Kedah Kaji Punca – MB

6kedah

Oleh Safina Ramli

PENDANG 6 November - Kerajaan negeri sedang meneliti sama ada dasar berkaitan polisi perumahan di negeri itu menyumbang kepada berlakunya spekulasi harga rumah sehingga meningkat naik dan menyebabkan rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengesan banyak rumah baharu yang dibina oleh pemaju perumahan masih kosong dan tidak diduduki namun harga rumah itu terlalu mahal.

“Kalau dalam dunia bisnes kita mesti hendak keluarkan produk yang akan dibeli oleh pasaran, tetapi nampaknya itu tak berlaku dan saya bimbang ada unsur spekulasi berlaku yang akhirnya akan mudaratkan semua pihak.

“Buat masa ini dasar sedia ada masih tidak dapat membendung masalah ini dengan berkesan, oleh kerana itu kerajaan negeri mesti meneliti dasar yang kita amalkan ini, adakah ia menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-7, Pencerahan Tasawwur Ahl Al-Sunnah Wal Jamaah di Pondok Munjamma’a Ibn Sunni Li Al-Talaqqi, Sungai Jagong di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap kerajaan negeri menukar polisi lapuk berkaitan dengan sektor perumahan agar ia dibina sebagaimana yang diperlukan oleh rakyat.

Kata Mukhriz, beliau tidak melihat kesungguhan para pemaju perumahan untuk menjual rumah yang masih tidak diduduki itu dan perkara tersebut amat membimbangkan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang mengkaji cara terbaik untuk memudahkan urusan perumahan bagi membantu rakyat ne­geri itu memiliki rumah.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri akan terus memperkasakan dan memberi perhatian yang sewajarnya kepada institusi pengajian pondok di Kedah.

“Para alim ulama dan guru-guru sekolah pondok mesti bekerja kuat untuk mempertahankan penga­ngan Ahl Sunnah Wal Jamaah di dalam sistem pondok.

“Ini kerana unsur-unsur yang cuba menyebarkan fahaman Syiah ke negara ini amat merungsingkan kita kerana majoriti umat Islam di sini mengamalkan fahaman Ahl Al-Sunnah Wal Jamaah,” jelasnya.

Sumber : Utusan