Usaha Gigih Membuahkan Hasil

9SUMBER
BALING 9 Oktober-  Dari jauh sekiranya anda melalui Kampung Mengkuang Hujung, aroma bau harum gorengan biji kopi semerbak dapat dihidu. Lantas, sesiapa sahaja pasti teruja untuk menikmati secawan kopi yang hitam pekat buat membasahi tekak yang kehausan.

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa di situ terletak sebuah kilang pemprosesan kopi berjenama yang terkenal terutamanya di utara tanah air iaitu Kopi Cap Gantang. Ia merupakan usaha seorang anak muda, Mohamed Hassan Mohamed Rawter, 49 tahun, anak kelahiran Kampung Kubang Rotan, Alor Setar, sejak 2002 yang membuahkan hasil yang membanggakan.
                 
Mohamed Hassan yang mulanya hanya sebagai pekerja di sebuah kilang pengeluar serbuk kopi di Kuala Pegang, Baling, kini menjadi pemilik sebuah kilang kopi terkemuka di daerah utara. Bercerita pengalaman lalu, menurut Mohamed Hassan, ketika bekerja makan gaji dahulu, beliau menggunakan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu.

Ketika di kilang itu, beliau bekerja bersungguh-sungguh sehingga diberikan kepercayaan oleh pemilik kilang berkenaan untuk membantu menguruskan perniagaannya. Setelah bekerja beberapa tahun, Mohamed Hassan kemudian bertemu jodoh dengan seorang gadis, Zarulaswah Mohd Nayan, 45 tahun, juga kerana secawan kopi.

Sama ada kebetulan atau tidak tetapi sesuatu yang pasti jodoh itu rahsia Allah, menikmati hidangan kopi yang disajikan gadis itu menyebabkan Mohamed Hassan jatuh cinta lantas melamarnya.  Demikian juga demi mencipta masa depan yang cemerlang untuk keluarga, beliau bercita-cita untuk menjadi 'tauke' kopi yang berjaya dan terkemuka.

Akhirnya, anak sulung daripada empat beradik yang berjiwa kental itu memberanikan diri berhijrah dari kampung halamannya sekitar tahun 1980-an untuk memenuhi impiannya membuka perniagaan sendiri.  Bermodalkan hanya RM500 ketika itu, beliau membuka perniagaan sendiri dengan mengeluarkan serbuk kopi secara kecil-kecilan di Kuala Pegang.

Berkat usaha gigih yang tidak mengenal erti jemu, perniagaan kopi dengan jenama Kopi Cap Gantang semakin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemarnya. Pengalaman sejak tahun 2002 membolehkan Mohamed Hassan layak menerima pelbagai pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Antaranya, beliau dianugerahkan sebagai Peladang Jaya Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008 di Serdang, Selangor. Mengenai kelazatan dan keenakan rasa kopi yang harum semerbak, beliau menggunakan biji kopi jenis Robusta yang dibelinya sendiri dari Indonesia sebagai bahan mentah.

Kopi yang dihasilkannya itu mempunyai aroma keharuman yang tersendiri dan kelazatan yang boleh menyegarkan tekak dan pernafasan serta lebih segar dan amat baik untuk kesihatan. Kilangnya kini memerlukan 16 tan biji kopi setiap bulan untuk menampung permintaannya di pasaran.

Syarikat Gantang Enterprise Serbuk Kopi Warisan Kita mengeluarkan kopi dalam bentuk bungkusan seberat 70 gram, 150 gram, 320 gram dan 650 gram dengan harga antara RM1 hingga RM7 setiap satu. Pasarannya  adalah di sekitar Kedah, Perlis dan Perak dengan melantik lima pengedar untuk mengurus pengedaran kopi Cap Gantang ke semua tempat yang memerlukannya.

Antara agensi kerajaan yang banyak membantu dalam menyuntik modal dan kepakaran selain daripada nasihat yang diberikan ialah Agrobank, Tekun Nasional, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang banyak membantunya untuk merealisasikan impian untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Sumber: UMTK