Kanopi Buluh Bakal Jadi Tarikan

1Kanopi
ALOR SETAR 1 Oktober – Struktur kanopi ikonik berasaskan buluh akan dibina di Taman Jubli Emas sebagai tarikan baru kepada pelancong, sekaligus menjadikan Kedah sebagai negeri contoh dalam industri buluh.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbincangan awal dengan Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global serta Konsortium Bamboo Malaysia diadakan bagi merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, proses pembinaan kanopi itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan arkitek terlibat sudah mempamerkan model awal binaannya. Kita dalam proses rundingan dengan arkitek dan Majlis Bandaraya Alor Setar untuk memastikan struktur binaan itu sesuai dengan kawasannya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

“Taman rekreasi itu sering dikunjungi orang ramai, namun kawasan berteduh agak terhad. Kanopi ikonik itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sana. Di samping itu, Pusat Pengkomersilan Buluh akan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Sains Wilayah Utara di Gunung Keriang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor serta Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK