Tolak Ekstremis Demi Perpaduan Rakyat Kedah

ALOR SETAR 4 Oktober - Rakyat negeri ini digesa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan menolak fahaman ekstremis dalam usaha menjaga perpaduan antara semua kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kemajuan sesebuah negeri itu tidak bermakna jika rakyatnya tidak tahu menjaga hubungan antara kaum termasuk menghormati perbezaan dan menerima kepelbagaian kaum, budaya serta agama.

“Saya merayu agar semua rakyat negeri ini mengamalkan kesederhanaan dalam hidup dan menolak fahaman ekstremis demi kepentingan kita bersama.

“Sedikit yang kita korbankan sebenarnya lebih banyak yang kita dapat. Dalam usaha memupuk perpaduan ini kerjasama diperlukan daripada semua pihak.

“Kemajuan ekonomi yang cuba kita kecapi tidak akan bermakna perpaduan tidak dijaga," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada 1,000 warga tua dan fakir miskin anjuran Pertubuhan Kebajikan San Sheng di Taman Putra Jaya dekat sini semalam.

Mukhriz menambah, aktiviti kebajikan seumpama itu yang membabitkan semua kaum wajar mendapat perhatian pelbagai pihak dalam usaha memupuk perpaduan rakyat.

“Kita berharap aktiviti seperti ini dalam diadakan oleh lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya.

Sumber : UTUSAN