Kedah Atasi Pulau Pinang Raih Pelaburan

15kedah

ALOR SETAR 15 Disember -  Kedah berjaya mengatasi Pulau Pinang dari segi kemasukan pelaburan sehingga Mei 2014 apabila merekodkan RM4 bilion iaitu melebihi RM 900 juta berbanding jirannya itu yang hanya menerima RM3.1 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kebanyakannya membabitkan kemasukan baru dan pelaburan semula di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan kawasan perindustrian di Sungai Petani.

Beliau berkata, kebanyakannya berminat melabur kali pertama atau membina kilang di KHTP kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang bersesuaian dengan persekitaran dan suasana semasa. KHTP mampu memberi ‘value for money’ untuk setiap pelaburan yang dilakukan berikutan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“KHTP mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri. Semua proses permohonan dan kelulusan hanya perlu melalui pusat sehentinya yang mengambil masa begitu singkat berbanding prosedur di jabatan kerajaan yang lain. Ia juga mempunyai tanah yang luas dan mampu memenuhi permintaan dari syarikat atau pelabur yang berminat, terutama untuk tujuan pelaburan semula atau membesarkan operasi kilang,” katanya.

Tambahnya, harga tanah yang kompetitif di kawasan itu berbanding Pulau Pinang turut menjadi tarikan utama pelabur luar dan tempatan membuat pertimbangan melabur di KHTP. Ramai pelabur memaklumkan harga tanah yang ditawarkan lebih murah berbanding di negeri jiran itu menyebabkan Kulim dan beberapa kawasan lain di Kedah menjadi pilihan utama untuk pelaburan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, pelbagai pihak membuat banyak pertanyaan mengenai peluang pelaburan yang ada di negeri ini sekarang. Memang Kerajaan Negeri akui sejak pertengahan tahun 2013, banyak syarikat dan individu menyatakan minat untuk melabur di Kedah. Ia tidak terhad untuk sektor perindustrian sahaja tetapi melibatkan bidang atau sektor lain.

“Mereka yakin dengan kestabilan politik yang wujud di Kedah selain hubungan erat antara negeri dan pusat. Ini akan memudahkan segala urusan yang berkaitan berbanding Kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Sumber : UMTK