Sidam Kiri Tapak Lapangan Terbang Baru

11sidam
KULIM 11 September – Kerajaan Negeri sudah membentangkan cadangan mengenai pembinaan lapangan terbang baru di negeri ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 8 September 2014.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, mengikut perancangan lapangan terbang baru itu akan dibina di sebuah tapak di Sidam Kiri dan hanya mengambil masa selama 20 minit perjalanan dari Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim.

“Usul berkenaan sudah dibentangkan untuk perhatian UPEN, malah kami turut membincangkan cadangan pembinaan lapangan terbang baru itu secara terperinci dengan menteri bertanggungjawab. Kami berharap ia akan diluluskan Kerajaan Pusat, sekaligus menjadikan Kulim sebagai kawasan pembangunan baru di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kilang Abbott Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini berunding dengan beberapa pelabur berpotensi berhubung cadangan membangunkan Bandar Sains Perubatan Kedah di Bandar Baharu. Perancangan itu adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri di mana pembangunan Bandar Sains Perubatan Kedah akan dilakukan di atas tanah seluas 264 hektar di Bandar Baharu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain.

Sumber : UMTK