FAMA Bantu Dari Segi Penjenamaan

3fAMA
ALOR SETAR 3 November – Kerajaan Negeri menerusi agensi pertanian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan memberikan bantuan dalam aspek pembungkusan serta penjenamaan lebih baik kepada usahawan tempatan yang berdaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, bantuan lain daripada segi promosi turut diberikan dengan membawa produk mereka ke karnival, ekspo, Hari Peladang dan pameran usahawan sama ada di dalam atau luar negeri.

“Kita melihat industri pekasam sama ada menggunakan bahan daripada ikan darat mahupun ikan laut ini mampu berkembang lebih jauh kerana permintaan terhadap produk berkenaan sentiasa ada, bahkan dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Menurutnya, ini disebabkan perusahaan pekasam adalah satu industri yang berpotensi jika dijalankan menggunakan kaedah serta usaha bersungguh-sungguh daripada usahawan berkenaan.

Beliau menjelaskan, sebagai langkah menuju kejayaan, usahawan digalakkan supaya mendaftar dengan agensi Kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FAMA dan MADA bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya daripada agensi berkenaan.

Sumber : UMTK