Bajet 2015: Harap Bela Nasib Penoreh


9bajet
ALOR SETAR 9 Oktober– Kerajaan Negeri berharap pembentangan Bajet 2015 akan memberi lebih tumpuan kepada golongan penoreh khususnya di kawasan pedalaman termasuk di Kedah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun ada keperluan dari segi bantuan perumahan, infrastruktur dan bekalan air masyarakat luar bandar, namun kemerosotan harga getah memberi tekanan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam industri berkenaan.

Menurutnya, mereka pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan menyenaraikan lima cadangan untuk mengurangkan bebanan yang terpaksa dipikul penoreh dan pengusaha getah.

“Ada cadangan yang dipersetujui ialah berian one-off geran bantuan rakyat. Cadangan lain termasuk langkah meningkatkan hasil getah melalui pembiayaan baja dan memansuhkan bayaran tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman.

Dalam perkembangan lain, Program Mesra Rakyat kali keempat akan diadakan di Kulim pada 11 dan 12 Oktober 2014 yang bertujuan untuk memberi penerangan mengenai perancangan Kerajaan Negeri.

Sumber: UMTK