Peniaga Pekan Rabu Akur Arahan Berpindah

ALOR SETAR 9 Oktober- Kira-kira 370 peniaga di Pekan Rabu akan mula berpindah secara berperingkat-peringkat ke lokasi sementara di Ukir Mall mulai minggu depan sehingga 25 Oktober ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula pusat perniagaan tersebut.

Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Leftenan Kolonel (B) Lutfi Ahmad Ghazi berkata, tapak perniagaan di Pekan Rabu itu perlu dikosongkan oleh semua peniaga di situ pada 26 Oktober ini.

"Kita akui ada segelintir peniaga yang enggan berpindah ke lokasi sementara tetapi kita telah pujuk dan beri nasihat kepada mereka bahawa perpindahan ini adalah untuk masa depan mereka juga.

"Projek pembangunan semula Pekan Rabu ini perlu dijalankan dan semua peniaga harus akur untuk berpindah ke lokasi sementara di Ukir Mall," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini projek pembinaan semula pusat tarikan pelancong di Kedah itu dijangka dilaksanakan bermula November ini membabitkan peruntukan sebanyak RM53 juta dengan peniaga diminta mengosongkan bangunan lama itu pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, proses perpindahan peniaga di Pekan Rabu yang dijadualkan Ogos lalu tersebut, tertangguh hingga kini ekoran terdapat peniaga yang enggan berpindah ke Ukir Mall.

Reka bentuk baharu Kompleks Pekan Rabu membabitkan pertambahan kedai sebanyak 78 unit, sekali gus menjadikan keseluruhan ruang niaga berjumlah 355 unit dan 216 tempat letak kereta.

Menurut Lutfi, peniaga-peniaga di Pekan Rabu sebenarnya enggan berpindah kerana bimbang pendapatan mereka terjejas di lokasi baharu.

"Pihak kami akan menghebahkan perpindahan peniaga Pekan Rabu ke Ukir Mall ini menggunakan media sosial, iklan di radio serta akhbar.

"Peniaga-peniaga Pekan Rabu dijangka perlu berniaga di Ukir Mall dalam tempoh dua hingga dua setengah tahun bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula Pekan Rabu," jelasnya.

Sumber: UTUSAN