Tugas Sebagai Seorang Wakil Rakyat


ALOR SETAR 27 Oktober - Seorang wakil rakyat atau Yang Berhormat perlu memahami setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan menjadikan tugas sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.


Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, menjadi satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang wakil rakyat dalam menyelesaikan setiap masalah yang berlaku agar jalinan kerjasama antara rakyat dan Kerajaan Negeri berjalan dengan baik dan sempurna.

“Sebagai wakil rakyat, kita perlu meletakkan rakyat sebagai fokus utama dan kita tidak seharusnya membelakangi rakyat kerana tanpa rakyat, sesebuah Kerajaan tidak dapat dibentuk melalui pilihanraya,” katanya pada majlis Amanat Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Beliau menjelaskan, penumpuan terhadap pembangunan juga perlu diberikan perhatian dalam usaha mensejahterakan rakyat di samping menitikberatkan hubungan antara wakil rakyat dengan rakyat.
“Konsep integriti perlu diamalkan agar pendekatan yang diambil mampu memberikan keselesaan kepada rakyat serta berupaya mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka  Syeikh Muhamad Baderudin Haji Ahmad.

Sumber : UMTK