Hari Buluh Sedunia 2014

1hari
ALOR SETAR 1 Oktober – Hari Buluh Sedunia adalah acara sambutan yang diilhamkan oleh Pertubuhan Buluh Sedunia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pada 18 September setiap tahun, setiap negara di seluruh dunia digalakkan merayakannya dengan cara masing-masing bagi meningkatkan kesedaran mengenai buluh secara global.

“Pelbagai program dan aktiviti turut diatur bersempena Sambutan Hari Buluh Sedunia 2014 seperti pameran, seminar, bengkel, dialog, forum, hiburan dan persembahan yang interaktif dengan menggunakan segala prasarana dan teknologi terkini untuk menjadikan acara ini lebih menarik,” ujarnya pada majlis perasmian penutup Hari Buluh Sedunia di Hotel Tabung Haji.

Menurutnya, Hari Buluh Sedunia yang diadakan ini diharap dapat membuka minda masyarakat untuk berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif serta melihat potensi buluh yang sangat luas.

“Ia tidak seharusnya dianggap sebagai industri picisan kerana produk-produk buluh Malaysia yang berinovasi mampu berkembang dengan pesat hingga ke peringkat dunia sekiranya dilaksanakan dengan serius oleh semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah  Pengerusi Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global, Dato’ Ghazi Sheikh Ramli.

Sumber : UMTK