Mek Mulung Diisytihar Seni Warisan Kedah



24Mek
 Oleh Mohd. Rafie Azimi

KUBANG PASU 24 Oktober - Kesenian Mek Mulung yang wujud sejak lebih 400 tahun lalu diisytiharkan sebagai Seni Warisan Kedah yang akan dipelihara dan diangkat ke peringkat antarabangsa bagi memastikannya tidak luput ditelan zaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pengiktirafan itu dibuat setelah mengambil kira fakta bahawa Kedah merupakan satu-satunya ne­geri di mana Mek Mulung sudah dimainkan dari generasi ke generasi sejak sekian lama.

“Susulan pengiktirafan ini, pelbagai usaha akan digerakkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak tertentu khususnya, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) untuk membawa Mek Mulung ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Usaha tersebut diharap mampu membuka jalan untuk membolehkan Mek Mulung dipertimbangkan sebagai warisan dunia oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan Pelancaran Buku Mek Mulung di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan BDB, Datuk Izham Yusoff; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini mengumpulkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada kalangan penulis dan saste­rawan tempatan.

Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa menerusi penulisan selain membantu Malaysia mencapai matlamat sebagai negara maju bertamadun besar.
 
“Penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini merupakan penghargaan serta tanda sokongan kepada industri penulisan negara. Diharapkan semoga yayasan ini dapat menggerakkan industri penulisan negara menjadi lebih aktif,” ujarnya.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Mukhriz meng­anggap penganjurannya sebagai rahmat bagi negeri ini kerana ia secara tidak langsung membawa masyarakat untuk turut serta dalam perjuangan membentuk gagasan baharu sastera negara yang sememangnya diketahui umum menjadi antara kayu ukur tamadun sesebuah bangsa.

“Sedar atau tidak, sastera adalah bidang seni kreatif yang mempunyai keupayaan besar untuk membangunkan nilai kemanusiaan tinggi pada setiap individu dan menuntut penulis mencari jalan untuk merawat dan memulih jiwa masyarakat majmuk di negara ini menerusi penulisan.

“Hakikatnya, penulis tidak hanya perlu kreatif malah perlu memiliki semangat sebagai seorang pejuang, jiwa patriotik, azam, kesungguhan dan kemahuan besar untuk melahirkan karya yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya.

Sumber : Utusan