Bersih Aliran Air Tersumbat

20bersih 

MERBOK 20 November – Masalah perparitan yang berlaku dekat Taman Lembah Bujang bakal diatasi apabila tindakan segera dilakukan pada peringkat permulaan bagi mengelakkan banjir berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya melakukan lawatan ke lokasi berkenaan dan mendapati saluran berkenaan tersumbat.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melakukan pembersihan awal bagi memperbaiki saluran berkenaan.

“Sebelum ini, ramai yang merungut tentang masalah banjir dekat Kampung Pekan Sebelah dan Taman Lembah Bujang. Ketika tinjauan dibuat mendapati laluan air tersumbat. Ia dipercayai berpunca daripada saluran paip yang tersekat di bahagian bawah menyebabkan air melimpah dan menyebabkan beberapa penduduk terjejas,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasinya selain MPSPK.

“Kita akan berganding dengan pihak terlibat dalam usaha membaik pulih laluan air yang tersekat. Setakat ini, MPSPK membuat operasi pembersihan peringkat awal sebelum kerja-kerja lain menyusul kemudian,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihati penduduk untuk menjaga kebersihan kawasan kediaman, selain memelihara sistem perparitan dari tercemar dengan sisa buangan yang boleh mengakibatkan masalah bukan sahaja kepada penduduk, malah menjejaskan alam sekitar.

Sumber : UMTK