Oleh Safina Ramli
31penjajaBadrul Hisham Hashim memberi penerangan mengenai pengecualian cukai kepada penjaja kecil selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengecualian Lesen Penjaja di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.- Utusan/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 31 Mac - Lebih 100,000 penjaja kecil di negeri ini dikecualikan daripada membayar lesen bagi semua kategori perniagaan di pasar sehari, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan penjaja bergerak, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, perkara itu merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mengikut kertas No. 6 (F) 304/2013 yang bersidang pada 18 Disember tahun lalu.

"Perkara ini merupakan antara janji kerajaan negeri kepada rakyat dan kini mula dilaksanakan sebagai tanda kita mengambil berat hal ehwal penjaja kecil di negeri ini.

"Dulu hasil yang diperoleh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi bayaran lesen penjaja ialah RM4 juta setahun, sekarang kerajaan negeri yang akan tambah nilai tersebut kepada PBT mengikut lesen yang dikeluarkan dalam setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan pengecualian bayaran lesen penjaja di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan suara penjaja kecil didengari di negeri ini, seorang wakil penjaja diletakkan sebagai ahli majlis di dalam setiap PBT sejak enam bulan lalu.

"Setiap masalah yang dihadapi penjaja, kita akan dapat maklumat secara terus daripada wakil ini dan selesaikan masalah ini dengan segera," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan catuan air memandangkan bekalan masih mencukupi.

"Paras air empangan utama kita masih boleh bertahan sehingga tiga bulan lagi, jadi tidak ada catuan air dalam tempoh terdekat.

"Sekarang hujan mula turun dan dijangka musim kering akan berakhir tidak lama lagi," katanya.

Sumber:Utusan
29stpmNurul Syuhadah Yakath (tengah) dan ibu bapanya menunjukkan sijil penghargaan yang diperoleh sebagai pelajar terbaik STPM 2013 kategori luar bandar di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, Kedah, semalam. - MINGGUAN/NORLIA RAMLI

BALING 29 Mac - Seorang calon pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di sini tidak menyangka akan muncul pelajar terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, Nurul Syuhadah Yakath, 19, dari Kampung Padang Kulim berkata, dia sebenarnya amat terkejut apabila dimaklumkan tentang berita gembira tersebut.

"Saya terkejut apabila diberitahu menjadi pelajar terbaik untuk STPM ini dan syukur kepada Allah kerana penat lelah selama ini berbaloi.

"Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing hebat dengan pelajar di kawasan bandar sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Nurul Syuhadah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan di kediamannya di Kampung Padang Kulim, di sini semalam.

Pelajar cemerlang yang merupakan anak kepada pasangan guru, Yakath Ali SM Habib Mohamad, 52, dan Mahani Abd. Jaafar, 49, itu mencatat keputusan A bagi semua mata pelajaran diambil.

Sementara itu, Abdul Azeez berharap, kejayaan dicapai Nurul Syuhadah itu menjadi ikutan pelajar lain di daerah ini.

"Syabas diucapkan kepada Nurul Syuhadah kerana dia telah membuktikan kepada negara bahawa pelajar cemerlang tidak semestinya datang dari kawasan bandar.

"Pelajar luar bandar juga mampu meraih kejayaan besar sekiranya mereka bertekad dan berazam untuk memperolehnya," kata beliau.

Sumber:Utusan
Mohamad fakhri mohd ali
28rumahMukhriz (tengah) memotong riben merasmikan program di Felda Laka Selatan, semalam.

CHANGLUN 28 Mac - Kerajaan negeri komited menyediakan perumahan mampu milik kepada  rakyat terutama golonganberpendapatan rendah dan sederhana.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia menjadi tumpuan utama  kerajaan dalam rancangan Malaysia setiap lima  tahun dan bajet tahunan.

“Kita tidak lupa Aku Janji BN pada PRU13 lalu untuk menyelesaikan isu perumahan. Ia merupakan agenda terpenting kerajaan.  

“Menyedari ia adalah perkara besar kepada generasi muda, saya mengambil beberapa langkah drastik dalam usaha menzahirkan janji terbabit,” katanya ketika merasmikan Projek Sentuhan Kasih Felda dan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Laka Selatan di sini,  semalam.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah memperkenalkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) yang dikelolakan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen).

“MTK diluluskan tahun lalu supaya negeri ini tidak ketinggalan dengan arus transformasi negara. Isu menjadi agenda utama dalam  makmal itu,” katanya. 

Menurutnya, Rancangan Malaysia ke-10 juga menetapkan bahawa pembangunan  perumahan yang mencukupi akan terus diberi penekanan dengan persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera.

Pada perkembangan lain, Mukhriz berkata, 300 rumah akan dibina di Felda Laka Selatan dan 80 rumah di Sungai Tiang, Pendang  bagi mengurangkan masalah penghijrahan warga Felda ke bandar.

Sumber:Sinar
28korekpasirTajul Urus Md. Zain (kiri) bersama penduduk meninjau kegiatan mengorek pasir sungai yang mengakibatkan kawasan pertanian di sekitarnya terjejas di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 28 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan terus membekukan pengeluaran sebarang permit mengorek pasir sungai sehingga diputuskan dalam mesyuarat Exco kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan tersebut dibuat bermula Jun lalu bagi mengelakkan implikasi negatif terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga diambil selepas mendapati keperluan pasir untuk kegunaan projek-projek pembangunan di negeri ini mencukupi buat masa ini.

"Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan mengatakan kerajaan negeri meluluskan banyak lesen atau permit mengorek pasir. Malah, ada dalam kalangan rakyat terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri rakus, tidak pentingkan alam sekitar dan cari makan dengan hasil bumi secara berlebihan.

"Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan Exco telah mengambil keputusan membekukan pengeluaran lesen baharu bagi aktiviti mengorek pasir," katanya kepada pemberita selepas meninjau kegiatan mengorek pasir di Kampung Batu Belacan, Bukit Selambau, dekat sini semalam.

Tajul Urus berkata, kerajaan negeri memandang serius aduan yang dibuat oleh penduduk setempat berhubung implikasi negatif yang tercetus daripada kegiatan mengorek pasir.

Bagaimanapun katanya, kesulitan masih timbul apabila sesetengah Pejabat Tanah dan Daerah dikesan tidak melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh mesyuarat Exco tersebut.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar kerja-kerja mengorek pasir di sesetengah kawasan dihentikan tetapi pegawai di pejabat daerah pula membelakangi arahan itu. Mereka meminta pengusaha terus menjalankan kegiatan tersebut sehingga surat dikeluarkan.

"Apabila perkara sebegini berlaku, akhirnya kerajaan negeri dipersalahkan,’’ jelasnya.

Beliau berkata, dalam kes di Kampung Batu Belacan, terdapat pertindihan kuasa kelulusan antara pihak yang mengeluarkan kelulusan mengorek pasir.

"Tanah di kawasan ini telah diambil alih oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk rancangan tebatan banjir Sungai Muda dan pampasan telah dibayar kepada mereka terlibat," katanya.

Tambah beliau, selepas diambil alih, sebahagian tanah rizab sungai itu disewakan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gurun untuk ahlinya menjalankan kegiatan pertanian.

"Walau bagaimanapun, masalah kemudiannya berbangkit apabila tanah rizab bersebelahan kawasan itu dijadikan tempat mengorek pasir sungai. Surat kelulusan untuk aktiviti tersebut dikeluarkan pejabat tanah. Di sini wujud masalah kelulusan tidak selaras antara agensi kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri kelmarin mengambil keputusan agar projek mengorek pasir itu dihentikan segera sehingga siasatan lanjut dibuat dalam tempoh terdekat.

Sumber:Utusan
Oleh SAFINA RAMLI dan NORLIA RAMLI
25indeksjenayahZaleha Abd. Rahman semasa menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan Ketua Polis Kedah kepada para anggota polis yang cemerlang dalam perkhidmatan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 peringkat negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Kedah, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 25 Mac - Indeks kadar jenayah di Kedah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak hampir 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman berkata, bagi mencapai sasaran yang lebih baik, pihaknya berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada polis.

"Bagi tempoh Januari dan Februari tahun ini, jumlah jenayah indeks dicatatkan ialah sebanyak 1,450 kes berbanding 1,611 kes bagi tempoh sama tahun lalu, penurunan sebanyak 9.99 peratus," katanya selepas menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, di Baling, seramai 65 penerima yang terdiri daripada anggota polis, wartawan dan orang awam menerima sijil penghargaan daripada pihak polis sempena sambutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hassan berkata, sijil penghargaan tersebut diberikan untuk menghargai jasa orang awam yang membantu pihak polis menangani jenayah di daerah itu.

"Selain daripada tugas hakiki seorang anggota polis menjaga keselamatan, orang awam juga memainkan peranan penting untuk menghalang kegiatan jenayah daripada berleluasa," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.

Sementara itu, penerima sijil kategori orang awam, M. Ravi, 42, berkata, dia tidak menyangka akan menerima sijil penghargaan tersebut kerana tanggungjawab menjaga keamanan ialah tugas semua pihak.

"Sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu ada inisiatif untuk membantu pihak polis bagi mengurangkan kadar jenayah di tempat tinggal kita. Sijil penghargaan yang diterima hari ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu polis," katanya.

Sumber:Utusan
KULIM 24 Mac - Pejabat Tanah (PT) Kulim sekali lagi merangkul anugerah pada peringkat kebangsaan apabila berjaya mencapai taraf lima bintang dalam Audit Penilaian Pentadbiran Tanah, baru-baru ini.

Program penarafan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2013 dengan melibatkan semua pejabat tanah dan daerah di seluruh Malaysia.

Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) PT Kulim, Mohd. Nasrun Suid berkata, penilaian berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Audit Negara.

"Sebelum ini, sesi prapenilaian penarafan bintang telah dilaksanakan di 22 buah pejabat tanah.

Daripada jumlah itu, empat pejabat tanah mendapat empat bintang manakala sembilan lagi pejabat memperoleh tiga bintang dan selebihnya diberikan tiga bintang.

"Bagi sesi penilaian akhir pula melibatkan 17 pejabat tanah. Selepas melepasi sesi ini, PT Kulim telah diiktiraf oleh panel penilaian menjadi pejabat yang mendapat penarafan lima bintang," katanya dalam majlis lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Wira Mohd. Nor Rafie.

Mohd. Nasrun berkata, melalui penarafan berkenaan, ia akan me­ningkatkan motivasi kerja dalam kalangan kakitangan PT Kulim dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

PT Kulim pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional antaranya adalah Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) pada tahun 2010.

Sumber:Utusan
24jeraiANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran di kawasan hutan di Gunung Jerai , Kedah, yang dipercayai berpunca akibat cuaca kering yang berlarutan sejak kebelakangan ini. - GAMBAR IHSAN, JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT

ALOR SETAR 24 Mac - Hampir 10 hektar hutan di Gunung Jerai yang menyimpan pelbagai khazanah berharga, dikhuatiri musnah ekoran berlakunya kebakaran sejak se­minggu lalu sehingga kini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob, kebakaran itu berpunca daripada cuaca panas dan kering kebelakangan ini.

Kata beliau, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran di kawasan itu memandangkan lokasinya jauh dari jalan utama, tiupan angin kencang dan kedudukannya yang curam.

"Lokasi kebakaran dianggarkan berada pada paras ketinggian 640 meter dari aras laut. Lebih menyukarkan keadaan, untuk sampai ke situ kami perlu berjalan lebih dua jam di dalam kawasan hutan.

"Justeru, apa yang kami mampu lakukan, hanyalah menghalang kebakaran itu daripada merebak, khususnya di kawasan bawah yang lebih banyak pokok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Gunung dengan ketinggian 1,217 meter dari aras laut itu merupakan yang tertinggi di utara semenanjung tanah air selain menjadi tumpuan pengunjung untuk melawat tempat-tempat bersejarah serta rekreasi seperti berjoging.

Seorang pekerja resort berhampiran yang enggan dikenali mendakwa, kebakaran di kawasan itu sudah bermula sejak hampir seminggu lalu.

"Sejak seminggu lalu, api sudah mula ada di kawasan tepi jalan menuju ke puncak. Tetapi nampaknya, kini sudah mula padam dan hanya tinggal asap.

"Kemudian hari ini saya difahamkan berlaku kebakaran di dalam hutan pula. Diharapkan agar kebakaran ini dapat dipadam secepat mungkin dan tidak memberi kesan kepada kami yang mencari rezeki di sini," katanya.

Sumber:Utusan
SIK 22 Mac - Seorang peniaga kini boleh menarik nafas lega apabila gerai lamanya yang bertiangkan buluh dan berbumbungkan kain serta daun rumbia digantikan dengan gerai yang lebih baik melalui program bantuan Azam Tani.

Ahmad Jamil Ismail, 52, dari Kampung Sungai Namek, Teloi Tua dekat sini berkata, dia amat menghargai bantuan tersebut yang membolehkan dia menjalankan perniagaan gerai makannya itu dengan lebih selesa.

"Dulu berniaga di gerai usang yang dibina sendiri dengan menggunakan bahan-bahan dari hutan dan kini saya lebih selesa dan gembira berniaga di gerai baharu ini.

"Pendapatan saya juga bertambah daripada RM40 sehari kini mencecah RM80 sehari," kata Ahmad Jamil ketika ditemui dalam Program Masuk Kampung MARDI Bersama Rakyat, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Masri Muhamad.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Tajudin, projek itu diselenggarakan oleh MARDI untuk membantu rakyat miskin yang telah mendaftar dalam E-Kasih.

"Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

"Melalui projek Azam Tani ini, pihak MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih itu berjalan lebih sempurna seperti yang diharapkan," katanya.

Melalui projek itu, setiap peserta akan memperoleh bantuan sehingga RM10,000 yang diberikan mengikut keperluan peserta dari semasa ke semasa.

Sumber:Utusan
Oleh SAFINA RAMLI
20spmMansor Lat ( dua dari kanan ) menyampaikan slip keputusan SPM kepada Calon Berkeperluan Khas ( CBK ) yang cemerlang dari SMK Agama Kedah , Mohd. Hadi Darus dengan mendapat 11A semasa Majlis Pengumuman Keputusan SPM Peringkat Negeri Kedah di SMK Agama Kedah, Mergong, semalam. -UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 20 Mac - Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Kedah bertambah baik dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.04 mata berbanding 5.23 mata pada 2012.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat berkata, secara keseluruhan, pencapaian SPM 2013 itu adalah amat membanggakan berdasarkan indeks GPN berbanding tahun-tahun lepas.

"Berdasarkan GPN pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.26 mata iaitu daripada 5.06 mata pada 2012 kepada 4.80 mata pada 2013.

"Pencapaian calon luar bandar juga meningkat sebanyak 0.22 mata iaitu daripada 5.77 mata pada 2012 kepada 5.55 mata pada 2013," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan SPM peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di sini hari ini.

Menurut Mansor, dalam SPM 2013, prestasi lima daripada tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains juga meningkat.

Katanya, hanya prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menurun berbanding tahun lalu.

"Daripada 37,914 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM, sebanyak 662 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia berjaya memperoleh semua gred A (cemerlang) bagi mata pelajaran yang diduduki.

"Di samping itu sebanyak 12 calon berjaya memperoleh gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki," ujarnya.

Sumber: Utusan
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
19stpmMANSOR Lat menunjukkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2013 bagi keseluruhan negeri Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 19 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di Kedah mencatat peningkatan memberangsangkan dengan 33 daripada 4,112 calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding cuma 22 pelajar pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat ketika mengumumkan perkara itu berkata, kejayaan itu turut membantu peningkatan pencapaian gred purata sekolah (GPS) bagi negeri ini kepada 2.65 daripada hanya 2.34 pada 2012.

"Jumlah calon yang lulus sepenuhnya pada 2013 juga meningkat kepada 3,983 pelajar iaitu 98.22 peratus berbanding 3,431 atau 93.79 peratus dua tahun lalu.

"Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik (B) di sini memperoleh GPS tertinggi iaitu 3.88 diikuti SMK Sin Min, Sungai Petani dengan 3.20 dan SMK Kulim, 3.10," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Sebanyak 47 sekolah mencapai keputusan peratusan mengatasi pencapaian peratusan peringkat nasional iaitu 97.1 peratus berbanding hanya 31 sekolah pada 2012.

Sejumlah 26 daripadanya merupakan sekolah luar bandar yang mana SMK Padang Serai merupakan sekolah terbaik dalam kategori tersebut di negeri ini dengan pencapaian GPS 3.03.

Sementara itu dua pelajar iaitu Nurul Syuhadah Yakath Ali dari SMK Kuala Ketil dan Mohamad Fairus Azmi dari SMK Tunku Abdul Malik terpilih sebagai pelajar terbaik di Kedah apabila memperoleh gred A dalam empat mata pelajaran diambil.

Lebih mengagumkan, Mohamad Fairus merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang berada di ibu negara bagi menerima anugerah di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini di atas kecemerlangannya itu.

Sumber: utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
19peralatanmodenMohd. Saiful Khairul Anuar Zainal (kanan) bersama Mohd. Fuzi Mohaideen semasa majlis perasmian Program Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 19 Mac - Syarikat pemegang konsesi pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman), telah membelanjakan kira-kira RM27.5 juta untuk membeli peralatan moden bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan syarikat itu di Kedah dan Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd. Saiful Khairul Anuar Zainal berkata, antara peralatan tersebut adalah 22 kenderaan pemampat sampah baharu yang menepati piawaian antarabangsa, sebuah kenderaan pembersih jalan dan 38 unit lori pembersihan awam.

"Syarikat juga telah membeli sebanyak 65,000 buah tong sampah pelbagai ukuran antara 120 liter hingga 1,100 liter untuk diagihkan kepada orang ramai. Kos bagi tong sampah sahaja menelan belanja hampir RM 7 juta.

"Kesemua kelengkapan berkenaan sememangnya menepati piawaian antarabangsa. Kita berharap dengan kelengkapan tersebut ia dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Mohd. Fuzi Mohaideen di Padang Awam, di sini kelmarin.

Khairul Anuar memberitahu, selain itu, syarikat turut menempah sebuah lori penyedut longkang dan lori air tekanan tinggi berkapasiti 8,000 liter bernilai RM1.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja membersihkan longkang tertutup.

"Di samping perolehan kelengkapan baharu, kita menganjurkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji dan sebuah bank tempatan untuk menganjurkan program mengumpul barangan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah.

"Sebagai insentif daripada aktiviti mengutip barangan kitar semula, kita akan membuat bayaran kepada pelajar sekolah terbabit mengikut kadar semasa," katanya.

Beliau memberitahu, bagi menyokong program tersebut, pihaknya merancang untuk membuka sebuah pusat kitar semula di Kulim pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, E-Idaman kini memerlukan lebih 25 orang pemandu wanita untuk mengendalikan lori kecil yang digunakan mengangkut sampah di negeri Kedah.

Katanya, sehingga ini, lapan orang pemandu lori wanita telah dilantik di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengendalikan kenderaan tersebut.

Sumber: BERNAMA
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
18perdanaProton Perdana 2.L baharu yang digunakan oleh Exco Kedah

ALOR SETAR 18 Mac - Kerajaan Negeri Kedah sudah menerima 10 kereta Proton Perdana 2.4L baharu sebagai kereta rasmi menggantikan Toyota Camry yang dibeli semasa pentadbiran Pas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kereta Proton Perdana itu akan digunakan oleh Exco kerajaan negeri untuk turun padang ke seluruh pelosok negeri dan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi.

Beliau berkata, kereta itu diserahkan oleh wakil DRB-Hicom kepada kerajaan negeri pada 12 Mac lalu di Wisma Darul Aman, di sini.

“Kereta itu sudah sampai dan digunakan oleh Exco,” katanya kepada media selepas merasmikan program wave of English di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kereta Toyota Camry yang digunakan sebelum ini akan dijual kepada bekas Exco semasa pentadbiran Pas.

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan PR Kedah  membeli lima kereta Toyota Camry untuk kegunaan Exco dan pegawai kanan pada Julai 2010.

Difahamkan, tindakan menggantikan kereta rasmi Proton Perdana V6 Eksekutif yang tidak lagi ekonomik digunakan berikutan kerap mengalami kerosakan dan kos membaikinya tinggi.

Pembelian lima kereta Toyata Camry dan empat kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu mencecah RM1.2 juta.

Sumber: Sinar
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
17binarumahMUKHRIZ Tun Mahathir menerima cendera mata berupa sebuah potret beliau daripada Pengurus Besar KEDA, Datuk Mohd. Arpan Shari (kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KEDA di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 17 Mac - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan mempertimbangkan cadangan untuk membina rumah secara pukal sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu dalam menghasilkan rumah yang lebih berkualiti dan tersusun.

Pengerusinya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pendekatan itu sama sekali berbeza berbanding sebelum ni di mana pihaknya membina rumah di atas tanah milik individu yang ada ketikanya menimbulkan masalah ekoran perbalahan keluarga.

"Oleh itu, saya cadangkan tadi mungkin lebih elok jika kita buat seperti kampung tersusun atau taman perumahan di mana rumah dibina secara pukal di tapak luas.

"Apabila rumah dibina secara pukal, kita yakin akan berlaku penjimatan sekali gus membolehkan KEDA membina rumah yang lebih berkualiti untuk didiami oleh masyarakat berpendapatan rendah," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KEDA di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Azmi Che Hussain.

Menurut Mukhriz, sebelum ini pembinaan rumah secara pukal seperti dicadangkan itu pernah dilaksanakan di Kupang, Baling.

"Tindakan itu tampak memberi lebih manfaat di mana lebih banyak rumah dapat dibina secara serentak demi memenuhi permintaan tinggi daripada rakyat negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata, setakat ini KEDA mempunyai rekod cemerlang dengan telah membangunkan 58 buah kampung yang dilengkapi dengan kemudahan asas.

"Daripada jumlah itu, hampir 15,000 buah rumah telah dibina untuk golongan yang memerlukan. Jumlah itu belum mengambil kira pembinaan rumah-rumah untuk keluarga termiskin di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

"Selain itu, peranan KEDA juga amat menyerlah dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan pedalaman," katanya.

Sumber: Utusan
16rela
BALING 16 Mac - Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditransformasikan dalam usaha memperkasakan peranannya sekali gus memberi manfaat kepada anggotanya dan masyarakat.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, transformasi itu dilakukan untuk menarik minat rakyat khususnya golongan muda untuk menyertai Rela.

“Rela ditransformasikan untuk menarik penyertaan lebih ramai golongan muda demi menjaga keamanan negara.

“Menyertai Rela bukan semata-mata untuk menjaga jalan ketika musim kenduri perkahwinan dan sebagainya malah ia lebih daripada itu," kata Abdul Azeez ketika merasmikan Majlis Penyerahan Uniform Rela di Pusat Khidmat Komuniti Rela Kuala Ketil, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Rela Daerah, Mohd. Razif Ramli. Menurut Abdul Azeez, usaha sedang dilakukan untuk mewujudkan medan sasar bagi latihan menembak di daerah ini untuk kegunaan Rela itu sendiri.

“Dengan kepimpinan yang sedia ada, saya percaya martabat Rela akan terus diangkat menjadi sebuah badan sukarelawan yang disegani oleh masyarakat," katanya.

Sementara itu, anggota Rela wanita, Rodziyah Nayan, 51, berkata, dia menyertai pasukan Rela lebih tujuh tahun dan sehingga kini masih bersemangat untuk meneruskan khidmat baktinya.

“Hanya ini sahaja sumbangan saya untuk menjaga keamanan negara dan rakyat, selagi mampu dan tenaga saya masih diperlukan, saya akan meneruskan khidmat ini melalui pasukan Rela," kata Rodziyah.

Sumber: Utusan
10sukarelaMat Noh Ahmad (kiri) bersama Roslan Othman merasmikan program pakej kesukarelaan di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 10 Mac - Tourism Malaysia negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berusaha memupuk kesedaran berhubung penjagaan kebersihan Sungai Kedah menerusi pakej kesukarelaan yang bakal diperkenalkan pada 28 Mac ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pakej berbentuk kesukarelaan itu diadakan selama tiga hari dua malam dengan kumpulan pertama peserta melibatkan 40 orang pelajar dari sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur serta pelajar Singapura.

"Program itu akan memberi peluang kepada pelajar untuk bercuti sambil berbakti di bandar raya ini.

"Aktiviti pembersihan sungai akan dilakukan bermula dari taman persisiran Tanjung Chali sehinggalah ke Sungai Raja dan mereka akan melontar bola lumpur di terusan Wan Mat Saman," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pakej kesukarelaan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Jabatan Hutan negeri dan Pejabat Daerah Padang Terap itu diadakan bersempena Karnival Sambutan Sedekad MBAS yang bakal berlangsung pada 21 Mac hingga 30 Mac di perkarangan Stadium Darul Aman.

Menurut Mat Noh, pelajar terlibat juga akan merasai pengalaman bercuti dalam suasana kampung apabila mereka menginap di sebuah homestay di Jalan Langgar dekat sini.

"Kita juga berharap apabila pulang nanti, mereka akan berkongsi pengalaman di sini bersama-sama keluarga dan rakan-rakan di negara asal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia negeri, Roslan Othman memberitahu, selepas ini, program tersebut akan dibuka kepada penyertaan orang ramai dengan bayaran bermula RM350 seorang.

"Kita mensasarkan seramai 250 peserta menyertainya nanti dan program ini juga bakal dijalankan tiga kali setahun iaitu pada Mac, September dan Disember," ujarnya.

Sumber: Utusan
Siti Zubaidah Zakaraya
10artifakSebanyak 13 tapak yang telah dibuka menunjukkan wujud pusat pentadbiran suatu ketika dahulu

SUNGAI PETANI 10 Mac - Bidang arkeologi menuntut ketelitian, kesabaran dan kesungguhan kerana pengkajinya terpaksa mencari bukti atau melakukan ekskavasi (cari gali) yang perlu diterokai dalam tempoh yang panjang.

Ramai golongan muda yang menceburkan diri dalam arkeologi termasuk golongan pengkaji yang terpaksa melupakan hasrat dalam bidang itu apabila kerja-kerja cari gali hanya dapat dilakukan separuh jalan berikutan pelbagai halangan termasuk suasana kerja yang cukup berbeza.

Bagaimanapun, apabila didekati, ia sebenarnya sesuatu yang agak mencabar, menyeronokkan serta memerlukan keghairahan dalam usaha mengumpul bukti-bukti artifak yang mampu mengubah sejarah ketamadunan awal manusia mahupun dunia.

Seperti yang dibangkitkan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin, bilangan arkeologis mahupun pengkaji muda di negara ini terlalu sedikit dan boleh dibilang dengan jari.

Bagaimanapun, hasil ekskavasi yang dilakukan pasukan PPGA bermula pada 2009, (penemuan tapak bermula 2007) menunjukkan Tamadun Awal Kedah Tua bermula pada Abad ke-5 sebelum Masihi.

Apa yang menakjubkan, hasil ekskavasi yang dilakukan turut menemui struktur seni bina sebuah pelabuhan yang luas, pusat pentadbiran, tapak ritual keagamaan serta tapak perusahaan industri berat iaitu pusat peleburan besi.

Wujudkah pusat pendidikan, penyebaran ilmu di Sungai Batu Kewujudan tamadun awal Kedah Tua memberi gambaran bahawa masyarakat pada zaman dahulu sudah arif tentang selok-belok pentadbiran, pemasaran dan perdagangan.

Buktinya, sehinggakan aktiviti perindustrian berjalan rancak, di mana wujud sebuah jeti pelabuhan maritim yang canggih dengan sistem peleburan besi yang berteknologi tinggi.

“Penemuan pusat peleburan besi menunjukkan berkemungkinan wujud pusat pembelajaran sehingga melahirkan pakar dalam bidang teknikal, mekanikal, seni bina, pemasaran dan industri peleburan besi,” katanya.

Sekiranya masyarakat pada zaman itu sudah pandai melakukan proses peleburan besi, ini bermakna, proses peralihan ilmu sudah bermula lebih awal dari itu.

“Kita juga menemui lebih satu juta batu-bata melalui hasil binaan yang disusun dengan tiga jenis saiz bata yang standard menunjukkan berkemungkinan wujudnya kilang pembuatan bata di kawasan ini,” katanya.

Jeti di kedua-dua tebing bukti pelabuhan kapal dagang Turut menemui jeti di gigi air di kedua-dua belah tebing, mendefinisikan ia adalah sebuah pelabuhan kuno.

Berdasarkan tebing ke tebing jaraknya kira-kira 100 meter laluan perkapalan dan kedalamannya sudah pasti lebih dalam membolehkan kapal dagang yang besar dari pelbagai negara melaluinya suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, produk hasil besi langsung tidak ditemui sama ada berlakunya pembikinan pedang, cangkul, pisau atau apa sahaja produk berasaskan besi serta pasukan PPAG masih melakukan pencarian mengenainya.

“Hasil ekskavasi di kesemua 47 tapak yang telah dibuka (daripada 97 pemetaan pada 2007), tiada penemuan produk hasil besi yang ditinggalkan.

“Rekod sejarah dahulunya mengatakan, Tanah Melayu terkenal dengan industri emas dan bijih timah. Tidak diketahui berhubung peleburan besi,” katanya ia sebuah penemuan tersembunyi yang sudah dibongkar.

Melalui catatan I Ching, seorang pengembara China (Yijing dari Dinasti Tang), Kedah Tua juga dikenali sebagai Cheh-Cha/Chiecha dalam rekod Cina.

“Antara ayatnya menyebut, perdagangan melalui sistem barter dilakukan dengan pedagang luar bagi mendapatkan besi di Kedah Tua merupakan antara hasil besi yang terbaik,” katanya.

Rekod pelayaran pedagang Arab juga menyebut bahawa besi terbaik di dunia datangnya daripada Kalahan iaitu Kedah Tua.

Berdasarkan maklumat, beberapa negara seperti Eropah, India dan China juga menjalankan perdagangan dan mendapatkan besi dari pelabuhan ini.

Rekod juga menunjukkan pemerintah India Selatan juga melakukan import besi dari Kataram iaitu Kedah Tua dalam bahasa India Selatan.

Ini mula mengesahkan bahawa Kedah Tua melakukan eksport besi ke seluruh dunia. Tinjauan juga menemui peninggalan batu besi di sekitar kawasan tapak ekskavasi ketika lawatan dilakukan penulis bersama pengamal media lain.

Ini menunjukkan aktiviti peleburan besi berlangsung dengan jayanya di Sungai Batu, tetapi bagaimana proses itu berjalan tanpa hubungan komunikasi berkesan.

Ikuti kupasan selanjutnya dalam siri Jom Cari Kedah Tua untuk siaran selanjutnya. Turut dimuatkan, penemuan monumen pertama di dunia yang memulakan rekaan bulatan di bahagian bawah yang ditemui di tapak ritual Sungai Batu.

Sumber: Sinar
91azam
Mohd Tajudin (tengah) memotong riben ketika merasmikan program terbabit.

SIK 9 Mac - Peserta projek 1Azam Tani akan dipantau bagi memastikan usaha mereka membuahkan hasil seterusnya membantu meningkatkan pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, projek ini akan dipantau oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk membantu rakyat miskin yang mendaftar e-kasih.

“Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk jana pendapatan supaya boleh keluar dari kepompong kemiskinan.

“Melalui projek 1Azam Tani ini, pihak Mardi akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih ini berjalan sempurna seperti yang diharapkan,” katanya selepas Program Pemimpin Turun Padang Projek Azam Tani Dun Belantik, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Mardi, Jamaludin Salim dan Pengarah Mardi Kedah, Rashidan Ariffin.

Menurutnya, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berdikari bagi menambahkan pendapatan yang dahulunya hanya sekitar RM300 tetapi sekarang pendapat mereka melebihi RM1,200 sebulan.

Sementara itu, peserta Projek Perkhidmatan Pertanian, Abu Hassan Ngah, 52, dari Kampung Belantik berkata, projek ini memberikan pendapatan yang lumayan kepadanya.

“Jika dahulu pendapatan saya sekitar RM300 sahaja tetapi kini saya memperoleh lebih RM1,300 sebulan hasil daripada projek yang saya usahakan dengan bimbingan daripada pihak Mardi,” katanya yang mengusahakan semaian benih pokok.

Pengusaha kedai makanan dan minuman, Che Hajar Ismail, 41, dari Kampung Charuk Tenang pula memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil perniagaan yang dijalankan.

“Walaupun agak lama saya menunggu dan hampir kecewa tetapi kini saya bersyukur kerana dengan bantuan ini, saya boleh membaiki kedai lama yang uzur serta dapat menambah peralatan yang baru,” katanya.

Melalui projek itu, setiap peserta akan memperoleh bantuan sehingga RM10,000 mengikut syarat yang ditetapkan.

Sumber: Sinar
mbasALOR SETAR 8 Mac - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) belum memberi kelulusan kepada Persatuan Penganut Ajaran Tua Pek Kong untuk membina satu unit bangunan columbarium (tempat penyimpanan abu mayat) dua tingkat di Taman Setia, Jalan Kilang Tebu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah Badrulhisham Hashim berkata mengikut rekod, persatuan itu mengemukakan permohonan pelan bangunan, jalan dan parit serta pelan kerja tanah kepada MBAS pada November tahun lepas.

Beliau berkata permohonan itu hanya mendapat kelulusan bersyarat Jawatankuasa Pusat Setempat bertarikh 19 Disember 2013 dan kelulusan penuh pelan bangunan, jalan dan parit serta kerja tanah belum diperoleh sehingga kini.

"Rumah mayat ni dia tak jejas dari segi persekitaran, bau dan sebagainya sebab ia dalam bangunan. Kalau ikut di status geran tu pun adalah kubur Cina. Jadi kita akan tengok dari segi prosedur dan klausa setakat mana yang kita boleh pertimbang, ikut perundangan dan sebagainya.

"Banyak faktor lagi. Jadi walau macam manapun, saya nak nasihat penduduk supaya bertenang dan jangan panik. Keputusan kita akan tengok setiap kes secara individu dan percayalah kerajaan akan buat keputusan yang terbaik demi untuk menjaga semua," katanya kepada pemberita hari ini.

Cadangan membina bangunan columbarium itu mendapat bantahan penduduk di kawasan perumahan berhampiran yang memberi alasan ia boleh menimbulkan masalah kepada lebih 5,000 penduduk di Kampung Baru, Tambak Bunga, Taman Samudera, Taman Setia, Taman Kuantan, Taman Mega dan Jalan Kilang Tebu.

Semalam, penduduk tujuh kawasan itu mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah cadangan membina bangunan columbarium itu, yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Badrulhisham juga berkata kerajaan negeri melihat isu yang dibangkitkan penduduk setempat secara serius.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia menimbang cadangan penduduk agar rumah mayat terbabit dipindahkan ke kawasan lain, jika perlu.

Sumber: Bernama
7wargaemasMohd. Tajudin Abdullah (tengah) dan Zubir Hashim (kiri) memerhatikan Timah Lebai Mat memeriksa dinding yang reput dimakan anai-anai di Kampung Kuala Beris, Sik, Kedah, semalam.

SIK 7 Mac - Seorang warga emas bersama dua cucunya terharu apabila rumah mereka yang uzur akan digantikan dengan rumah baharu melalui program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Kuala Beris, dekat sini.

Timah Lebai Mat, 77, berkata, rumahnya yang berusia lebih 40 tahun itu hanya berlantaikan tanah yang beralaskan tikar getah selain terlalu uzur kerana dinding dan tiang dimakan anai-anai.

"Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan dan TNB yang membantu mak cik mendapatkan sebuah rumah baharu yang lebih selesa.

"Bolehlah nanti cucu-cucu mak cik duduk dalam keadaan selesa, senang untuk mereka mengulang kaji pelajaran dan bila hujan nanti kami tidak perlu menadah air hujan di dalam rumah," kata Timah ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran Membina Rumah Baharu di Kampung Kuala Beris, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Kedah, Zubir Hashim.

Sementara itu Mohd. Tajuddin berkata, kerajaan amat prihatin dengan kebajikan rakyat dan bersedia membantu mereka untuk mengatasi masalah kesempitan hidup.

"Kebanyakan kawasan pendalaman perlukan sentuhan daripada kerajaan untuk membangunkannya dan perkara utama yang dilakukan adalah membantu rakyat yang miskin mendapatkan kebajikan mereka yang sepatutnya," kata Mohd. Tajudin.

Menurut beliau, program Baiti Jannati dengan kerjasama TNB kerap diadakan bagi membantu golongan miskin.

"Untuk tahun ini, sebanyak enam buah rumah akan dan sedang dibina melalui projek ini untuk diberikan kepada orang Melayu dan dua buah lagi kepada kaum India dan Cina melalui projek Rumah Mesra Rakyat," katanya.

Sumber: Utusan
6itr1mMukhriz Tun Mahathir membaca buku cerita Inggeris bersama Kelab Bahasa Inggeris Parlimen Jerlun selepas majlis perasmian program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M) peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

JERLUN 6 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua calon UPSR dan SPM di negeri itu kini berpeluang menggunakan portal itu sebagai latihan bimbingan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Cita-cita kita adalah untuk meletakkan negeri Kedah dalam kalangan lima negeri paling cemerlang pendidikan dan mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan-peperiksaan awam.

"Saya yakin Program i-TR1M ini akan menjadi satu platform yang bakal membantu mencapai Aspirasi Pendidikan Kedah TOP5 2015," katanya ketika melancarkan i-TR1M peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pada tahun lalu, portal itu hanya boleh digunakan pelajar di 16 sekolah menengah dan 19 sekolah rendah terpilih di Kedah dan bermula tahun ini, program tersebut diperluaskan kepada semua calon peperiksaan awam.

"Jadi saya harap semua calon dapat menggunakan portal ini sebaik mungkin dalam menghadapi peperiksaan UPSR dan SPM nanti.

"Saya juga difahamkan kefahaman pelajar dalam mata pelajaran yang kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains telah meningkat setelah menggunakan portal ini," jelasnya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga perlu memperbanyakkan aktiviti yang menumpukan kepada penggunaan bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajarnya.

"Saya ingin memberi contoh iaitu di kawasan Parlimen Jerlun in, wakil rakyatnya, Datuk Othman Aziz telah memulakan satu inisiatif untuk membudayakan penggunaan bahasa Inggeris melalui penubuhan English Club - Parliament of Jerlun.

"Saya amat mengalu-alukan usaha seumpama itu diperbanyakkan di kawasan-kawasan lain agar pelajar-pelajar di negeri ini lebih mahir berbahasa Inggeris," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
4kedahtuaSEBAHAGIAN daripada orang ramai mengunjungi Tapak Arkeologi Sungai Batu sempena program Jom Cari Kedah Tua di Merbok, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 4 Mac - Semua pihak perlu memainkan peranan memupuk kesedaran berhubung penemuan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang dekat sini bagi mengelak berlakunya pemusnahan khazanah warisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua, Mohd. Tarmizi Wahab berkata, pendedahan tentang kepentingan penemuan artifak juga mampu mengelakkan warisan ketamadunan diceroboh atau dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku di kawasan Merbok baru-baru ini.

Sehingga kini katanya, masih ramai tidak menyedari tentang kewujudan tamadun awal Kedah Tua di Sungai Batu meskipun kerja-kerja penyelidikan dijalankan sejak lima tahun lalu.

"Ramai yang belum sedar tentang kepentingan penemuan khazanah warisan di sini. Malah, penduduk tempatan juga kurang arif tentang perkara tersebut. Kita tidak mahu perkara ini diabaikan sehingga masyarakat setempat sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPGA) Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Jom Cari Kedah Tua di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Kedah yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini baru-baru ini.

Mohd. Tarmizi berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, ada di antara masyarakat tempatan menyangka lokasi penemuan artifak itu merupakan tempat peliharaan ternakan secara komersial.

Bagi mengatasi masalah salah faham tersebut, katanya, penubuhan sekretariat berkenaan diharap menjadi platform terbaik untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada orang awam berhubung usaha memelihara serta memulihara artifak sejarah.

"Sekretariat ini dianggotai secara sukarela oleh individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Dengan tertubuhnya badan ini, kita berharap mampu menyebarkan maklumat berhubung Kedah Tua kepada semua golongan masyarakat,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PPGA USM memerlukan komitmen pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjalankan kajian berkenaan.

Katanya, buat masa ini terdapat beberapa kekangan dari segi kemudahan infrastruktur di situ.

"Berdasarkan perancangan, kawasan kajian ini perlu dilengkapi dengan perpustakaan mini, pintu gerbang, papan tanda arah dan kemudahan asas lain seperti air dan bekalan elektrik," katanya.

Sumber: Utusan
3kitMUKHRIZ Mahathir (kiri) menyampaikan Kit Kelahiran kepada seorang ibu bersama anakanya dalam majlis pelancaran Kit Kelahiran di Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 3 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan Kit Kelahiran kepada semua bayi yang baharu dilahirkan di negeri ini bermula bulan ini.

Kit Kelahiran yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu, selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, inisiatif terbaharu itu merupakan salah satu manifestasi kepada manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Katanya, sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi projek tersebut yang dijalankan melalui Skim Insentif Kelahiran Anak yang dijangka memanfaatkan 35,000 bayi baharu lahir sehingga akhir tahun ini.

"Kerajaan menyedari bahawa anak merupakan permata hati keluarga dan aset negara pada masa hadapan, justeru, kehadiran mereka perlu dirai dan dihargai.

"Sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar keperluan rakyat, maka Skim Insentif Kelahiran Anak merupakan satu penghargaan kerajaan kepada pasangan suami isteri yang akan menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran skim berkenaan di sini semalam.

Mukhriz berkata, skim tersebut merupakan tambahan kepada bantuan kewangan sedia ada di bawah JKM negeri.

Katanya, kerajaan secara berterusan juga berusaha meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran.

"Selain skim tersebut, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan bajet sebanyak RM19.5 juta di bawah Rancangan Bantuan Am Negeri pada 2014 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang penerima," katanya.

Sumber:Utusan
3kemarauMUKHRIZ Tun Dr. Mahathir (dua dari kanan) menggunakan telefon bimbit untuk merakam gambarnya dengan para pelajar selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2013 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 3 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menasihatkan rakyat negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini.

Menurut beliau, walaupun negeri ini belum mengalami masalah bekalan air namun amalan menggunakan air dengan jimat termasuk mencatunya di rumah amat digalakkan.

"Dari segi bekalan air ia mencukupi. Walaupun Kedah satu-satunya negeri yang banyak bekalan air namun tidak salah kalau buat catuan jika tidak di peringkat negeri di peringkat pengguna.

"Dari segi kegunaan air eloklah berjimat jangan tunggu sehingga tidak ada air baru nak berjimat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut beliau menyampaikan anugerah sumbangan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) kepada 149 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang PMR pada tahun lepas.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat.

Mukhriz menambah, bekalan air di negeri ini hanya mencukupi sehingga hujung bulan ini dan jika masih tiada hujan catuan bekalan air mungkin terpaksa dilakukan.

"Doakanlah hujan sebelum hujung bulan ini. Kita juga menggalakkan agar semua masjid serta surau di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat memohon hujan," katanya.

Terdahulu berucap pada majlis tersebut, Mukhriz berkata, sejajar dengan moto 'Bersama Memacu Transformasi' LBNK merangka beberapa program serta kemudahan biasiswa dan pinjaman bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan.

Katanya, LBNK ditubuhkan sejak 1958 dan memberi biasiswa kepada seramai 2,710 pelajar sekolah menengah, selain pinjaman pelajaran kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih.

"LBNK sangat mengambil berat tentang kebajikan dan pencapaian akademik pelajar yang menerima pinjaman tersebut.

"Pelajar yang menerima pinjaman dan mendapat keputusan yang cemerlang iaitu memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.75 ke atas, layak dipertimbangkan untuk menukarkan pinjaman kepada biasiswa sepenuhnya.

"Pelajar yang mendapat keputusan 3.5 layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini mestilah berusaha agar mendapat keputusan yang cemerlang dan secara automatik pinjaman ini akan ditukarkan kepada biasiswa yang tidak perlu dibayar balik," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan menawarkan lebih biasiswa tersebut kepada pelajar cemerlang layak terutama mereka di kalangan berpendapatan rendah.

Sumber: Utusan
Oleh NORLIA RAMLI
3azamtaniMOHD. Tajudin Abdullah (dua dari kanan) menyerahkan sijil kepada Che Hajar Ismail sempena Program Pemimpin Turun Padang Projek 1Azam Tani ADUN Belantik di Kampung Charuk Tenang, Sik, Kedah, semalam. - UTUSAN/Norlia Ramli.

SIK 3 Mac - Seramai 25 peserta Azam Tani di kawasan ini dipantau oleh agensi berkaitan demi memastikan projek yang mereka usahakan mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek ini diselenggarakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membantu rakyat miskin yang mendaftar dalam e-Kasih.

"Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Melalui projek Azam Tani ini, MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih ini berjalan sempurna seperti yang diharapkan," kata Mohd.Tajudin ketika Program Pemimpin Turun Padang Projek Azam Tani di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Jamaludin Salim dan Pengarah MARDI negeri, Rashidan Ariffin.

Menurut Mohd. Tajudin, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berdikari bagi menambahkan pendapatan yang dahulunya hanya sekitar RM300 tetapi sekarang kini melebihi RM1,200 sebulan.

Sementara itu, peserta projek Perkhidmatan Pertanian, Abu Hassan Ngah, 52 dari Kampung Belantik, berkata, dia yang mengusahakan semaian benih pelbagai pokok telah meraih pendapatan yang lumayan.

"Jika dahulu pendapatan saya sekitar RM300 sahaja, tetapi kini saya memperolehi lebih RM1,300 sebulan hasil daripada projek yang saya usahakan dengan bimbingan MARDI," kata Abu Hasan.

Pengusaha kedai makanan dan minuman, Che Hajar Ismail, 41, dari Kampung Charuk Tenang memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil perniagaan yang dijalankan.

"Walaupun agak lama saya menunggu dan hampir kecewa, tetapi kini syukur alhamdulillah kerana dengan bantuan ini saya boleh membaiki kedai lama yang uzur serta dapat menambah peralatan yang baru," kata Che Hajar.

Melalui projek itu, setiap peserta memperoleh bantuan sehingga RM10,000 yang diberikan mengikut keperluan mereka dari masa ke semasa.

Sumber: Utusan