River Cruise Kedah Mula Beroperasi Awal Tahun 2015

3river
ALOR SETAR 3 November– River Cruise Kedah yang mampu menarik pelancong tempatan dan asing menyusuri Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit dijangka memulakan operasi awal tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, dua buah bot yang dikendali swasta akan disediakan bagi tujuan itu dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina pelbagai kemudahan seperti jeti terapung di Tanjung Chali, Masjid Zahir, Rumah Merdeka dan Tongkang Yard.

“Kemudahan ini memberi peluang kepada pelancong melawat beberapa tempat seperti Masjid Zahir, Rumah Merdeka dan beberapa kampung tradisional berhampiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit,” ujarnya.

Menurutnya, pelancong boleh melihat Istana Anak Bukit dan beberapa tinggalan sejarah di sepanjang sungai. Papan tanda akan dibina bagi menunjukkan tempat sejarah dan kampung tradisional.

Sumber : UMTK