Bantuan Awal Persekolahan

18bantuan

SIK 18 Disember - Seramai 544 pelajar sekolah rendah yang tidak bernasib baik mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri apabila mereka menerima set lengkap pakaian sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, mereka amat perihatin dengan pencapaian pembelajaran pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar luar bandar.

"Untuk mencapai kecemerlangan, pelajar-pelajar perlu diberi perhatian dan galakan supaya mereka lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk menempuh persekolahan pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan UMNO Bahagian Sik.

Menurutnya, bantuan diberikan kepada pelajar-pelajar miskin untuk membantu ibu bapa mereka bagi meringankan bebanan yang ditanggung terutamanya pada musim sesi persekolahan 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan berkata, bantuan yang disampaikan itu merupakan amalan tahunan yang diberikan untuk pelajar-pelajar sekolah dan jumlah peruntukan yang diberikan semakin bertambah.

"Dengan kerjasama daripada wakil-wakil rakyat yang ada, untuk tahun 2014 sebanyak RM50,000 diperuntukan kepada mereka dan ia melebihi daripada tahun-tahun yang lalu,”  jelasnya.

Tambahnya, jika sekiranya ada pelajar-pelajar yang tercicir dan mereka juga memerlukan bantuan pakaian sekolah, harap ibu bapa ataupun wakil-wakil di cawangan tampil ke hadapan memaklumkan kepada pihaknya supaya pelajar berkenaan juga mendapat bantuan.

Sumber : UMTK