Konvoi Motosikal Kutip Dana Untuk Bantu Gaza

SUNGAI PETANI 14 Oktober - Seramai 25 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai kempen 'RM1 Million for Gaza' anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Wilayah Utara di Jalan Kem Sungai Layar, Sungai Petani di sini, kelmarin.

Majlis pelancaran konvoi itu yang menuju ke beberapa destinasi bagi mendapat sumbangan dana daripada orang ramai disempurnakan oleh Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid di Pejabat Mapim di sini.

Ketika berucap di majlis itu, Azmi berkata, sambutan dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi menyertai program itu, adalah baik sekali.

"Apa yang kita harap setiap lokasi disinggah oleh anggota konvoi selama 15 hingga 30 minit akan menarik perhatian orang ramai untuk memberi sumbangan masing-masing," katanya.

Menurutnya, terpulang kepada orang ramai untuk menghulur sumbangan sekadar yang mampu di lokasi ditetapkan seluruh negara.

"Usaha dilakukan ini hendaknya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu membebaskan Palestin bukan lagi isu agama, tetapi ia adalah mengenai kemanusiaan. "Ia berupaya menggerakkan masyarakat untuk sama-sama membantu melalui sebarang cara yang difikirkan sesuai bagi mengumpul dana hingga mencecah RM1 juta bagi membangunkan semula Gaza khususnya dan Palestin akibat perang itu," katanya.

Urusetia konvoi itu, Nurul Fikriyah Abdul Halim memberitahu, peserta yang menyertai konvoi terdiri pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Saya berharap peserta berupaya membuat pendekatan menarik di setiap lokasi sehingga 25 Disember nanti bagi mendapat sumbangan," katanya.

Sumber: Utusan