Prihatin Fasiliti Orang Kurang Upaya


1511fasiliti

ALOR SETAR 05 November - Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi komitmen untuk melakukan penambahbaikan terhadap beberapa kemudahan awam dan bangunan Kerajaan bagi memberi keselesaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, ia antara kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan menyediakan kemudahan sesuai kepada golongan terbabit, sekaligus membuktikan keprihatinan Kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan Negeri mengakui kemudahan untuk OKU di negeri ini tidak selengkap berbanding yang disediakan PBT di Lembah Klang, namun bersedia meningkatkannya demi keselesaan golongan berkenaan,” ujarnya  pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2014 di Dataran Wisma Darul Aman.

Sebagai contoh, katanya, penyediaan lampu isyarat berbunyi di pusat bandar kerana laluan berkenaan boleh digunakan oleh golongan cacat penglihatan supaya mereka mampu berjalan atau melintas jalan tanpa bantuan.

“Kemudahan untuk golongan OKU termasuk cacat penglihatan perlu disediakan sebanyak mungkin dan di Kedah, saya akui kita tidaklah lengkap dari segi kemudahan seperti itu berbanding Kuala Lumpur, tetapi kita boleh berusaha untuk meningkatkan tahap kemudahan berkenaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, walaupun sudah banyak dilakukan untuk golongan OKU ini, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan beliau turut menyeru pemilik bangunan supaya menyediakan kemudahan khas seperti laluan khas yang mudah serta selamat di bangunan, siar kaki dan tandas awam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob,  Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong dan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Mohammed Nazari Othman.

Sumber : UMTK