Kedah Manfaat Sumber Buluh

1kedah
ALOR SETAR 1 Oktober – Kerajaan Negeri Kedah akan mengeksploitasi sepenuhnya kekayaan sumber buluh dalam pelbagai bidang industri berasaskan teknologi hijau dan lestari sebagai satu agenda transformasi negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tanaman buluh mengikut anggaran bancian Pejabat Perhutanan kini meliputi 30.67 peratus daripada 344,233 hektar hutan simpan di Kedah.

“Kita semua mengenali tanaman ini sejak kecil lagi dengan kegunaan biasanya terhad kepada empat atau lima jenis kraftangan sahaja seperti bakul, pancing, wau, kerawang atau hiasan dalaman rumah, gulai rebung dan acar rebung,” katanya pada majlis perasmian Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

Beliau memberitahu, pelbagai kegunaan buluh boleh dieksploitasi membabitkan industri pembuatan bahan binaan, pakaian dan alat kosmetik selain industri makanan yang sudah diusahakan ketika ini.

“Slogan Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi adalah amat tepat digunakan kerana saya melihat buluh adalah tumbuhan atau bahan semulajadi yang boleh menjadi ikon untuk transformasi,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor serta Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK