Tumpuan Menarik Pelaburan Domestik Dan Asing

29tumpuan
ALOR SETAR 29 September– Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan kepada usaha menarik pelaburan domestik dan asing dalam apa jua sektor dalam usaha meletakkan Negeri Kedah sebagai sebuah destinasi pelaburan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi di negara ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri memerlukan suntikan pembangunan daripada Kerajaan Pusat bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri agar Negeri Kedah adalah setaraf dengan kemajuan negeri-negeri lain.

“Untuk merealisasikan hasrat berkenaan, Kerajaan Negeri memerlukan elemen pembangunan yang dinamik bagi meningkatkan lagi sektor ekonomi negeri ini. Alhamdulillah, beberapa projek keutamaan Kerajaan Negeri Kedah telah pun dibawa bentang ke peringkat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta melalui beberapa siri perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan,” katanya pada majlis perasmian Program Retreat Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas dan AkuJanji Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Menurutnya, antaranya ialah cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan pembangunan Lebuhraya Sungai Petani-Kulim di samping projek-projek keutamaan lain yang sedang dalam perhatian Kerajaan Negeri seperti pembangunan Bandaraya Getah atau Rubber City di Bukit Ketapang dan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kuala Kedah.

“Kerajaan Negeri turut mengatur langkah untuk menarik pelabur-pelabur asing ke Negeri Kedah dengan membuka kawasan perindustrian baru melalui penubuhan Taman Sains dan Teknologi Negeri Kedah serta Bandar Sains Perubatan di Bandar Baharu, selain memperluas kawasan industri sedia ada melalui peluasan kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang kini sedang memasuki fasa keempat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Seksyen Pembangunan Wilayah di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Haji Khazali Din dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din.

Sumber : UMTK