Pencapaian UPSR Kedah Meningkat


Oleh Safina Ramli

ALOR SETAR 26 November - Pencapaian peratus kelulusan keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Kedah telah meningkat seba­nyak 2.19 peratus iaitu 68.13 peratus berbanding 65.94 peratus pada tahun 2013.

Pengarah Pelajaran negeri, Datin Azuyah Hassan berkata, pres­tasi calon bagi sekolah kerajaan yang mencapai tahap cemerlang iaitu yang memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran ialah seramai 2,831 orang daripada 34,623 calon.

“Daripada 540 buah sekolah rendah kerajaan di negeri ini sebanyak 403 buah sekolah (74.63 peratus) mencatatkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

“Sebanyak 16 sekolah telah mendapat 100 peratus kelulusan pada tahun ini dan antara sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan, SJKC York Khoon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Puan Sharifah Hanipah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurut Azuyah, sebanyak 317 sekolah telah meningkat pencapa­ian peratus keseluruhan pada tahun 2014 daripada sekurang-kurangnya 0.11 peratus sehingga yang tertinggi iaitu 100 peratus.

Tambahnya, sebanyak 11 buah sekolah pula mencapai peningkatan peratus keseluruhan melebihi 50 peratus ke atas.

“Antara sekolah tersebut ialah SK Nami, SJKC Poi Chee, SJKC Pei Eng, SK Lamdin, SK Bukit Kiara, SJKC Kampong Lalang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azuyah memberitahu, Gred Purata Sekolah (GPS) UPSR 2014 bagi negeri ini ialah 2.29 berbanding 2.27 pada tahun lalu.

“Sebanyak 240 sekolah (44.44 peratus) telah mencatat pencapaian GPS lebih baik daripada pencapaian negeri bagi 2014.

“Sementara itu, 87 buah sekolah telah berjaya mencapai tahap cemerlang iaitu GPS kurang daripada 2.0,” katanya.

Sumber : Utusan