ALOR SETAR 16 Oktober - Penduduk negeri
ini kini berpeluang melihat haiwan prasejarah dinosaur dalam pameran
bergerak Petrosains DinoTrek 2 di Balai Seni Negeri yang bermula Sabtu
lalu sehingga Mei tahun depan.
Pameran anjuran pusat penerokaan sains
kontemporari, Petrosains yang terletak di Suria KLCC, Kuala Lumpur itu
merupakan yang kedua selepas siri pertamanya di negeri ini pada 2004.
Bagaimanapun pameran kali ini lebih
menarik dengan sembilan dinosaur animatronik, 12 pameran interaktif
serta pelbagai aktiviti lain yang menawarkan pengalaman berguna kepada
pengunjung terutama kanak-kanak.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah
Petrosains, Norliza Kamaruddin, Petrosains komited untuk menggalakkan
rakyat menjadi celik sains serta untuk mencetuskan minat rakyat dalam
mempelajari bidang itu.
"Kami hendak seramai mungkin datang
melihat pameran seperti ini. Kami mahu pupuk pembelajaran interaktif
untuk memupuk semangat kanak-kanak mempelajari sains," katanya kepada
pemberita selepas majlis perasmian itu di sini baru-baru ini yang
disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
'Petrosains DinoTrek' dianjurkan buat
pertama kali pada 2003 di KLCC sebelum dibawa ke negeri lain pada 2004
bermula dengan Kedah, diikuti Terengganu, Sabah dan Sarawak selama empat
tahun.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai
Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, pameran
tersebut sehingga kini berjaya menarik 1.5 juta pengunjung di seluruh
negara dan sebanyak 80,000 pengunjung disasarkan untuk pameran di negeri
ini kali ini.
"Kali pertama di negeri ini diadakan di
Muzium Kedah. Kali ini lebih besar dan lebih menarik kerana ada sembilan
animatronik dan 12 pameran interaktif," katanya.
Pameran dibuka setiap hari bermula pukul
9 pagi hingga 5 petang dengan harga tiket adalah RM10 bagi dewasa,
remaja dan kanak-kanak (RM5), rombongan sekolah (RM4), pakej keluarga
iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak (RM20) manakala kanak-kanak bawah
empat tahun percuma.
Sumber : Utusan