Suami Isteri Miskin Gembira Dapat Rumah Baru

16suami
SIK 16 November -  Sepasang suami isteri yang hidup susah dari Kampung Siputeh bersyukur apabila menerima rumah baru hasil sumbangan banyak pihak.
Pasangan itu, Sudin Lateh, 55 tahun dan isterinya, Doyah Samsudin, 46 tahun berkata, kehidupan mereka kini lebih selesa memandangkan rumah baru mereka serba lengkap termasuk ada kemudahan elektrik. Menurut Sudin, dia dan isterinya sebelum ini tinggal di pondok buruk yang hanya berlantaikan tanah dan bumbung pula bocor.
Dia ditemui ketika aktiviti gotong-royong menerusi Program Kami Sukarelawan Prihatin yang disertai seramai 80 sukarelawan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik dan Kubang Pasu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah dan Timbalan Pengarah Operasi JKM, Zulkiply Ramli.
Sementara itu, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah ketika ditemui berkata, keseluruhan bantuan bernilai RM20,000 itu adalah hasil keprihatinan banyak pihak termasuk sumbangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan individu perseorangan.
“Kerajaan mahukan rakyat hidup dalam keadaan selesa. Usaha begini menunjukkan Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat. Kerajaan sememangnya mendahulukan kepentingan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun,” ujarnya.
Selain rumah baru, pasangan itu juga menerima kelengkapan baru seperti katil, televisyen, kipas angin, dapur gas dan makanan.
Sumber : UMTK