Oleh SAFINA RAMLI
Mohd. Noor Azam Ismail ( kiri) memberi penerangan kepada ahli jawatankuasa Majlis Belia Daerah Pendang tentang pengurusan operasi Bazar Melayu @ Kemboja berdekatan Mini Stadium, Pendang, Kedah.
PENDANG 1 Okt. - Bazar Melayu @ Kemboja berhampiran
Mini Stadium di sini yang memulakan operasinya baru-baru ini mampu
menjadi salah satu tarikan orang ramai untuk berkunjung ke daerah
Pendang.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Pendang, Mohd. Noor Azam Ismail berkata, Bazar Melayu @ Kemboja itu
diadakan setiap Jumaat bermula pukul 7 pagi hingga 1 petang, diilhamkan
daripada Bazar Kemboja yang popular di Parit Buntar, Perak.
Katanya,
bazar tersebut mampu menarik pengunjung berikutan pelbagai tawaran
menarik disediakan oleh kira-kira 120 peniaga yang berniaga pakaian,
makanan, minuman dan tudung.
"Di Bazar Melayu @ Kemboja kita jemput 20 pemborong yang berniaga di Bazar Kemboja, Parit Buntar untuk sama-sama menjalankan perniagaan di sini.
"Selain itu, peniaga-peniaga tempatan turut menjalankan perniagaan dan kami berharap Bazar Melayu @ Kemboja ini
akan menjadi salah satu destinasi membeli-belah dengan harga berpatutan
bagi penduduk di kawasan utara," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya,
pelbagai promosi giat dijalankan oleh pihak Majlis Belia Daerah Pendang
dengan kerjasama Koperasi Bumi Bakti Kedah Bhd. bagi memastikan bazar
tersebut popular.
"Kami jangkakan antara 30,000 hingga 50,000 pengunjung akan mengunjungi Bazar Melayu @ Kemboja sepanjang beroperasi," jelasnya.
Selain itu, Mohd. Noor Azam memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membuka Bazar Melayu @ Kemboja di setiap daerah di negeri ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barang keperluan dengan harga berpatutan.
Dalam pada itu, seorang pemborong pakaian, Tahir Omar, 42, berkata, sambutan daripada orang ramai untuk hari pertama Bazar Melayu@Kemboja itu dibuka amat menggalakkan.
"Saya juga berniaga di Pazar Kemboja di Parit Buntar dan saya gembira apabila Bazar Melayu @ Kemboja di Pendang ini mendapat perhatian orang ramai," jelasnya.
Seorang
lagi peniaga pakaian, Juwairiah Yaakob, 20, pula berkata, bazar itu
membuka peluang kepada golongan muda untuk meluaskan rangkaian
perniagaan.
Sumber : UTUSAN
Sumber : UTUSAN