25netbook
 BALING 25 Februari - Penerima bantuan netbook 1Malaysia di kawasan ini diseru agar menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan tidak terpengaruh dengan gejala negatif yang boleh merosakkan pembelajaran mereka.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pelajar-pelajar tersebut perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan netbook dan tidak mensia-siakan pemberian tersebut.

"Terapkan nilai-nilai positif dalam penggunaan netbook, bukannya bermain permainan yang melalaikan atau melayari perkara-perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Komputer Netbook Peringkat Parlimen Baling di Dewan Sekolah Menengah Agama Baling, di sini kelmarin.

Dalam majlis penyerahan kali kelapan itu, sebanyak 1,045 pelajar tingkatan tiga sehingga tingkatan enam menerima netbook menjadikannya 7,000 pelajar layak menerimanya.

Kata Abdul Azeez, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan netbook untuk pelajar tingkatan satu pada masa akan datang sekiranya perlu berbuat demikian.

"Keperluan netbook dalam kalangan pelajar sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi dan adalah salah satu alat bantuan untuk mencari bahan-bahan ilmiah, di samping buku-buku rujukan dan sebagainya di pasaran.

"Demi pendidikan saya akan berusaha untuk dapatkan netbook kepada pelajar-pelajar di tingkatan satu pada masa hadapan," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak retorik dalam usaha membantu rakyat dari semasa ke semasa dan rakyat perlu tahu kerajaan selama ini tidak terlepas pandang untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera, Aizat Danial Idris, 16, berkata, dia amat gembira kerana terpilih untuk menerima netbook tersebut.

"Saya gembira apabila mendapat surat mengatakan layak menerima netbook yang diidam-idamkan selama ini dan terima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu rakyat terutamanya kepada pelajar seperti saya," kata Aizat.

Pelajar SMK Kuala Ketil, P. Peniesswary, 17, berkata, dia akan menggunakan sebaiknya netbook tersebut memandangkan keluarganya tidak mampu menyediakan kemudahan itu.

"Bapa hanya bekerja sebagai pemandu lori tidak mampu menyediakan netbook tersebut kerana harganya terlalu mahal," katanya.

Sumber: Utusan
25kempelajarMUKHRIZ Mahathir (tengah) beramah mesra dengan kumpulan kepemimpinan siswa Universiti Utara Malaysia selepas perasmian penutupan Student Leadership Camp 2014 di Tabung Haji Hotel, Kepala Batas, Alor Setar baru-baru ini.

ALOR SETAR 25 Februari - Sebanyak 595 mahasiswa terdiri daripada pemimpin pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) mengikuti Kem Kepemimpinan Pelajar (SLC) dianjurkan universiti itu selama 11 hari baru-baru ini.

Kem itu bertujuan membentuk pemimpin masa depan yang mampu mencorakkan bangsa Malaysia ke arah yang lebih gemilang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, kem itu merangkumi tiga fasa melibatkan pendedahan kepada teori kepimpinan, kemahiran membina pasukan serta kemahiran dalam merancang aktiviti mahu pun program untuk mahasiswa.

"Program ini dijalankan secara tahunan di mana para peserta diberi kefahaman yang mendalam terhadap patriotisme, kepimpinan serta inisiatif yang perlu diambil dan dilakukan oleh seorang pemimpin hebat.

"Bagi fasa pertama, aktiviti dijalankan di dalam kampus sebelum para peserta dibawa ke Biro Tata Negara Kaki Bukit di Perlis dan yang terakhir perasmiannya dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di TH Hotel agar peserta dapat merasai suasana yang berbeza-beza," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu salah seorang peserta, Hazimah Hassan, 21, berkata, dia berbangga dapat mengikuti program berkenaan kerana baginya kem itu banyak mendidik dirinya dalam mengenal sisi lain dimiliki oleh seorang pemimpin.

"Dalam kem ini kami dididik tentang bagaimana seorang pemimpin perlu mempunyai 'soft skill' bagi berdepan situasi yang berbeza. Keyakinan diri perlu tinggi dan pemikiran juga perlu maju untuk memimpin orang lain.

"Jelas sekali program ini amat bermanfaat untuk kami. Saya harap dengan segala ilmu diperolehi, saya dapat menjalankan amanah untuk memimpin rakan-rakan di universiti menjadi lebih baik," katanya.

Bagi Geethan Arumugam, 22, pula, dia dapat merasakan betapa keyakinan dirinya meningkat sebaik menamatkan program itu.

"Setelah mengikuti kem ini, saya akhirnya sedar bahawa setiap orang boleh menjadi pemimpin jika usaha yang diambil betul.

"Sebagai contoh, seorang pemimpin tidak hanya boleh memiliki wawasan sebaliknya harus berdisiplin dan berakhlak baik serta sentiasa bermoral," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz ketika menyampaikan ucapannya berkata, para pemimpin dalam apa sahaja perbuatannya harus mempunyai tekad bahawa tindakan itu akan membawa kebaikan kepada negara.

Selain itu katanya, para pemimpin juga perlu berpegang kepada empat sifat Rasulullah SAW bagi membolehkan mereka berdepan dengan apa jua rintangan dalam membawa kebaikan kepada semua pihak.

"Anda pun tahu empat sifat itu adalah Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah. Jika kesemua empat sifat itu sentiasa dipegang, yakinlah bahawa anda sebagai pemimpin mampu melalui apa jua rintangan.

"Sebagai pemimpin, apa juga keputusan yang kita ambil, pasti akan ada pihak yang menganggap itu tidak adil baginya. Di situlah cabarannya namun kita perlu membuat keputusan yang adil dan terbaik bagi seramai mungkin manusia dan bukan hanya kelompok kecil saja," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
24cctvBerdasarkan beberapa kes sebelum ini, pemasangan CCTV banyak membantu polis menjalankan siasatan di premis bersebelahan yang berlaku jenayah - AHMAD IBRAHIM Ketua Polis Kedah

SUNGAI PETANI 24 Februari - Polis menggalakkan orang ramai memasang sekurang-kurangnya dua unit kamera litar tertutup (CCTV) di rumah sekiranya berkemampuan bagi tujuan keselamatan diri sendiri dan jiran tetangga.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemasangan CCTV merupakan inisiatif berkesan bagi mencegah kejadian tidak diingini seperti jenayah selain membantu polis menjalankan siasatan.

"Berdasarkan beberapa kes sebelum ini, pemasangan CCTV banyak membantu polis menjalankan siasatan di premis bersebelahan yang berlaku jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beberapa syarikat swasta dengan Polis Diraja Malaysia bagi menggalakkan pemasangan CCTV premis perniagaan (Safecam Partnership) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Kuala Muda merupakan daerah pertama di negeri ini yang dilengkapi dengan program Selfcam Partnership bagi tujuan mengurangkan jenayah.

Katanya, melalui program itu, pihak swasta akan membantu memantau kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar premis perniagaan mereka dan menyalurkan maklumat segera kepada polis untuk tindakan.

"Kita berharap program sebegini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambah beliau, setakat ini, antara premis yang dilengkapi dengan program CCTV Selfcam Partnership adalah Hotel Park Avenue (150 unit); Pasar Raya Besar Econsave Patani Jaya (80 unit); Econsave Bandar Puteri Jaya (96 unit) dan Kompleks Village Mall (140 unit).

Turut terlibat adalah Stesen Minyak Caltex Lagenda Heights, Kompleks Central Square dan beberapa premis 7-Eleven.

Sumber: Utusan
24padiMenteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PENDANG 24 Februari - Dua musim penanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dibatalkan bagi membolehkan kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan di kawasan sawah seluas 6,962 hektar. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembatalan dua musim itu melibatkan 29 blok pengairan di 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam Parlimen Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Kubang Pasu, Jerai serta Arau dan Kangar di Perlis.
 
"Projek berkenaan akan mula dilaksanakan Mac ini dan dijangka berakhir Februari 2015. Petani terlibat ialah seramai 3,877 orang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan kepada petani yang terjejas akibat kemarau di Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pembatalan musim itu akan membolehkan kerja-kerja pembinaan dan pembaikan sistem saliran dilaksanakan selain merehatkan kawasan bermasalah bagi mengembalikan semula kekuatan struktur tanah.
 
"Tanah di kawasan tanah jerlus terlalu lembut, tak boleh dimajukan. Air perlu dikeluarkan dan tambah tanah supaya tanah itu boleh digunakan," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meluluskan wang ihsan berjumlah RM36.8 juta untuk diagihkan kepada setiap petani terbabit yang akan menerima RM2,645.50 bagi setiap hektar sawah yang dibatalkan musim penanaman.
 
Pihak Mada telah mengenal pasti sawah seluas 8,107 hektar menghadapi masalah tanah jerlus dalam kawasannya sejak 2012 dan telah berjaya memulihkan 1,145 hektar sawah yang terjejas dengan kos RM4.77 juta.
 
Difahamkan dengan pembatalan itu, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) akan dihentikan kepada petani di kawasan terlibat selama dua musim.
 
Dengan pelaksanaan projek pemulihan tanah jerlus itu, masalah dihadapi petani akan dapat diatasi dan dapat mengelak kehilangan pendapatan yang dianggarkan bernilai RM105.2 juta setahun.

Sumber: Bernama
23bl1mABDUL Azeez Abdul Rahim (empat, dari kiri) bersama peserta BL1M di Dewan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah, kelmarin.

BALING 23 Februari - Seramai 3,200 penduduk kawasan ini mendapat manfaat melalui program Bantuan Lesen 1Malaysia (BLIM) dengan kerjasama Institut Memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Daripada jumlah itu seramai 1,600 peserta peringkat pertama berjaya memperoleh lesen menunggang motosikal bagi kelas B2 selepas mengikuti semua sukatan pembelajaran yang ditetapkan oleh JPJ.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, usaha itu dapat membantu dan memudahkan golongan terbabit terutamanya belia yang tidak memiliki lesen berbuat demikian.

"Pejabat Khidmat Ahli Parlimen mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang tercicir supaya mereka tidak ketinggalan untuk memperoleh lesen berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen L kepada 850 lagi calon yang berjaya pada peringkat kedua di Dewan Tun Abdul Razak, di sini semalam.

Menurutnya, mereka terpaksa melalui semua peringkat kursus di bilik darjah dan litar sebelum diuji oleh JPJ bagi melayakkan mereka memperoleh lesen belajar memandu (L) dan lesen percubaan (P) selama dua tahun.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abd Aziz, Ketua Pemuda UMNO Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin dan Pegawai Bahagian Korporat JPJ Alor Setar, Ahmad Said Man.

Sempena program itu, turut diadakan seminar kerjaya kepada belia lepasan sekolah untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti dan Pusat Giat Mara.

Kata Abdul Azeez, Pejabat Parlimen Baling turut menawarkan pakej pendaftaran percuma kursus kahwin dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, JPJ turut membuka kaunter bergerak untuk membayar saman, memperbaharui cukai jalan, lesen memandu dan pemeriksaan motosikal secara percuma bagi kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan melebihi setahun.

Ahmad Said berkata, selain itu JPJ juga berjaya mendaftar lebih 500 ahli Skuad Muda JPJ yang berusia 17 tahun ke atas.

Sumber: Utusan
Oleh SAFINA RAMLI
20jetiMUKHRIZ Tun Mahathir (kiri) tersenyum apabila ditunjukkan ikan segar ketika meninjau jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan Kuala Jerlun di Jerlun, Kedah, baru-baru ini.

JERLUN 20 Februari - Nelayan dan peniaga ikan di kawasan Kuala Jerlun kini boleh menarik nafas lega apabila jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan di kawasan itu dinaik taraf dengan kos keseluruhan bernilai RM300,000.

Lebih 100 nelayan pantai dan 35 peniaga ikan di kawasan itu mendapat manfaat setelah pasar nelayan dan jeti pendaratan ikan itu siap dibaik pulih kira-kira setahun yang lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan itu merupakan antara usaha yang dijalankan Kerajaan Pusat melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meningkatkan pendapatan para nelayan.

"Selain kemudahan untuk mendaratkan ikan di jeti yang lebih baik, kita juga beri kemudahan gerai supaya nelayan boleh memasarkan ikan sendiri tanpa menggunakan orang tengah.

"Pembeli juga boleh mendapatkan ikan segar dengan harga lebih murah di sini dan urus niaga dapat dijalankan dengan keadaan selesa di pasar nelayan Kuala Jerlun ini," katanya ketika ditemui di Kuala Jerlun di sini baru-baru ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi Parlimen Jerlun oleh LKIM untuk membaik pulih dan menaik taraf empat jeti iaitu jeti Kuala Jerlun, Kuala Kerpan, Kuala Tunjang dan Kuala Sanglang.

"Projek jeti pendaratan ikan dan pasar ini adalah manifestasi ikrar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendahulukan rakyat.

"Kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan yang susah akan terus terbela," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga ikan, Saloma Yaacob, 50, berkata, pasar ikan yang dinaik taraf itu memberikan keselesaan kepada peniaga yang menjalankan urusniaga.

"Dahulu kami berniaga dengan menggunakan pelantar kayu di merata-rata tempat yang tidak tersusun.

"Sekarang kami diberi meja besi di tempat yang tersusun serta bersih, jadi memudahkan pelanggan datang membeli ikan dan barangan laut lain di sini," ujarnya.

Selain itu, katanya, harga sewa meja besi dan tempat berniaga di pasar nelayan ini juga amat berpatutan iaitu RM1 sehari sahaja.

Suhaila Ismail, 38, yang juga seorang peniaga ikan berkata, dia gembira selepas diberi peluang untuk menjalankan perniagaan di pasar nelayan baharu ini.

"Saya sudah berniaga ikan sejak 10 tahun lalu, namun keadaan tempat kami berniaga tidak selesa seperti sekarang.

"Di pasar ini kemudahan yang disediakan memang selesa dan memberikan imej yang baik kepada peniaga ikan Kuala Jerlun," ujarnya.

Seorang nelayan, Zuraimi Zakaria, 38 pula berkata, jeti pendaratan ikan yang telah dinaik taraf itu memudahkan kerja-kerja nelayan untuk memasarkan hasil tangkapan mereka.

"Dahulu kami menjual ikan yang ditangkap kepada orang tengah dan hasil yang kami dapat tidak seberapa.

"Sekarang dengan adanya pasar nelayan ini, kami boleh berniaga sendiri dan seterusnya meningkatkan pendapatan," jelasnya.

Sumber: Utusan
19risdaMOHD. Tajudin Abdullah (dua dari kiri) melihat bekas tadahan susu getah yang terbakar di Kampung Betong, Jeneri, Kedah, semalam.

SIK 19 Februari - Kira-kira 52 hektar ladang getah melibatkan 37 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri ini terbakar ekoran cuaca panas dan kemarau sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, RISDA kini sedang berusaha untuk memulihkan ladang getah yang terbakar itu dengan kaedah rawatan kapur serta memberi khidmat nasihat kepada pekebun kecil terlibat.

"Kejadian kebakaran ladang-ladang getah amat mengharukan kerana melibatkan hilangnya sumber pendapatan pemilik kebun tersebut dan para penoreh.

"Mereka mengalami kerugian beribu-ribu ringgit, tambahan pula dengan harga pasaran getah sekarang menjadikan keadaan ini bertambah buruk termasuk menjejaskan pendapatan penoreh-penoreh getah," kata Mohd. Tajudin ketika meninjau ladang getah milik pekebun kecil RISDA yang terbakar di Kampung Betong, Jeneri di sini semalam.

Dalam kejadian itu, sebanyak 15 hektar pokok getah yang berusia lebih 10 tahun mengalami 30 peratus kebakaran melibatkan sembilan pekebun kecil sekali gus mengakibatkan aktiviti menoreh terpaksa dihentikan sementara.

Kata Mohd. Tajudin, selain itu, RISDA juga akan memberi bantuan baja di bawah Skim Insentif Pekebun Kecil Getah dan kaedah rawatan dari pokok ke pokok oleh Lembaga Getah Malaysia.

Sementara itu, pemilik kebun getah, Hamid Salleh, 68, berkata, kejadian kebakaran pada 12 Februari lalu menyebabkan sebahagian pokok getah miliknya musnah.

"Kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang ketika saya baru pulang dari menoreh getah dan orang kampung tergesa-gesa memberitahu ladang getah terbakar.

"Saya bergegas semula ke ladang dan mendapati keadaan api yang marak dan tidak dapat dikawal sementara pokok-pokok kecil di sekitarnya hangus terbakar dalam sekelip mata," kata Hamid.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pokok Jerai, Mohd. Sopian Yaakub berkata, belliau bergegas ke tempat kebakaran sebaik sahaja dimaklumkan.

"Atas inisiatif orang-orang kampung, kebakaran dapat dikawal daripada terus merebak ke kebun-kebun lain. Jika tidak, keadaan akan menjadi lebih parah dan lebih ramai lagi pekebun kecil akan hilang mata pencarian," kata beliau.

Sumber: Utusan
18sawah

ALOR SETAR 18 Februari - Kerajaan Kedah akan mencari alternatif untuk membantu golongan pesawah yang mengalami kerugian kerana sawah mereka tidak dapat diusahakan berikutan kemarau ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Suraya Yaacob berkata cadangan untuk memberikan bantuan khas itu akan dibincangkan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri melalui perjumpaan pada 3 Mac.

"Kejadian seperti ini belum pernah berlaku di Kedah. Faktor cuaca yang sangat panas sekarang telah menyebabkan hasil tanaman padi menjadi kering sehingga menyebabkan pesawah tidak boleh mengusahakan tanaman mereka.

"Memandangkan ia bukan bencana alam, memang tiada peruntukan yang disediakan tapi kami akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan khas membantu golongan pesawah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Makmal Transformasi Wanita Negeri Kedah di sini hari ini.

Suraya berkata kejadian itu menyebabkan golongan pesawah mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat tanaman mereka tidak dapat diusahakan kerana permukaan tanah sawah menjadi kering.
 
"Saya sudah minta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menjalankan bancian bagi mengetahui bilangan pesawah yang terbabit dan jumlah kerugian sebenar.

"Melalui bancian yang dibuat, kami akan bawa maklumat itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dibincangkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," kata Suraya.   

Kira-kira 100 pesawah dari tujuh kampung iaitu Kampung Bendang Raja, Kampung Celong, Kampung Nam Dam, Kampung Padang Durian, Kampung Tok Dam, Kampung Belat dan Kampung Rasau di daerah Pendang, tidak dapat mengusahakan sawah mereka yang kering-kontang seluas lebih 100 hektar akibat kemarau teruk yang melanda negeri ini sejak Januari.

Sumber: Bernama
ROSLINDA HASHIM
18maktab

ALOR SETAR 18 Februari - Tindakan kerajaan negeri mendaftarkan Maktab Mahmud sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah untuk manfaat pelajar dan guru, dan yakin perubahan itu akan meningkatkan kredibiliti kerajaan negeri, bukan sebaliknya.

Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan tindakan itu dengan kredibiliti kerajaan negeri adalah tidak relevan, malah proses pendaftaran berjalan lancar.

“Saya andaikan kredibiliti kerajaan negeri akan dilihat lebih tinggi kerana kita berusaha meletakkan Maktab Mahmud ke tahap yang lebih cemerlang. Lembaga Maktab Mahmud sepakat dan mohon permohonan diteruskan,” katanya, selepas menyerahkan surat hasrat mewakili Lembaga Maktab Mahmud kepada Ketua Sektor Kemajuan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Shamsul Shah Tarjo, semalam.

Menurutnya, pendaftaran akan dibuat sejurus surat berkenaan diserahkan, dan pihaknya menjangkakan memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam tempoh empat bulan.

“Hari ini kita muktamadkan persetujuan daftar 10 Maktab Mahmud dengan Kementerian Pelajaran. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim memberi perkenan 10 Januri lalu,” katanya.

Tajul Urus berkata, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai SABK dan ditadbir bersama oleh Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) berdasarkan persefahaman ditandatangani.

“Dalam hal ini, silibus dan ko-kurikulum dikekalkan mengikut model Maktab Mahmud, dipersetujui Ahli Lembaga dan guru. Status quo Lembaga Maktab Mahmud dan Maktab Mahmud daerah didaftarkan sebagai SABK adalah kekal seperti sedia ada.  Perkara berkaitan dengan aspek teknikal akan dimuktamadkan dalam MoU,” katanya.

Menurutnya, dua lagi Maktab Mahmud di Alor Setar dan Yan akan terus berada bawah pembiayaan kerajaan negeri, berikutan prestasi akademik dan pembangunan fizikal memuaskan.

“Kita pilih 10 Maktab Mahmud itu untuk membolehkan kerajaan persekutuan memberikan bantuan dan sumbangan yang lebih baik meliputi perjawatan, perkhidmatan, kewangan, kurikulum dan ko-kurikulum,” katanya.

Tajul Urus berkata, antara manfaat mendaftar SABK, termasuk penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM26 juta setahun.

“Perbelanjaan Lembaga Maktab Mahmud setahun sebanyak RM39 juta. RM26 juta setahun boleh disalurkan kepada pembangunan syiar Islam yang lain antaranya pembinaan masjid, surau dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pelajar turut berpeluang mendapat pendidikan berkualiti iaitu Kurikulum Dini (Azhari) yang akan diselaraskan.

“Proses untuk jadikan sebagai Kurikulum Kebangsaan sedang dibuat. Kementerian merancang untuk menjadikan Kurikulum Dini (Azhari) sebagai Kurikulum Kebangsaan bermula tahun ini,” katanya.

Tajul Urus berkata, pelajar juga dapat mengikuti kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) dianugerahi Sijil Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan diiktiraf Darul Al Quran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

“Pelajar berpeluang menyertai aktiviti ko-kurikulum di semua peringkat. Markah ko-kurikulum diperlukan untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Jawatan guru dan kakitangan secara kekal dan diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan serta berpeluang menikmati kemudahan dan kelayakan seperti sekolah arus perdana,” katanya.

Menurutnya, manfaat lain termasuk mendapat sumbangan modal dan bantuan, tanah dan bangunan kekal milik sedia ada serta nama sekolah dikekalkan.

“Sekolah akan menerima guru terlatih mengikut norma perjawatan seperti Guru Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ), Guru Data dan Guru Kaunselor. Gaji guru ganti dibuat mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2011,” katanya.

Sumber: Sinar
17pelayar

KUAH 17 Februari - Pusat Latihan Perahu Layar Malaysia, Langkawi berada di landasan tepat dalam melahirkan pelayar bertaraf dunia.

Dengan pelbagai penganjuran sukan layar bertaraf antarabangsa ia menjadi hab sukan pelayaran kepada semua atlet seluruh dunia termasuk Hong Kong, Singapura, India turut menjalani latihan di sini.

Exco Pelancongan, Agama, Sumber Manusia, Masyarakat Siam dan India, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, dari segi pembangunan pelancongan sukan pelayaran ini cukup menjana sumber ekonomi kepada kerajaan negeri dan negara.

"Saya amat yakin di sini akan lahir pelayar negara yang mampu menggenggam pingat pada Sukan Olimpik 2016 nanti.

"Perairan kawasan latihan di sini adalah tempat yang paling strategik kepada seluruh pelayar dunia dan beberapa negara benua Asia telah menghantar atlet mereka untuk menjalani latihan di sini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Kejohanan KFC Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi 2014 edisi ke 11 bertempat di Pusat Latihan Perahu Layar Malaysia, Langkawi, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Naib Presiden (I) Persatuan Pelayaran Malaysia, Datuk Mansor Ismail dan Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah.

Mohd Rawi berkata, sukan pelancongan seperti ini juga mampu menjana sumber ekonomi pada negara.
“Saya difahamkan hampir RM120 hingga RM125 juta setahun dikutip dengan kehadiran mereka untuk menjalani latihan dan menyertai pertandingan di Langkawi.

"Oleh itu, fasiliti di tempat ini juga perlu dipertingkatkan untuk menampung pertambahan pelatih-pelatih layar ke sini," katanya.

Beliau turut menjemput pelayar untuk menyertai Kejohanan Layar Remaja Dunia, Langkawi 2015 (ISAF World Youth Sailing Championship 2015) pada tahun hadapan.
Sementara itu, dalam kejohanan KFC Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi 2014 edisi ke-11 ini, sebanyak lapan acara dipertandingkan melibatkan hampir dua ratus penyertaan dari 19 kelab pelayaran dalam negara dan pelayar antarabangsa.

Sumber: Sinar
17keda

BANDAR BAHARU 17 Februari - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan, promosi dan pembangunan pertanian di bawah program inap desa melibatkan penduduk di Kampung Relau, dekat sini sejak tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Arpan Shaari berkata, peruntukan besar tersebut dikeluarkan ekoran komitmen penduduk kampung berkenaan yang berjaya menunjukkan kejayaan dalam menguruskan inap desa mereka sejak 10 tahun lalu.

"Walaupun pada peringkat permulaan, kita agak ragu-ragu meluluskan peruntukan yang dipohon, namun setelah membuat penilaian dan mendapati hasil program inap desa di sini amat baik, Keda akhirnya bersetuju menyalurkan bantuan.

"Pada masa sama, kita juga kagum dengan komitmen penduduk memajukan projek ini sejajar dengan matlamat Keda untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar menerusi progaram Pembangunan Semula Kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan arked niaga Keda berharga RM200,000 dan majlis pelancaran Koperasi Daya Maju Berhad Mukim Relau di Pekan Relau, dekat sini hari ini.

Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor. Arpan berkata, pembinaan arked niaga tersebut memudahkan penduduk bergabung menerusi koperasi bagi memasarkan produk mereka di situ.

Katanya, antara produk berkenaan adalah madu kelulut, daging rusa, kibas, ikan air tawar, mencanting batik dan kraftangan.

Tambahnya, selain itu, Kedah turut mengeluarkan peruntukan lebih RM100,000 untuk membina Dewan Orang Ramai di Kampung Ulu Kilang Batu, Relau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Relau, Abdul Razak Abdul Hamid, 56, memberitahu, lebih 100 penduduk terbabit dalam beberapa program yang dijalankan untuk memajukan sektor pelancongan, industri asas tani dan inap desa.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menghantar beberapa orang penduduk khususnya dalam kalangan belia untuk mengikuti kursus kemahiran pelbagai bidang untuk mengendalikan projek-projek di situ.

"Usaha ini secara tidak langsung mengelakkan golongan belia berhijrah ke luar kawasan," jelasnya.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu pula berkata, pihaknya memuji semangat ketekunan yang ditunjukkan penduduk Kampung Relau kerana dapat menguruskan pelbagai projek dengan jayanya.

Sumber: Utama
MOHD. RAFIE AZIMI
17bomba

ALOR SETAR 17 Februari - Ekoran cuaca panas dan kering di negeri ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri sejak awal tahun ini menerima lebih 100 panggilan melibatkan kes kebakaran setiap hari.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Ahmad Shahabuddin berkata, jumlah itu meningkat lebih empat kali ganda berbanding sebelum ini sekitar 25 hingga 35 panggilan setiap hari.

"Justeru saya memohon semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa ini. Bagi saya, jumlah kes pada tahun ini meningkat terlalu mendadak sedangkan kita baru dua hari melepasi pertengahan bulan Februari," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri di sini hari ini.

Pada majlis yang sama Ahmad Shahabuddin turut menyaksikan penyerahan tugas oleh bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Awang kepada penggantinya, Sufian Hassan.

Statistik dikeluarkan JBPM menunjukkan 1,318 kes kebakaran dicatatkan di negeri ini sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.

Kebanyakan melibatkan kebakaran belukar serta lalang iaitu sebanyak 878 kes dan jumlah itu jauh meningkat daripada cuma 785 kes kebakaran bagi tempoh Januari dan Februari 2013.

Kata Ahmad, di sebalik peningkatan tersebut, sesuatu yang merunsingkan pihaknya adalah sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu yang merosakkan pili bomba termasuk sesetengahnya mengalami kecurian.

"Tahun lalu saja, 480 unit pili bomba terpaksa dibaiki dengan kos pembaikan sebanyak RM212,208. Ini bukan saja sesuatu yang merugikan dari segi kewangan malah turut mendatangkan kesusahan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan tersebut," katanya.

Ditanya situasi kebakaran di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jabi, Pokok Sena dan tapak pelupusan sampah di Semeling, Bedong, Sungai Petani baru baru ini, beliau memberitahu anggotanya berada di tapak tersebut selama 24 jam bagi memantau keadaan untuk memastikan api padam sepenuhnya.

"Setakat ini kepulan asap dari bahagian bawah timbunan sampah itu masih ada. Memang sukar untuk memadamkannya kerana sampah-sampah itu tertimbus jauh ke dalam tanah selain penghasilan gas mudah terbakar akibat lambakan sampah sejak sekian lama.

"Kami menempatkan sekurang-kurangnya dua jentera di setiap lokasi berkenaan. Walaupun operasi di Jabi sudah mencecah lima hari, tetapi saya jangkakan usahanya akan mengambil masa sedikit lama kerana keadaan cuaca ketika ini," katanya.

Sumber: Utusan
16marin

ALOR SETAR 16 Februari - Polis Marin berjaya menumpaskan satu lagi kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menahan dua lelaki bersama 4,000 liter diesel bernilai RM8,000 di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki berumur 27 tahun dan 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang semalam ketika mereka sedang memindahkan minyak diesel dari bot nelayan kelas B ke sebuah lori bermuatan enam tan yang telah diubahsuai.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Kedah/Perlis, Asistan Komisioner Rozi Abu Hassan berkata, beliau bersama tiga anggota melakukan serbuan setelah menerima maklumat daripada orang awam dan melakukan risikan selama tiga hari.

"Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua lelaki ini telah menjalankan kegiatan tersebut selama dua tahun dan dianggarkan mereka mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

"Bekalan diesel yang diperoleh daripada nelayan sekitar Kuala Kedah ini disyaki untuk diedarkan bagi pasaran sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rozi berkata, pihaknya turut merampas lori, bot nelayan dan empat unit peralatan mengepam minyak yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Katanya, kegiatan yang dilakukan dua lelaki itu berkemungkinan didalangi oleh sindiket.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber: Utusan
15empangan

SUNGAI PETANI 15 Februari - Paras air di empat empangan di Kedah masih mampu menampung keperluan bekalan di negeri itu, sama ada untuk kegunaan domestik mahupun komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, bagaimanapun terdapat kawasan mengalami tekanan air rendah dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar lori tangki ke kawasan berkenaan.

Amnya, paras air di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris belum kritikal, katanya selepas merasmikan Gotong-Royong Perdana Environment Idaman, Unit Perkhidmatan Sungai Petai di Masjid Haji Zainudin, Tanjung Dawai, dekat sini hari ini.

Badrol Hisham berkata, Rabu ini kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan jabatan dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah mengenai bekalan dan sumber air di negeri itu.

“Keadaan kemarau ini mungkin sekejap dan mungkin juga berlarutan. Justeru saya menyeru semua rakyat agar berjimat cermat bila menggunakan air kerana bimbang masalah air akan berlaku jika kemarau berpanjangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Badrol Hisham berkata, tahap kebersihan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan, namun perlu ditingkatkan khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

“Tahap kebersihan di semua PBT meningkat tetapi perlu ditingkatkan lagi dan program seperti gotong-royong perdana ini, secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pentingnya kebersihan," katanya.

Program gotong-royong yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn. Bhd., Mhd. Saiful Anuar Zainal itu turut melibatkan Kolej Jururawat Sungai Petani, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Sungai Petani, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Universiti Teknologi Mara Merbok, Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Damai Park Merbok, dan syarikat-syarikat korporat.

Sumber: BERNAMA
15spnb

GURUN 15 Februari - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya membina 1,259 unit rumah baharu menerusi konsep Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini menerusi tiga projek bermula 2007 sehingga kini.

Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, antara projek itu adalah fasa pertama Taman Universiti Jaya di Kuala Muda yang merangkumi 421 buah unit.

Menurutnya, projek kedua melibatkan 479 unit di Taman Kulim Utama, Padang China di Kulim dan berjaya mendapat sijil layak menduduki pada Januari tahun lalu.

"Projek ketiga di Taman Permai Utama Fasa Pertama di Jalan Jeniang. Sebanyak 359 disiapkan dan kunci akan diserahkan," katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Fasa Kedua Projek Taman Permai Utama yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini kelmarin.

Abdul Latiff berkata, projek RMM Taman Permai Utama Fasa Pertama itu merangkumi rumah teres kos rendah setingkat, teres kos sederhana setingkat, teres kos sederhana dua tingkat, rumah berkembar setingkat dan rumah berkembar dua tingkat.

"Harga jualan rumah teres kos rendah setingkat adalah tidak melebihili RM90,000 sementara rumah berkembar dua tingkat pula tidak melebihi RM320,000," katanya.

Beliau memberitahu, pembinaan RMM oleh SPNB bertujuan menangani masalah pembeli pada masa kini iaitu peningkatan harga secara mendadak di pasaran.

"SPNB memainkan peranan dengan memastikan harga rumah yang kita jual jauh lebih rendah berbanding pemaju swasta yang lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SPNB telah membina sebanyak 18,840 unit rumah yang merangkumi 35 projek RMM di seluruh negara setakat ini.

"Sehingga hari ini hanya tinggal empat lagi projek pembinaan yang berada dalam peringkat pembinaan manakala selebihnya sudah disiap dan kebanyakannya diduduki," jelasnya.

Sumber: Utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
14kuota
MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Abdul Latiff Ahmad (dua dari kiri) dalam Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Fasa Kedua projek Taman Permai Utama di Jalan Jeniang, Gurun, Kedah, kelmarin.

GURUN 14 Februari - Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk mengurangkan kuota perumahan dan hartanah bumiputera daripada kadar sedia ada iaitu 50 peratus dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan perkembangan semasa, tiada keperluan bagi kerajaan untuk berbuat demikian meskipun mendapat rungutan daripada pemaju perumahan tentang rumah dan kedai yang dikhaskan untuk bumiputera tidak terjual.

Beliau berkata, isu rumah lot bumiputera tidak terjual sebenarnya dapat diatasi apabila kerajaan negeri baru-baru ini campur tangan dengan mengadakan kaedah promosi bagi menarik minat pembeli.

"Memang pemaju dan sektor swasta ada maklumkan bahawa macam-macam kaedah yang mereka lakukan untuk galakkan pembeli bumiputera termasuk iklan dan pameran, tetapi masih tidak terjual. Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan sendiri seperti kita anjurkan satu program untuk bantu pamerkan lot bumiputera ini.

"Bukan sahaja rumah tetapi melibatkan premis kedai. Kita buat pada dua bulan lepas dan laporan yang diterima menunjukkan semua 200 unit rumah dan kedai lot bumiputera melibatkan nilai lebih RM50 juta dapat dijual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serah Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Projek Taman Permai Utama kelolaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Jalan Jeniang di sini semalam.

Yang hadir bersama Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Badrul Hisham Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong.

Mukhriz mengulas desakan sektor swasta termasuk pemaju perumahan yang mahukan kerajaan negeri mengkaji semula kuota perumahan yang melibatkan 50 peratus bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan bumiputera di negeri itu.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri berpendapat, tidak timbul masalah unit rumah atau kedai yang dikhaskan kepada bumiputera tidak terjual sekiranya pemaju mengambil langkah proaktif menggalakkan pembeli.

"Kerajaan negeri berjaya laksanakan kempen dan terbukti memang ada permintaan. Malah bumiputera dikesan mampu membelinya. Justeru, tak ada keperluan untuk kurangkan kuota," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 buah rumah mampu milik untuk keperluan rakyat di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, langkah itu selaras dengan polisi kerajaan yang mahu melihat rakyat memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan selain mematuhi aku janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sumber: Utusan
epembelajaran
KULIM 14 Februari - Kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa pendekatan efektif bagi membantu petani mendapat pulangan dengan lebih cepat dan mudah.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha tersebut termasuk membekalkan benih-benih yang memerlukan masa yang singkat untuk ditanam kepada petani.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga boleh menjalankan kerjasama dengan agensi pusat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memastikan hasil keluaran pertanian dapat diedarkan ke pasaran.

"Kerajaan negeri sememangnya sentiasa berusaha menggalakkan para petani meningkatkan hasil keluaran mereka. Kita sebenarnya mempunyai kekuatan kerana turut terlibat dalam bidang bioteknologi yang mana makmal tisu yang dikendalikan Kedah Bioteknologi di Taman Teknologi Tinggi berupaya menghasilkan benih bermutu tinggi.

"Kedah Bioteknologi sebelum ini membekalkan benih pisang daripada baka yang baik dan hasilnya para petani dapat meningkatkan keluaran dan sekali gus melipatgandakan pendapatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Motivasi dan Kurus Keusahawanan di bawah Program Azam Tani Daerah Kulim Bandar Baharu di sini semalam.

Seramai 50 peserta terdiri daripada petani dan usahawan tani menyertai kurus yang dikendalikan FAMA.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi FAMA Wilayah Utara, Mohamad Shahrul Nizam dan Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Fatimi Mohd. Fauzi.

Norsabrina berkata, usaha yang dijalankan kerajaan tersebut diharap dapat meningkatkan produk pengeluaran pertanian di samping menambah pendapatan petani agar keluar daripada kepompong kemiskinan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau melahirkan penghargaan atas inisiatif FAMA Kedah yang memperuntukkan RM2 juta untuk meningkatkan taraf hidup 200 petani miskin tegar melalui penganjuran pelbagai program sejak tahun lalu.

Buat masa ini katanya, seramai 100 orang dari daerah Kulim Bandar Baharu dan Baling telah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"Tahun ini, 100 lagi petani dari daerah Sik akan mendapat kemudahan sama. Pemilihan mereka dibuang melalui saringan daripada senarai E-Kasih yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau berharap, kemudahan yang disediakan FAMA itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para petani pada masa akan datang.

Sumber: Utusan
karnivalict
KULIM 14 Februari - Kerajaan Kedah bersedia membantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyediakan benih tanaman berkualiti bagi meningkatkan pendapatan petani yang menyertai Program Azam Tani Fama di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah Norsabrina Mohd Noor berkata usaha membekalkan benih tanaman yang baik seperti pisang itu boleh dilakukan menerusi Makmal Tisu yang diwujudkan oleh Kedah Bioteknologi (K-Bio) di Kulim Hi-Tech Park.

Katanya Fama Kedah memperuntukkan RM2 juta menerusi Program Azam Tani dalam usahanya meningkatkan taraf hidup 200 miskin tegar di negeri itu.

"Melalui Program Azam Tani ini, Fama kini menyediakan 'joran-joran' untuk peserta program dan terpulanglah kepada mereka untuk menjayakan diri mereka khususnya meningkatkan pendapatan keluarga melalui usaha yang mereka lakukan dengan pemantuan terus-menerus selama dua tahun dari segi khidmat nasihat dan sebagainya oleh pihak Fama," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Motivasi dan Kursus Keusahawanan kepada 50 peserta Program Azam Tani Daerah Kulim/Bandar Baharu. Norsabrina berkata pada 2013, Program Azam Tani melibatkan 100 peserta iaitu 50 orang di Baling dan baki di daerah Kulim dan Bandar Baharu.

"Sementara itu, 100 lagi dari daerah Sik akan mendapat kemudahan sama pada tahun ini mengikut senarai yang dipilih dan disaring melalui e-Kasih yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kita berharap kemudahan yang disediakan Fama ini akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh peserta kerana jika mereka berusaha keras, masa depan mereka dan keluarga terjamin kerana pemilihan yang dibuat adalah secara rapi demi kejayaan mereka sendiri," katanya.

Sumber: Bernama
KULIM 12 Februari - Ibu bapa perlu menerapkan aspek keselamatan kepada anak-anak secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat, khususnya semasa dalam perjalanan pergi dan balik sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee berkata, tindakan tersebut diperlukan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

"Buat masa sekarang, didapati ramai di antara ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan membenarkan anak-anak menunggang motosikal secara berbahaya ke sekolah. Kebanyakan pelajar terlibat tidak memakai topi keledar, malah tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"Secara peribadi, saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau aktiviti menunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar Kulim baru-baru ini.

Thiong Ghee berkata, selain melibatkan isu keselamatan, tindakan menunggang motosikal ke sekolah juga merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya.

"Saya hairan bagaimana ibu bapa hari ini boleh membenarkan anak mereka yang tidak cukup umur menunggang motosikal ke sekolah. Ini adalah satu kesalahan serius dan boleh mengakibatkan motosikal yang ditunggang itu disita manakala pemiliknya juga boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, pihak sekolah turut diingatkan agar bersikap tegas memastikan pelajar sekolah yang menunggang motosikal mempunyai lesen sah.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan meminta kerjasama pihak berkuasa agar memantau aktiviti tersebut dan menguatkuasakan undang-undang secara tegas.

Sumber: Utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
12bakarbuka
Seorang anggota Bomba dan Penyelamat memantau kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 12 Februari - Ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini sejak hampir dua bulan lalu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Nor Arifin Kamari berkata, tindakan tersebut boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara seterusnya menyebabkan keadaan jerebu.

"Dalam keadaan cuaca seperti ini, orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga iaitu tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka. Itu termasuklah membuang puntung rokok ke kawasan yang mudah terbakar, membakar sampah sarap, membuat unggun api semasa memancing, berburu atau aktiviti seumpamanya," katanya selepas meninjau operasi memadam kebakaran pusat pelupusan sampah Semeling di sini hari ini.

Nor Arifin berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti di luar rumah dalam musim kemarau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keadaan kebakaran pusat pelupusan sampah di Semeling kini berada dalam keadaan terkawal.

Beliau memberitahu, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Yan dan Alor Setar telah ditempatkan dilokasi tersebut bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Kejadian ini berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam dan sejurus menerima laporan, kita telah menjalankan operasi memadam api. Selain anggota tetap, kita juga telah mendapatkan bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela di sekitar Merbok dan Sungai Petani," katanya.

Nor Arifin memberitahu, pihaknya akan melakukan pemantauan sepanjang tempoh 24 jam di lokasi tersebut bagi mengelakkan api merebak semula.

"Kita juga menghadapi sedikit masalah iaitu angin kencang dan kekurangan air. Bagi mengatasi masalah, bekalan air terpaksa diangkut dari tiga lombong berdekatan," katanya.

Sumber: Utusan
11denggi
Pembantu Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar, Ahmad Termizi Tamat (tengah) memeriksa sampel air untuk mengesan jentik-jentik dalam Ops Gempur Aedes di Kampung Gunung Sali, Mergong, semalam.

ALOR SETAR 11 Februari - Sebanyak 106 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di negeri ini dalam tempoh Januari sehingga 9 Februari lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ismail Abu Taat berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi dengan 61 kes diikuti Kota Setar sebanyak 13 kes.

"Selain itu, Kulim mempunyai 10 kes, Baling dan Kubang Pasu (masing-masing tujuh), Padang Terap (empat) dan Pendang (satu).

"Kami memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha membasmi denggi secara berterusan.

Selain penguatkuasaan, masyarakat juga diminta untuk memastikan kawasan persekitaran premis mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes denggi menurun kepada 813 dengan satu kematian pada tahun lepas berbanding 817 berbanding empat kematian pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, dua kompaun berjumlah RM1,000 dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar menerusi Ops Gempur Aedes II 2014 yang dijalankan di sekitar kawasan Kampung Gunung Sali dekat sini hari ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah II, Dr. Aisyah Jusoh, kompaun itu dikeluarkan kepada dua pemilik kediaman di kampung tersebut yang didapati positif pembiakan aedes.

"Sebanyak 240 premis meliputi kawasan kediaman dan kilang telah diperiksa dalam operasi ini dan dua daripadanya yang didapati positif pembiakan aedes.

"Untuk itu, kita telah mengeluarkan dua kompaun mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang mana setiap satu berjumlah RM500," katanya.

Tambahnya, dalam operasi yang melibatkan kira-kira 120 anggota penguat kuasa itu, pihaknya turut mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama kepada seorang pemilik kediaman.

"Biarpun pihak kami tidak menemui jentik-jentik, namun kawasan perkarangan rumahnya yang dipenuhi pelbagai barangan yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes.

"Melalui notis itu, kita beri tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk membersihkan perkarangan rumahnya atau bakal dikenakan tindakan mahkamah," ujarnya.

Sumber: Utusan
11kuin
Sebahagian pelajar lepasan persijilan asasi Kolej Universiti Insaniah pada Majlis Graduasi Asasi Kali Keempat di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kampus Kuin Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam. - Gambar ihsan Kuin.

ALOR SETAR 11 Februari - Seramai 100 orang pelajar lepasan persijilan asasi Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menerima sijil masing-masing di Majlis Graduasi Asasi Kali Keempat di Dewan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kampus Kuin Mergong di sini hari ini.

Majlis bermula dengan pengisian motivasi kecemerlangan sebelum sesi penganugerahan dengan perarakan pelajar, akademik dan pengurusan utama.

Hadir bagi menyempurnakan penganugerahan sijil kepada para pelajar ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan Kuin, Prof. Dr. Che Ani Mad@Ahmad.

Che Ani ketika berucap mewakili Rektor Kuin pada majlis itu menyeru semua pelajar untuk melipatgandakan usaha apabila berada di peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Beliau turut menyentuh tentang usaha murni Kuin untuk terus maju dan berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf global yang menjadi harapan dan kebanggaan umat Islam.

Kesemua yang menerima sijil terdiri daripada pelajar sijil asasi Pengajian Islam, Sains dan Pengurusan.

Pada majlis sama, pelajar lepasan Sijil Asasi Pengajian Islam, Mohamad Anas Mohamad Yaakub diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan apabila berjaya memperoleh PNGK 3.98 selain aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang bergelar pelajar asasi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Pusat Pengajian Asasi Kuin, Adlina Abdul Khalil, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani, pensyarah dan waris pelajar.

Sumber: Utusan
11pekanrabu
Beberapa peminta sedekah kelihatan di atas jejantas berhampiran kompleks perniagaan tersebut.

ALOR SETAR 11 Februari - Kehebatan Kompleks Perniagaan Pekan Rabu, dekat sini, sebagai pusat perniagaan produk tempatan Bumiputera dan produk pelancongan negeri sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Sayangnya, keenakan aneka makanan tradisionalnya, malah keunikan lokasi tarikan pelancong ini sedikit sebanyak dicemari kehadiran peminta sedekah berdekatan jejantas kompleks perniagaan tersebut.

Tinjauan mendapati seorang peminta sedekah duduk agak berdekatan kedai peniaga, manakala seorang lagi duduk di tengah jejantas berkenaan, sambil masing-masing membawa bekas minuman mereka.

Pelancong dari Pulau Pinang, Norazila Shamsudin, 25, berkata, dia terkejut apabila melihat kehadiran beberapa peminta sedekah sewaktu melintas jejantas untuk menaiki bas.

“Kami sebenarnya tidak menyangka golongan peminta sedekah akan muncul di kawasan terkenal sedemikian. Sepatutnya, ia bukan budaya kita,” katanya ketika ditemui di hentian bas.

Katanya, dia agak memahami situasi sedemikian kerana sebagai lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa, ia merupakan peluang individu tertentu memperoleh sedikit wang.

Bagaimanapun, katanya, situasi sedemikian akan menjejaskan imej kompleks perniagaan terbabit pada pandangan mata sesetengah pelancong khususnya dari luar negara.

Manakala, seorang peniaga yang enggan dikenali, 49, berkata, adakala kelibat peminta sedekah kelihatan di jejantas terbabit, namun kadang-kadang tidak.
“Ada jugalah pelancong mengadu. Namun, kami nak buat macam mana. Rasa serba-salah. Kasihan pada mereka, namun bimbang juga pelanggan lari,” katanya.

Katanya, dia cuma berharap golongan sedemikian diberikan perhatian sewajarnya, agar tidak mengulangi perbuatan meminta sedekah lagi.

Sumber: Sinar