Oleh SAFINA RAMLI
ALOR SETAR 8 Oktober - Sebanyak 10,973
petani terlibat di dalam projek estet padi yang dijalankan oleh Lembaga
Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak dimulakan pada 2011 bagi
meningkatkan pendapatan golongan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata,
pencapaian keluasan sehingga kini mencapai 19,024 hektar dan tahun ini
penubuhan projek melibatkan peserta baharu sedang giat dilaksanakan.
"Sehingga 24 September lalu sebanyak
2,234 petani baharu dengan kawasan seluas 3,865 hektar telah menyertai
projek estet padi ini.
"Pihak MADA berharap lebih ramai lagi
peserta akan terlibat dengan projek estet padi ini dalam usaha menambah
pendapatan mereka," katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang
Kawasan Alor Senibong di sini baru-baru ini.
Menurut Othman, sehingga musim 2/2014
sebanyak RM129.69 juta telah diagihkan kepada peserta projek merangkumi
projek bagi 2011,2012 dan 2013.
"Pemberian insentif ini merupakan salah satu manfaat dan galakan yang diberikan kepada petani untuk menyertai projek estet padi.
"Insentif ini diberikan kepada peserta
projek pada setiap musim penanaman selama lima musim berturut-turut
dengan kadar RM2,000 per hektar," jelasnya.
Tambah beliau, penyampaian insentif
projek estet padi bagi musim 2/2014 secara keseluruhannya berjumlah
RM19.81 juta yang melibatkan 5,857 peserta dengan keluasan projek 9,904
hektar.
Dalam pada itu, Othman memberitahu,
pihak MADA juga mengenal pasti kawasan sawah seluas 8,107 hektar yang
menghadapi masalah tanah jerlus di kawasan MADA.
"Antara tindakan diambil oleh MADA adalah pembatalan penanaman padi dan pemberian bantuan wang ihsan.
"Selain itu, MADA juga melaksanakan
pemulihan tanah jerlus dan penyediaan tanah sawah selepas program
pemulihan tanah jerlus," katanya.
Sumber : UTUSAN
Sumber : UTUSAN