Mula Projek Lepas Peniaga Pindah


16mulaprojek
ALOR SETAR 16 Oktober– Projek pembangunan semula Pekan Rabu akan dimulakan selepas kesemua 277 peniaga di pusat membeli-belah itu berpindah ke lokasi sementara di Ukir Mall, dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, proses perpindahan peniaga di situ sepatutnya dijadualkan pada Ogos 2014 tetapi masih tertangguh sehingga kini.
Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan kerja-kerja merobohkan dan membina semula Pekan Rabu belum dapat dilaksanakan meskipun peruntukannya sudah disediakan.

“Kita akui proses ini mengambil sedikit masa kerana mahu memastikan ia berjalan lancar dan teratur demi kepentingan peniaga yang terlibat. Bagaimanapun, usaha ke arahnya sedang giat dilaksanakan dan kita menjangkakan kesemua peniaga dapat dipindahkan ke lokasi sementara di Ukir Mall dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai segelintir peniaga yang membantah perpindahan ke Ukir Mall itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri sudah mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan melihat lokasi berkenaan sangat sesuai bagi tujuan itu.

Sumber: UMTK