Kediaman Enam Keluarga Rosak Dibina Semula

20kediaman

ALOR SETAR 20 November- Kerajaan Negeri akan membina semula kediaman enam keluarga yang rosak sepenuhnya dalam kejadian puting beliung di Kampung Sungai Baru pada 31 Oktober 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian berkata, pihaknya sudah meninjau dan membanci mangsa dalam insiden itu sebelum mendapati enam keluarga paling teruk terjejas.

“Enam keluarga itu kini menumpang di rumah saudara, namun kita akan sediakan penempatan sementara di dewan orang ramai di kampung itu sebelum mereka dipindahkan ke rumah transit. Kerajaan Negeri juga akan membina semula enam kediaman yang rosak secepat mungkin selepas mendapat kelulusan sewajarnya,” ujarnya.

Menurutnya, bantuan segera sudah disalurkan sebelum ini meliputi skop dalam pelan Tindakan Serta Merta (TSM) iaitu makanan dan kewangan bagi membantu mereka.

Pelbagai pihak tampil bergotong-royong membaik pulih sebahagian daripada 71 premis yang terjejas dalam kejadian puting beliung berkenaan, iaitu yang kedua melanda Kedah selepas insiden pertama di Pendang pada 13 Oktober 2014.

Sumber : UMTK