Tuisyen Percuma Dalam Talian

17tuisyen

Oleh Jamliah Abdullah

ALOR SETAR 17 Disember - Kerajaan negeri akan memperkenalkan tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, sebanyak RM18 juta akan diperuntukkan bagi program tersebut yang kelak memanfaatkan kira-kira 340,000 pelajar dari 729 sekolah seluruh negeri ini.

Katanya, tuisyen percuma yang merangkumi sebanyak 80 mata pelajaran itu akan membabitkan semua pelajar sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan dan Maktab Mahmud.

‘’Pembentangan bajet negeri baru-baru ini telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi membantu pelajar sekolah khususnya dari tahun empat hingga tingkatan lima dalam mencapai prestasi pendidikan lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada usaha kita untuk menjadi lima terbaik dalam pendidikan.

“Jadi, kita ambil tindakan melalui persiapan perkhidmatan tuisyen kepada pelajar terbabit sebagai inisiatif,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Tambah Mukhriz, sebagai persediaan, kerajaan negeri akan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar di sekolah-sekolah terbabit terutama di kawasan luar bandar.

‘’Saya terima laporan sebanyak 519 sekolah telah mempunyai perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan empat mega bit tetapi selebihnya tidak lagi,” kata beliau.

Sumber : Utusan