Jabatan Patuh Teguran Ketua Audit Negara

30jabatan

ALOR  SETAR 30 Oktober– Prestasi jabatan dan agensi Kerajaan yang menerima teguran melalui Laporan Ketua Audit Negara berjaya dipulihkan sehingga kembali kepada kedudukan asal.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Kedah (PAC), YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, semua jabatan yang terlibat mengambil langkah pro-aktif dengan memperbaiki kelemahan yang ditonjolkan dalam laporan itu pada setiap tahun.

Beliau berpuas hati dengan prestasi memberangsangkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan yang terlibat kerana mengambil tindakan segera sebaik sahaja menerima teguran atau maklumat mengenainya.

“Kebanyakan jabatan Kerajaan yang menerima teguran dari Ketua Audit Negara berjaya memperbaiki kelemahan dan kini sudah berada atas landasan sebenar. Jika sebelum ini, prestasi jabatan Kerajaan di Kedah tiga tahun terkebelakang berbanding negeri lain, kini ia setara dengan mereka,” ujarnya.

Menurutnya, pencapaian itu amat membanggakan kerana mampu merealisasikan dengan bantuan pelbagai pihak yang terlibat melalui pendekatan positif.

“Ini kerana PAC akan memanggil jabatan terlibat untuk mendapat gambaran sebenar mengenai masalah yang timbul dan cadangan untuk mengatasinya. Ahli PAC kemudian akan melawat jabatan terbabit untuk mendengar taklimat terkini mengenai proses atau langkah pemulihan yang diambil,” jelasnya.

Tambahnya, biasanya, selepas lawatan itu, jabatan terbabit boleh diisytiharkan bebas daripada masalah atau kelemahan yang ditonjolkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Sumber : UMTK