Sirkit Berkanu Antarabangsa

Oleh OPAT RATTANACHOT

KULIM 9 September - Pusat Rekreasi Air Deras Sungai Sedim akan dinaik taraf sebagai sebuah sirkit berkanu bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Zukafli Abaas berkata, buat masa ini, kerja-kerja membaikpulih kemudahan tersebut telah dijalankan secara berperingkat.

Katanya, langkah menaik taraf itu dibuat selepas hasil kajian menunjukkan aliran air di Sungai Sedim sangat sesuai untuk kegunaan aktiviti berkenaan.

"Persatuan telah dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Sungai Sedim untuk membuat kajian dan cadangan meningkatkan penarafan aliran sungai.

"Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan lokasi ini mempunyai kualiti air terbaik, malah muncul sebagai salah satu daripada tiga lokasi sungai terbaik untuk aktiviti berkanu,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Sungai Sedim di Kampung Sedim di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Abdul Khani Daud dan wakil-wakil 13 agensi kerajaan.

Zukafli berkata, dengan kemudahan terbaharu berkenaan, pihaknya menjangkakan dapat menarik minat orang ramai dari dalam dan luar untuk meningkatkan lagi aktiviti sukan berkanu di situ.

"Kita berharap dengan adanya kemudahan terbaharu ini, aktiviti yang lebih mencabar seperti berkanu Slalom yang sebelum ini dipertandingkan dalam sukan peringkat antarabangsa dapat dianjurkan di sini,'' katanya.

Sementara itu, Abdul Khani berkata, pihaknya mengalu-alukan perkembangan terbaharu itu kerana bukan sahaja menjadikan lokasi berkenaan tumpuan dalam kalangan pelancong tempatan tetapi juga dari luar negara.

"Pihak Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan Sungai Sedim dalam usaha mempromosi produk pelancongan yang terdapat sekitar Sungai Sedim dan Gunung Bintang serta beberapa kawasan rekreasi sekitarnya,'' katanya.

Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan memohon peruntukan tambahan kira-kira RM500,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan beberapa bangunan sekitar Kompleks Tree Top Walk yang kini berada dalam keadaan kurang memuaskan.

"Banyak lagi usaha yang perlu dibuat bagi memastikan kawasan ini menjadi tumpuan utama dalam kalangan pelancong. Namun begitu, usaha tersebut akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan kawasan ini muncul sebagai destinasi pelancongan ekosistem terbaik di Malaysia," katanya.

Sumber : UTUSAN