Oleh Jamliah Abdullah
JERLUN 20 Disember - Kerajaan negeri
akan memastikan semua sekolah mempunyai kemudahan jalur lebar
berkelajuan tinggi secepat mungkin bagi membolehkan program tuisyen
dalam talian percuma, ezLearn2u dilaksanakan secara menyeluruh tahun
depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun
Dr. Mahathir berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menaik
taraf prasarana tersebut.
Katanya, daripada 729 sekolah di seluruh
Kedah, sebanyak 519 sekolah mempunyai kemudahan perkhidmatan jalur
lebar dengan kelajuan empat megabit.
“Pelajar dari tahun empat sehingga
tingkatan lima di semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat dan
sekolah jenis kebangsaan akan mendapat manfaat daripada program ini.
Namun masih ada sekolah yang tidak ada jalur lebar berkelajuan empat
megabit.
“Saya sudah berhubung dengan SKMM yang
berjanji akan beri tumpuan untuk menyelesaikan perkara ini. Kita tidak
mahu ada jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.
“Mulai tahun depan apabila sesi
persekolahan baharu bermula, perkhidmatan tuisyen percuma ini akan
disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan
persekolahan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Wisma Jerlun
di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi menjayakan program
tersebut guru-guru sekolah akan menjalani kursus berkaitan sistem
berkenaan tidak lama lagi.
“Kita perkenalkan sistem ini bukan untuk
membebankan guru tetapi meringankan beban mereka. Selain itu kita juga
akan libatkan ibu bapa dalam program ini,” katanya.
Sumber : Utusan