1,217 Penduduk Terima Cermin Mata

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
7cermin
MOHD. Banuri Aris (kanan) bersama-sama Said Ali Syed Rastan ( tiga dari kanan) menyampaikan cermin kata kepada Rosnani Ayob (tiga dari kiri, duduk depan) dalam Program Kami Prihatin Yayasan Felda di Langgar, Alor Setar, semalam.

POKOK SENA 2 Oktober Sebanyak 1,217 penduduk menerima sumbangan cermin mata daripada Yayasan Felda menerusi Program Kami Prihatin di pekarangan Pejabat UMNO Pokok Sena di sini hari ini.

Pengarah Yayasan Felda, Mohd. Banuri Aris berkata, cermin mata percuma itu adalah lanjutan daripada Program Amal Bakti Nurani 1Muafakat anjuran Yayasan Felda di Kampung Kubang Lintah dekat sini pada 5 September lalu.

"Sebanyak 1,217 penduduk kampung dari kawasan ini membuat pemeriksaan mata dalam program amal tersebut dan hari ini kita sampaikan cermin mata yang telah siap kepada mereka," katanya kepada pemberita dalam majlis Penyampaian Cermin Mata Percuma di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Said Ali Syed Rastan.

Kata Mohd. Banuri, selain sumbangan cermin mata, Yayasan Felda juga menjalankan banyak lagi program amal sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk program komuniti seperti gotong-royong membersihkan surau dan masjid, pemeriksaan kesihatan dan baik pulih rumah.

"Yayasan Felda telah menjalankan program seperti ini sejak tahun 2000 lagi dan kini dilakukan secara lebih meluas selepas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mahu memberi penekanan dan perhatian serius kepada masyarakat pinggiran Felda dan komuniti di kampung kawasan Felda," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya akan terus memberi khidmat kepada seluruh masyarakat menerusi program amal yang akan dirancang di setiap lokasi baharu seluruh negara.

"Ini adalah hasil kejayaan Kumpulan Felda setelah 57 tahun berusaha dan kejayaan ini dikongsi bersama-sama seluruh rakyat Malaysia," katanya sambil memberitahu program amal seterusnya akan diadakan di Kelantan.

Sementara itu, penerima sumbangan, Niza Shuib, 42, dari Kampung Masjid Lama, Lepai dekat sini berkata, cermin mata percuma itu adalah bagi menggantikan cermin mata lamanya yang telah patah.

Sumber : UTUSAN