Cari Lokasi Sesuai

3cari
ALOR SETAR 3 November-  Masalah ketiadaan jeti pendaratan untuk bot penambang yang berulang-alik dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai boleh diselesaikan dalam masa terdekat selepas proses pemilihan lokasi pembinaan jeti dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, Kerajaan sedang memikirkan lokasi jeti pendaratan sesuai yang praktikal untuk semua pihak.

“Ada cadangan jeti berkenaan dibina di hujung tempat perkelahan kerana kawasan itu dikatakan lebih selamat. Bagaimanapun, perkara ini akan diputuskan dengan beberapa agensi lain dalam tempoh terdekat ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya menegaskan, perkara itu juga sudah dibincangkan dengan beberapa pihak, tetapi mendapati bukan sesuatu yang mudah untuk membina jeti pendaratan di Pantai Merdeka kerana kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai sama ada untuk mandi-manda atau berkelah bersama keluarga.

“Kita tidak mahu mengganggu orang ramai kerana jika jeti itu dibina kemungkinan bot penambang boleh menjejaskan kawasan mandi-manda, sekaligus menjejaskan jumlah pengunjung,” ujarnya.

Beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera berikutan kawasan Pantai Merdeka mahupun Tanjung Dawai yang juga tempat pelbagai hasil laut menjadi tumpuan ramai, sekaligus melonjak sektor pelancongan di negeri ini.

Sumber : UMTK