, semalam.

JITRA 25 April - Konsep Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang diperkenalkan kerajaan mampu mengatasi isu kenaikan harga barang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dapat dibuktikan menerusi kejayaan penubuhan beberapa RTC di seluruh negara yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat.

“Penubuhan RTC ini sebenarnya mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dan memudahkan segala urusan masyarakat di luar bandar berkaitan kerajaan mahupun swasta.

“Buktinya kita tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat berkaitan harga barang sebab mereka boleh beli barang keperluan di RTC dengan harga lebih murah berbanding di tempat lain,” katanya pada ucapan perasmian Majlis Pelancaran RTC Napoh, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak diperkenalkan konsep RTC di negara ini, RTC Kelantan telah menunjukkan impak yang amat memberangsangkan dengan nilai jualan melebih RM214.9 juta dengan bilangan pengunjung melebihi 1.2 juta orang.

“Sehingga kini, seramai 634 peniaga dan usahawan tempatan telah beroperasi di RTC Kelantan berbanding 378 orang pada akhir 2011,” katanya.

Najib berkata, RTC Napoh juga mampu mencipta kejayaan seperti Kelantan berikutan kedudukan lokasinya berada di sempadan negara jiran dan berdekatan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya fikir RTC Napoh juga boleh berjaya seperti Kelantan sebab ia terletak di kawasan yang strategik, di tepi laluan utama.

“Maknanya kita akan ada pembeli tambahan daripada penduduk setempat dan pelancong yang keluar masuk ke negara jiran,” katanya.

Sumber:Sinar
Oleh Nazarrudin Idris
23pondokMukhriz Mahathir Menteri Besar Kedah

 ALOR SETAR 23 April - Institusi pengajian pondok disarankan agar membuka pintu kepada agensi latihan kemahiran bagi mempelbagaikan cabang ilmu yang boleh dipelajari kepada pelajar-pelajar di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, langkah itu perlu diambil untuk membantu melonjakkan potensi institusi berkenaan terutama dalam menyediakan nilai tambah dari segi aspek kemahiran kepada warga pondok.

Beliau berkata, cadangan itu bukannya bertujuan untuk merendahkan pendidikan Islam itu tetapi menyahut seruan agama agar umat Islam kaya dengan segala ilmu yang ada.

“Ilmu agama adalah tumpuan, namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya dituntut oleh agama.

“Ummah yang mantap didikan agama Islamnya dan kaya pula dengan pelbagai kemahiran sudah pasti tidak mudah diperkotak-katikkan, sebaliknya dihormati, di­segani dan disanjungi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di Dewan Seri Mentalon di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, hu­bu­ngan antara pihak pemerintah dengan institusi pengajian pondok perlu terjalin dengan akrab melalui perbincangan bersama untuk memastikan institusi ini dapat memainkan peranan dalam memperkasa ilmu Islam.

“Pihak kerajaan akan sedaya upaya berusaha membantu institusi ini dalam pelbagai aspek yang difikirkan sesuai demi masa depan kita bersama," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha untuk memartabatkan institusi pondok pada tempat sewajarnya termasuk pelan jangka pendek melibatkan pemberian elaun guru pondok sebanyak RM2,000 sebulan.

“Program ini telah dijalankan sejak Januari tahun ini dengan melibatkan 11 pondok. Selain itu, kerajaan negeri turut memberi wakaf kitab sebanyak RM20,000 setahun kepada 11 pondok tersebut.

“Strategi berikutnya adalah untuk menyelaras kurikulum pembelajaran di pondok agar selaras dan seragam dengan sukatan pelajarannya, bersesuaian tuntutan semasa. Ini akan diselia oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah," jelasnya.

Sumber:Utusan
23kelapa
SURAYA Yaakob melihat pokok dan buah kelapa matag selepas merasmikan Kursus Pengurusan Perosak dan Musuh Tanaman Kelapa 2014 di Pusat Pertanian ban Merbok, Jalan Segantang Garam, Merbok, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 23 April - Pengeluaran kelapa matag dan pandan di Kedah boleh dipertingkatkan jika pengusahanya membuat pemantauan tentang serangan kumbang perosak, Rhynchophorus Ferru­gineus yang menjejaskan tanaman itu sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, semua pihak termasuk pegawai pengembangan Jabatan Pertanian perlu serius jika ingin melihat bidang itu terus berkembang maju.

Katanya, tanaman pokok kelapa matag dan pandan seluas 1,900 hektar ketika ini tidak mencukupi dan perlu diperluaskan lagi.

“Mulai tahun depan, kita mahu memastikan tambahan seluas 40 hektar tanaman pokok kelapa matag dilakukan secara serius," katanya ketika merasmikan Kursus Pengurusan Perosak dan Musuh Tanaman Kepala 2014 yang dihadiri 40 kakitangan Jabatan Pertanian negeri, Perlis dan Pulau Pinang di Pusat Pertanian Ban Merbok Jalan Segantang Garam Merbok di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Seksyen Tanaman Industri Jabatan Pertanian Malaysia, Zabind Dun dan Pengarah Pertanian negeri, Ismail Salleh.

Menurut Suraya, Kedah mampu menjadi pengeluar kelapa matag dan pandan yang berkualiti jika semua pihak terlibat berjaya membawa transformasi tersebut dengan kaedah betul.

Pada masa ini, tiga daerah di­pilih untuk projek tanaman kelapa matag iaitu Kuala Muda, Langkawi dan Padang Terap.

Salah seorang peserta, Nor Hafizah Abdul Rahman, 37, dari Jabatan Pertanian Daerah Kuala Muda berpendapat, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi mengadakan kursus tersebut adalah baik sekali.

“Apabila kakitangan lebih memahami secara jelas kaedah menanam pokok kelapa matag dan pandan, mereka dapat sampaikan perkara itu kepada petani dengan mudah," katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Langkawi, Mohd. Reduan Ahmad pula berkata, memperbanyakkan tanaman kelapa matag dan pandan boleh melahirkan industri pengeluaran minyak kelapa dara, nira kelapa dan jeli kelapa untuk keperluan tempatan.

Sumber:Utusan
23hab
ALOR SETAR 23 April –  Kerajaan Negeri mengakui tindakan pengurusan Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) menutup operasinya pada Jun ini, boleh menjejaskan usaha Kedah untuk menjadikan Alor Setar sebagai hab pendidikan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun AiU bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, penubuhannya di Kedah ternyata membantu usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Alor Setar sebagai bandaraya metropolis, terutama dalam bidang pendidikan.

Justeru, beliau berharap pihak pengurusan AiU dapat menangguhkan penutupan universiti itu jika permintaan Kerajaan Negeri agar keputusan menutup institusi berkenaan ditarik balik, tidak mampu ditunaikan.

“Walaupun kita boleh usahakan untuk ganti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain, ia ambil masa dan sebolehnya yang sedia ada dikekalkan.

“Saya sebenarnya masih menaruh harapan. Jika AiU tidak boleh tarik balik keputusan itu, sekurang-kurangnya boleh tangguhkan. Jadi, pelajar dan tenaga pengajar dapat bersiap sedia.

“Mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun untuk urusan perpindahan dan sebagainya. Itu harapan saya tapi saya tak tahu apa keputusan dibuat pihak universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum Peringkat Negeri Kedah 2014 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Sebelum ini, AiU dikhabarkan akan menutup operasinya, malah difahamkan pengumuman juga sudah dibuat kepada 630 pelajar dan lebih 100 tenaga pengajar pada awal Februari 2014. Selain itu, Menteri Besar berkata, penutupan AiU juga satu kerugian bagi Kedah dalam usaha memantapkan bidang pendidikan di negeri ini seperti dijanjikan dalam manifesto Kerajaan Negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 sebelum ini.

Katanya, keputusan AiU menutup operasinya secara mengejut tidak wajar berikutan tempoh lebih lama sepatutnya diberikan pihak pengurusan bagi memudahkan proses perpindahan pelajar ke IPT lain selaras peraturan ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Semua universiti mesti mematuhi syarat Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan. Saya tak lihat sebarang keistimewaan dinikmati mana-mana pihak (pihak pengurusan AiU) berbanding pihak lain,” katanya.

Ditanya desas-desus bahawa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) akan mengambil alih Kolej AiU yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak itu, Menteri Besar bagaimanapun berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

Sumber:UMTK
22jordan

ALOR SETAR 22 April - Pemuda UMNO negeri yakin beberapa masalah yang dihadapi para pelajar dari negeri itu di Jordan dapat di­atasi sepenuhnya setelah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan komitmen untuk memberi perhatian terhadap isu berkenaan.

Ketuanya, Datuk Shaiful Ha­zi­zy Zainol Abidin berkata, komitmen itu dinyatakan Mukhriz kepadanya sebaik beliau selesai membentangkan hasil lawatan­nya ke Jordan baru-baru ini dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri Ahad lalu.

"Antara komitmen dinyatakan Menteri Besar adalah beliau akan berunding dengan Yayasan Islam Kedah tentang beberapa perkara yang dicadangkan termasuk kenaikan bantuan pinjaman yayasan itu daripada RM5,000 kepada RM8,000 untuk satu semester.

"Selain itu, kami juga mencadangkan agar dermasiswa yang diterima daripada Pusat Zakat Negeri turut dinaikkan kepada RM8,000 daripada hanya RM6,500 ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 16 April lalu, Shaiful Hazizy bersama Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berangkat ke Jordan untuk mendalami masalah 370 pelajar yang berasal dari Kedah di sana setelah menerima pelbagai aduan tentang bebanan ditanggung terutamanya berhubung kenaikan yuran pengajian sehingga melebihi 100 peratus.

Selain itu, para pelajar berkenaan turut mengadu seringkali lambat menerima wang pinjaman tersebut, di samping berdepan isu keselamatan iaitu pencabulan seksual kerap kali berlaku serta layanan 'double standard' oleh pihak berkuasa di negara itu.

Beliau menambah, antara cadangan lain dikemukakan adalah menukar status daripada pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berkenaan memperoleh keputusan cemerlang.

"Kami turut memohon agar caj perkhidmatan diturunkan kepada dua peratus berbanding empat pera­tus kini, selain memohon Yayasan Islam untuk menanggung tiket pe­nerbangan pelajar yang baru memulakan pengajian serta sudah tamat pengajian.

"Baucar buku khas seperti Baucar Buku 1Malaysia turut dicadang­kan bagi membolehkan mereka memperoleh buku secara percuma seperti dinikmati pelajar-pelajar di universiti tempatan," ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata beliau, pihaknya turut meminta yayasan tersebut mewujudkan sekretariat khas atau penyelia tetap di Jordan bagi membantu pelajar yang berdepan dengan isu kesela­ma­tan.

"Kami difahamkan sekretariat tersebut sudah pun diwujudkan di Mesir dan adalah sesuatu yang baik jika turut diadakan di Jordan memandangkan jumlah pelajar yang berasal dari Kedah di sana agak ramai," katanya.

Sumber:Utusan
22librari
ALOR SETAR 22 April - Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah menyasarkan kira-kira 80,000 orang menyertai program 'Jom Membaca Bersama 10 Minit' yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Aminuddin Omar berkata, sasaran tersebut melibatkan semua jabatan di Kedah termasuk sekolah-sekolah terpilih yang meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca.

Menurutnya, program pertama kali diadakan itu adalah bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia.

"Mereka yang menyertai program ini dengan membaca apa jua bahan bacaan sama ada di pejabat ataupun di restoran boleh menghantar gambar sebagai bukti penyertaan kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

"Program ini bertujuan menggerakkan semangat membaca dalam kala­ngan masyarakat khususnya di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Membaca Bersama 10 Minit, di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan negeri berkata, program tersebut diinspirasikan daripada sambutan Earth Hour yang meminta penduduk bumi memadamkan lampu selama sejam.

Menurutnya, walaupun program tersebut diadakan pada 22 April sahaja namun masyarakat diharap dapat menjadikan buku sebagai wadah perjuangan dan meneruskan budaya membaca.

"Saya memberi sokongan penuh kepada pihak perpustakaan agar program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk memantapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga berharap langkah ini dapat memartabatkkan Perpustakaan Awam Negeri di seluruh negara sebagai tempat menambahkan ilmu," katanya.

Sumber:Utusan
21pesta

JERLUN 21 April -  Pertandingan lumba jentera pembajak atau lebih dikenali ‘kerbau besi’, antara acara menarik yang mendapat sambutan sempena Pesta Jom Turun Bendang di Kampung Pida Empat, Jalan Tunjang – Ayer Hitam, di sini.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), seumpama Pesta Keamatan dan Pesta Gawai, sebagai tanda bermulanya musim penanaman padi di kawasan MADA.

Selain pertandingan kerbau besi, acara lain yang turut mendapat sambutan adalah serkap ikan, tangkap itik dan bola baling berpasukan yang semuanya diadakan di dalam petak sawah yang berselut.

Majlis perasmian penutup program itu disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Pesawah, Shaari Hashim, 39 tahun, pemenang tempat pertama pertandingan kerbau besi berkata, dia tidak menjangka menang acara itu kerana kebanyakan peserta mahir menggunakan alat membajak itu.

“Rata-rata peserta berkemahiran menggunakan alatan membajak ini. Jadi, tidak sukar untuk kami mengendalikannya. Apa yang menarik ialah kita dapat berlumba dengan peserta lain, di samping meluangkan masa menjalankan ‘sukan selut’ sebelum bermulanya musim penanaman padi,” katanya.

Sumber:UMTK
Oleh SAFINA RAMLI
21organikMukhriz Mahathir (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai daun dan air ketum daripada Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kedah, Adli Koshim (dua dari kiri) selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 April - Penduduk di negeri ini yang menjadikan penjualan daun ketum sebagai punca pendapatan utama disarankan agar menceburi bidang pertanian organik bagi menggantikan penanaman pokok ketum di kawasan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau bimbang dengan penyalahgunaan daun ketum di negeri ini kerana tanaman pokok itu diusahakan sebagai satu industri yang membawa pulangan yang tinggi.

"Saya lihat dari segi ekonomi, kalau boleh tunjuk kepada mereka dengan menanam sayur dan buah-buahan organik boleh menjana pulangan yang tinggi berbanding menjual daun ketum. Ini boleh menjadi motivasi agar mereka berhenti menanam pokok ketum.

"Namun saya yakin, jika masyarakat sedar dengan baha­yanya ketum, ini akan mendorong mereka mencari tanaman alternatif yang memberi pulangan tinggi kepada penanam pokok tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, seminar yang diadakan di Dewan Seri Negeri hari ini adalah satu wadah yang tepat bagi menyalurkan maklumat serta fakta tentang keburukan akibat penyalahgunaan air daun ketum kepada pemimpin masyarakat.

"Maklumat yang diperoleh hari ini perlu disampaikan dan dipanjangkan kepada setiap lapisan masyarakat agar mereka tidak terjebak dalam gejala tersebut," ujarnya.

Tambah beliau, pihak jabatan dan agensi kerajaan diharapkan dapat berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk merangka mekanisme baharu bagi menarik minat golongan muda, seterusnya melahirkan generasi yang bijak serta mengamalkan gaya hidup sihat dan berjaya.

"Barisan pemimpin masyarakat seharusnya sedar bahawa kita merupakan barisan hadapan yang dekat dengan komuniti tanpa mengira usia mahupun gender.

"Lantaran itu, kita perlu memperkasakan saf kepimpinan dengan menimba ilmu yang berkaitan permasalahan rakyat agar sentiasa rele­van dan mendepani isu ini dengan secara menyeluruh dan holistik," jelasnya.

Sumber:Utusan
Oleh NORLIA RAMLI
20petaniAhmad Ishak (dua dari kanan) melawat ladang cili fertigasi di Ladang Kontrak Bagi Komoditi Cili Kulai di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, Sik, Kedah, semalam.

SIK 20 April - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan golongan petani menyertai program ladang kontrak yang turut menyediakan kemudahan memasarkan tanaman mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, program tersebut perlu disertai ke­rana ia mampu mengurangkan risiko peng­usaha terbabit terutama berkaitan usaha memasarkan produk-produk mereka di pasaran.

"Melalui program ini, pasaran jualan petani lebih terjamin di samping ia dapat mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran melalui pe­ran­cangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya di Pusat Pe­ngumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang sama juga, Ahmad turut melawat ladang cili fertigasi yang dihasilkan melalui program ladang kontrak di Kampung Paya Terendam.

Selain itu kata beliau, program ladang kontrak ini juga boleh memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik.

Beliau turut menggesa agar petani dan peladang mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan dan bukannya produk yang mereka minat.

"Petani perlu merancang pengeluaran hasilnya dengan pembeli untuk mengurangkan risiko apabila berhadapan dengan masalah pasaran," kata Ahmad.

Ladang cili fertigasi itu diusahakan oleh empat sahabat yang berkelulusan ijazah dan sarjana dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masing-masing berusia 51 tahun iaitu Mohd. Sahil Zabidi, Syed Azri Syed Azizi, Mohamad Suharni Mohd. Sohod dan Abdul Mawazir Ridzwan.

Mohd. Sahil berkata, program ladang kontrak ini memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka sehingga melebihi RM3,000 sebulan berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini cili dan hasil tanaman lain seperti labu dijual sendiri kepada pemborong-pemborong dan di sekitar pasar tani yang berhampiran dan hasil pendapatannya juga berkurangan.

"Tetapi kini kami boleh menghasilkan produk dengan lebih terancang dengan memastikan pengeluarannya memenuhi permintaan dan lebih sistematik," kata Mohd. Sahil yang menghasilkan penanaman cili jenis Cili Kulai 568 seluas tiga hektar bersama rakan-rakannya.

Sumber:Utusan
 19promosi

SUNGAI PETANI 19 April - Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dilancarkan kerajaan menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik ramai pelancong.

Kedah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan unsur seni budaya, alam sekitar indah dan destinasi unik, tentunya mempunyai aneka produk pelancongan menarik.

Menyedari hakikat itu serta potensinya untuk menjana ekonomi, Pertubuhan Pembangunan Pelancongan Dan Kesenian Kedah Tengah (PPPKKT) melaksanakan pelbagai usaha bagi menarik seberapa ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

Pengerusinya, Vincent Tai berkata, sebelum ini pelancong yang berkunjung ke negeri Kedah lebih tertumpu di Langkawi walaupun ba­nyak kawasan lain di tanah besar menawarkan tempat menarik.

"Melihat senario pertambahan jumlah pelancong ke Kedah, kita dengan kerjasama pengusaha dan juga kerajaan memberi fokus kepada usaha mempromosi pelancongan di kawasan Kedah tengah.

"Antara kawasan tumpuan adalah Sungai Petani, Lembah Bujang, Gunung Jerai, Tanjung Dawai, Sungai Merbok, Sungai Batu dan Yan. Kawasan ini sememangnya mempunyai potensi sendiri kerana menggabungkan ke­indahan alam dan unsur warisan serta ketamadunan," katanya di sini semalam.

Vincent berkata, pihak­nya kini turut memperhebatkan usaha menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan di Kedah tengah me­lalui penganjuran pameran, seminar, forum dan hebahan media sosial.

"Kita berharap usaha ini sedikit-sebanyak dapat membantu memberikan fa­edah kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Orang ramai yang berminat mengetahui kawasan pelancongan berpotensi atau menyalurkan maklumat boleh melayari laman web sosial Facebook/Discoverkedah.

Sumber: Utusan
Oleh SAFINA RAMLI
17madaOTHMAN Aziz (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Saad bagi insentif NKEA bagi musim 1/2014 sempena sambutan Hari Jalinan Tani Nafas bersama PPK Mada C - IV Simpang Empat Kangkong di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 17 April - Proses tanaman semula padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada musim ini berjalan dengan lancar walaupun sebelum ini berlaku penyusutan paras bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini akibat musim kemarau.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, ketika musim kemarau yang lalu, paras air di tiga empangan tersebut iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu mengalami penyusutan sebanyak 65 peratus.

Namun katanya, hujan yang turun baru-baru ini membantu meningkatkan semula paras air di tiga empangan tersebut sehingga 80 peratus.

"Untuk fasa pertama penanaman padi pada musim ini, MADA telah menyalurkan air ke kawasan penanaman padi bermula pada 26 Mac lalu dan pesawah yang menerima air sedang sibuk membajak sawah mereka.

"Pihak MADA menetapkan 21 April ini sebagai tarikh akhir untuk menabur benih dan bekalan air yang disalurkan mencukupi untuk semua pesawah di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Jalinan Tani dan Hari Bertemu Pelanggan Wilayah IV Mada di sini hari ini.

Menurut Othman, para pesawah juga dinasihatkan agar mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan oleh MADA bagi memastikan sasaran 10 metrik tan padi bagi setiap tuaian tercapai.

"Untuk memastikan kita dapat capai sasaran yang ditetapkan memang banyak faktor yang menyumbang seperti benih bermutu tinggi.

"Tetapi para pesawah juga perlu memastikan saliran dan pengairan mengikut jadual yang telah ditetapkan, MADA selalu ikut jadual tetapi pesawah yang tidak mahu mengikut jadual yang diberikan.

"Ini menyebabkan banyak masalah pada masa depan seperti kesukaran untuk menabur baja dan mengawal serangga perosak," jelasnya.

Sementara itu, Othman berkata, pada Jumaat dan Sabtu ini, MADA akan mengadakan program 'Jom Turun Bendang' untuk memberi kesedaran kepada pesawah agar turun ke bendang sebagai persedian musim baharu tanaman padi telah bermula.

"Selain itu, MADA ingin menarik minat dan penyertaan generasi baru menyertai sektor tanaman padi dan menyampaikan matlamat MADA terus kepada golongan sasar," katanya.

Sumber: Utusan
16gamat
ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) bertukar pandangan dengan sekumpulan nelayan tempatan yang menjalankan projek ternakan gamat di Teluk Yu Mukim Ayer Hangat Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

LANGKAWI 16 April - Gamat atau nama saintifiknya Holothuria Scabra merupakan antara hidupan laut yang sinonim dengan Pulau Langkawi.

Tidak sah percutian di pulau legenda itu tanpa membawa pulang sebotol air atau minyak gamat yang dipercayai membantu mempercepatkan penyembuhan luka selepas bersalin, melegakan sakit sendi dan otot malah gamat juga dipercayai dapat mengembalikan tenaga.

Namun ramai di antara kita tidak tahu, produk gamat di Langkawi semakin berkurangan dan bekalan gamat yang diperoleh oleh pengusaha gamat diambil dari Thailand.

Menyedari ternakan gamat mempunyai potensi besar untuk dimajukan bagi meningkatkan pendapatan nelayan serta memulihara sumber gamat di Langkawi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memulakan projek ternakan gamat di Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat di sini dengan penglibatan 38 para nelayan tempatan di dalam projek itu.

Projek ternakan gamat itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Indsutri Asas Tani (Jabatan Perikanan), kerajaan negeri, kumpulan nelayan melalui Kumpulan Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPeP) dan syarikat swasta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang melawat tapak projek ternakan gamat di Teluk Yu di sini baru-baru ini yakin projek tersebut mampu menjana pendapatan baharu kepada nelayan di Langkawi.

Sebanyak tiga kawasan di pulau itu terpilih untuk menjadi lokasi pusat ternakan gamat iaitu Teluk Yu, Kuala Temoyang dan Pulau Tuba di mana kawasan Teluk Yu dipilih menjadi projek perintis.

Katanya, projek tersebut juga akan mempopularkan pulau itu sebagai salah satu pusat pengeluaran gamat terbaik di dunia dan kawasan ternakan gamat itu bakal menjadi salah satu produk produk pelancongan terbaru di Pulau Langkawi.

“Gamat yang dihasilkan di Pulau Langkawi ini terbukti antara yang terbaik berdasarkan ekosistem dan keadaan air laut yang bersih di sini.

Objektif projek ini adalah menambah pendapatan nelayan melalui aktiviti ternakan dan pemprosesan gamat, memulihara sumber gamat dan menjadi produk pelancongan di sini," katanya.

Bagi Pengerusi KPeP, Zainon Bakar, projek ternakan gamat di Teluk Yu itu membuka satu peluang untuk para nelayan yang menjadi ahli KPeP menambah pendapatan sehingga mencecah empat angka sebulan.

“Gamat ini diternak di dalam sangkar dan anak-anak benih gamat dibiarkan matang sehingga lapan bulan sebelum dituai hasilnya.

“Penternakan gamat ini lebih mudah kerana ia tidak perlu diberi makan seperti ternakan ikan kerana gamat memakan haiwan kecil di dalam laut, para penternak hanya perlu menjaga sangkar mereka sahaja," katanya.

Zainon memberitahu, ramai nelayan berminat untuk menyertai projek berkenaan kerana mereka menyedari prospek masa depan gamat yang cerah.

“KPep mempunyai 58 orang ahli dan untuk fasa pertama projek ini seramai 38 orang nelayan terpilih untuk menyertainya.Selepas ini lebih ramai nelayan di kawasan Teluk Yu akan menyertai projek ternakan gamat di sini," jelasnya.

Salah seorang peserta muda dalam projek tersebut, Mohd. Faiz Tamam, 21, berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk menyertai projek itu yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk ahli KPeP.

“Dahulu di kawasan ini banyak gamat hidup namun kerana diambil secara berlebihan lama kelamaan gamat hampir pupus.

“Saya memang berminat untuk menyertai projek ini kerana hasil jualan gamat yang lumayan dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada pengusaha gamat di sini," katanya.

Sumber:Utusan
16kuin
ALOR SETAR 16 April –  Kerajaan Negeri bersedia membuka peluang kepada pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) bagi meneruskan pengajian di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berikutan ura-ura AiU bakal ditutup pada Jun 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, perbincangan sudah dibuat antara pengurusan AiU dan Rektor KUIN, Profesor Dato’ Mohd Yusof Kasim bagi tujuan perpindahan pelajar terbabit.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Rektor KUIN bahawa beliau turut dipanggil oleh pihak AiU untuk menghebahkan kepada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berminat untuk ambil pelajar mereka.

“AiU juga memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih KUIN atau mana-mana IPTS, tetapi KUIN membuka pintu yang luas kepada pelajar AiU untuk menyambung pengajian di sini.

“Di segi pencapaian kredit, pelajar boleh berunding dengan KUIN,” katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan Maktab Mahmud yang terbakar, di sini.

Tambahnya, pelajar AiU yang berminat untuk menyambung pengajian di KUIN atau mana-mana IPTS difahamkan akan dibiayai kos pengajiannya oleh pihak pengurusan universiti antarabangsa itu sehingga tamat.

Difahamkan, kira-kira 600 pelajar dari dalam dan luar negara menyatakan kebimbangan ekoran keputusan pihak pengurusan AiU yang ditubuhkan sejak 2010 itu untuk menutup operasi mereka.

YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya mengakui kecewa dengan keputusan AiU itu kerana tiada rundingan dijalankan bersama Kerajaan Negeri terlebih dahulu, sebelum keputusan untuk menutup universiti itu dilakukan.

“Sepatutnya adakan perbincangan awal untuk menyatakan masalah mereka dan notis penutupan juga harus dibuat setahun awal, sebelum keputusan terbabit boleh dibuat.

“Saya difahamkan, pihak AiU hanya memberi notis kepada Kementerian Pendidikan pada 14 Mac 2014 tanpa melalui Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri sememangnya rapat dengan pihak AiU dan sentiasa memberi sokongan serta bantuan.

“Ini kerana AiU adalah satu-satunya kolej yang menawarkan pengajian percuma. Jadi, kalau nak tutup, mesti maklum secara rasmi. Sekurang-kurangnya, bagi notis setahun,” katanya.

Sumber:UMTK
15kembara
PENDANG 15 April –  Kerajaan Negeri menyasarkan penglibatan seramai 600 orang sukarelawan dalam program khidmat bantu di rumah sempena Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, sejak tahun 2013, seramai 150 orang sukarelawan telah bergiat aktif dalam program tersebut.

“Saya menyeru supaya lebih ramai sukarelawan di Kedah melibatkan diri dalam program seperti ini.

Kita tahu ramai sukarelawan di negeri ini, tetapi mereka tidak tertumpu kepada program ini.

“Jadi, mereka perlu mendaftarkan diri di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan supaya membolehkan mereka menyertai program khidmat bantu di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care Peringkat Negeri Kedah di Kampung Desa Keda Asam Jawa, di sini.

Menurutnya, program tersebut adalah melibatkan penjagaan orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

“Trend sekarang adalah kita nak orang muda boleh membantu orang yang sudah berumur. Dulu kita ada program cuci dan bersih rumah orang, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Maka, kita nak wujudkan semula program seperti itu,” katanya.

Tambahnya, program tersebut adalah merupakan satu langkah awal bagi menyedarkan masyarakat betapa mereka perlu berkongsi rasa atas penderitaan dan kesusahan orang lain.

“Adalah diharapkan agar program seperti ini bukan sahaja dapat melahirkan warga masyarakat yang prihatin terhadap sifat kebajikan dan kesukarelaan, tetapi juga bersiap sedia untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

“Amalan kerja-kerja sukarela khasnya dalam hal-hal kebajikan adalah digalakkan dan dianjurkan semua agama. Dalam Islam sendiri juga banyak ayat Al-Quran yang menekankan mengenai perkara itu,” katanya.

Sumber:UMTK
14brim
SIK 14 April –  Orang ramai masih boleh melakukan semakan nama mereka melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah berkata, orang ramai juga masih boleh mengemukakan rayuan sekiranya nama mereka tiada dalam bantuan itu.

“Kerajaan sedia menerima sebarang rayuan berhubung masalah itu dan tindakan segera akan diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat Bersempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke-86 yang diadakan di Padang Awam Sik, di sini.

Menurutnya, orang ramai juga boleh mengemukakan aduan berhubung bantuan itu sekiranya menghadapi sebarang masalah.

“Kementerian Kewangan turut sama berganding bahu dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan ke arah membantu golongan yang berpendapatan rendah di negara ini,” katanya.

Sumber:UMTK
14jamuan
SIK 14 April –  Kira-kira 20,000 penduduk di Daerah Sik hadir pada Majlis Jamuan Rakyat Bersempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke-86 yang diadakan di Padang Awam Sik, di sini.

Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Temenggong Kedah berangkat ke majlis itu.

Turut berangkat sama ialah Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Laksamana Kedah.

Sempena majlis itu, turut diadakan acara memotong kek sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke-86 dan majlis beramah mesra dengan rakyat yang hadir pada program itu.

Majlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan hiburan oleh pelakon terkenal tanah air iaitu Lan Pet Pet di samping persembahan nyanyian oleh artis-artis tempatan tanah air.

Persembahan tarian dari Badan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah turut diadakan.

Acara cabutan bertuah khas yang bernombor 00086 dimenangi oleh seorang penduduk Sik iaitu Zulkifli Zainol yang berjaya memenangi hadiah berupa sebuah motorsikal.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Jamuan Rakyat, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran program yang diadakan itu.

“Majlis Jamuan Rakyat yang diadakan pada hari ini adalah antara program yang sentiasa di hati rakyat yang menghubungkan antara rakyat dengan pemimpin.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan di antara rakyat dengan Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah  Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail, mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Hadir sama ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO), Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Sumber:UMTK
13siam
ALOR SETAR 13 April –  Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan seluruh masyarakat Siam dalam usaha mereka membangun dan memajukan negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, berikutan itu, pihaknya berharap masyarakat Siam akan terus mendokong dan menyokong usaha Kerajaan dalam memacu transformasi ke arah menjadikan Kedah sebuah negeri yang aman makmur.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan berusaha membantu memajukan dan membangunkan masyarakat Siam dalam semua bidang,” katanya dalam kenyataan media sempena menyambut Pesta Songkran 2014.

Menurutnya, diharap kedatangan tahun baru ini menyemarakkan semangat dan memberi sinar baharu kepada seluruh masyarakat Siam di Kedah.

Sumber:UMTK
13jkkk
POKOK SENA 13 April – Pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan mengupayakan masyarakat luar bandar agar seiring dengan semua perubahan dan rancangan Kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, YB. Dato’ Haji Ahmad Lebai Sudin berkata, peranan pemimpin akar umbi termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) amat penting sebagai perantara paling efektif antara masyarakat luar bandar dengan Kerajaan.

"Mereka ini seperti 'menteri' juga. Perlu tahu setiap apa yang berlaku dan apa yang dirancang Kerajaan supaya rakyat terutama masyarakat luar bandar tahu dan faham apa yang berlaku.

"Sehubungan itu, mereka harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama mengenai dasar-dasar yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan," katanya pada majlis penutup Karnival D’Bendang  yang diadakan di Dataran Bendang Pak Tam Mie,  Kampung Bukit Payong, di sini.

Program itu dianjurkan oleh  Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah.

Menurutnya, perubahan semasa yang berlaku menuntut pemimpin JKKK dan JKKKP meningkatkan kualiti kepimpinan dari semasa ke semasa.

"Maka, amat penting golongan ini tahu strategi dan aspek kepimpinan yang berkesan supaya masyarakat tahu di mana mereka boleh merujuk apabila timbul masalah," katanya.

Sumber:UMTK
10flat
KULIM 10 April -  Rumah pangsa lama di seluruh negeri ini terutama yang melebihi 10 tahun, akan dipantau bagi memastikan keadaannya sempurna demi keselesaan penghuni.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, kebanyakan rumah pangsa di negeri ini berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan kebanyakannya mengalami banyak kerosakan.

Selain pemantauan struktur bangunan, katanya, agensi berkenaan akan turut meneliti peralatan dan kelengkapan infrastruktur bagi menyokong kesempurnaan fungsi kediaman berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya menerusi agensi berkaitan dan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) bertanggungjawab, saya akan pastikan rumah pangsa di Kedah dipantau.

“Jika ada masalah dikesan, tindakan segera akan diambil. Contohnya, rumah pangsa di Kelang Lama di sini yang berdepan beberapa masalah seperti kebocoran paip dan sistem kumbahan tersumbat.

“Bagaimanapun, bantuan atau tindakan yang akan diambil bergantung kepada peruntukan kerana ia terhad,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Rakan Taman Rumah Pangsa Kelang Lama, di sini.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Landskap Negara serta Majlis Perbandaran Kulim Kedah dan penduduk Rumah Pangsa Kelang Lama kerana mewujudkan program Rakan Taman.

“Program Rakan Taman berada dalam inisiatif  Strategi Lautan Biru Tujuh. Dua tempat di Kedah dipilih menerusi Strategi Lautan Biru Tujuh iaitu Taman Mergong Jaya di Alor Setar dan Rumah Pangsa Kelang Lama di Kulim dengan taman komuniti dibina Jabatan Landskap Negara untuk memberi suasana lebih ceria di kawasan perumahan terbabit.

“Dengan adanya taman komuniti ini, kawasan yang dahulunya terbiar berubah wajah menjadi tempat riadah untuk penduduk dan saya harap penduduk menjaga kebersihan, peralatan dan kemudahan disediakan, selain memastikan tidak berlaku vandalisme,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, YB. Chua Teong Gee dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Mohd Fuzi Mohaidin.

Sumber:UMTK
9bantuan
JITRA 9 April - Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucer buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, YB. Dato’ Ahmad Zaini Japar berkata, sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

“Ia adalah tahun ketiga Kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

“Ada di antara ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni itu,” katanya pada majlis penyampaian bantuan pakaian persekolahan dan alat tulis di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, di sini.

Menurutnya, Kerajaan akan meneruskan program Baucer Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar pra universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

“Langkah ini dijangka dapat memanfaat  seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta. Baucer Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012,” katanya.

Sumber:UMTK
8skuad

SUNGAI PETANI 9 April - Polis Negeri menubuhkan satu lagi skuad khas bagi membantu meningkatkan keberkesanan Op Cantas terutamanya dalam usaha membanteras gejala mat rempit di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polisnya, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, skuad khas yang dianggotai pegawai dan anggota unit trafik itu akan melakukan operasi dari semasa ke semasa dengan tumpuan kepada kesalahan lalu lintas dan berkaitan kenderaan.

“Sejak kebelakangan ini kita dapati gejala mat rempit bukan sahaja membabitkan kesalahan lalu lintas semata-mata tetapi ia turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah sampingan seperti curi kereta serta motosikal.

“Hal ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu terdiri daripada penganggur dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Apabila mereka terdesak, maka akan terlibat dalam kegiatan mencuri dan secara tidak langsung me­nyumbang kepada peningkatan kes jenayah lain.

“Polis memandang serius perkara ini dan kita akan ambil usaha bersungguh-sungguh untuk membanterasnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepa­da pemberita selepas program derma darah dan lawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207, di sini kelmarin.

Yang hadir bersama ialah Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman; Pemangku Pengarah HSAH, Dr. Nooraini Abd. Rahman dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin.

Ahmad berkata, buat masa terdekat, unit khas terbabit akan bergerak aktif dengan melancarkan operasi setiap hujung minggu di daerah tumpuan seperti Kulim, Kuala Muda, Kota Setar dan Langkawi.

“Polis juga mempunyai senarai mereka yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes-kes jenayah.

Sekiranya mereka ditahan dalam operasi berkenaan, kita akan terus membuat siasatan lanjut dan mendakwa mereka di mahkamah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 70 pegawai, anggota, ahli keluarga serta pasukan sukarelawan polis menyer­tai acara derma darah semalam.

Beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu pendekatan bagi polis untuk turut serta dalam kegiatan bercorak kemasyarakat.

“Polis bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja hakiki iaitu memelihara ketenteraman awam dan keselamatan tetapi turut menjalankan tanggungjawab sosial.

“Langkah ini penting bagi kita mengeratkan lagi kerjasama antara pasukan dengan masyarakat," jelasnya.

Sumber:Utusan
8koperasi
KUALA MUDA 8 April –  Kegagalan sesebuah koperasi sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran dan pengurusan atas faktor kesibukan ahli lembaga pengarah dengan tugas rasmi sama ada seorang petani, guru, pegawai kerajaan atau kerja sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, kebanyakan koperasi bermula dengan saiz yang kecil, modal sedikit sehingga membantutkan perniagaan yang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu hanya berlaku semasa penglibatan awal  koperasi lebih kurang 30 tahun lalu memandangkan ketika itu, tugas mengumpul modal adalah sesuatu yang sukar dilakukan selain kepincangan dalam pentadbiran.

“Mengikut rekod, kebanyakan koperasi hanya beroperasi dengan modal hanya beberapa ribu ringgit sahaja terutama yang berada di kawasan luar bandar,” katanya pada majlis perasmian Program Karnival Mesra Koperasi Bersama Masyarakat di Sungai Pial, Tanjung Dawai, di sini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu turut menerima kehadiran 60 pelajar Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia  yang terlibat dalam program Bakti Siswa dari 4 hingga 8 April 2014 di lokasi sama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, fasa berkenaan telah lama berlalu, namun fenomena sedemikian hampir tidak wujud lagi kini, bahkan ada dalam kalangan koperasi yang baru sahaja ditubuhkan, sudah berjaya mengumpul modal ratusan ribu ringgit.

Dalam perkembangan sama, katanya, jumlah koperasi berdaftar di Daerah Kuala Muda ialah sebanyak 149 buah dengan keanggotaan seramai 53,003 orang. Setakat ini, jumlah syer terkumpul ialah sebanyak RM37 juta dan nilai urus niaga bernilai RM14.8 juta.

“Di Kedah, terdapat 868 koperasi dengan keanggotaan seramai 343,092 orang dan jumlah syer terkumpul sebanyak RM52 juta. Jumlah aset terkumpul pula sebanyak RM496 juta dan nilai urus niaga bernilai RM250 juta dengan perolehan keuntungan sebanyak RM22 juta.

“Kita mahu koperasi turut menyumbang ke arah memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, pemangkin bersama sektor awam dan swasta dalam usaha membangunkan ekonomi serta diiktiraf sebagai sektor ketiga yang berpotensi memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kedah, Fadzir Kamaruddin; wakil Pegawai Daerah Kuala Muda, Elias Shuib dan Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia, Leftenan Kolonel Profesor Madya Dato’ Dr. Samsu Adabi Mamat.

Sumber:UMTK