Paras Air Di Empangan Kedah Berada Pada Tahap Berjaga-jaga

4air
ALOR SETAR 4 September – Paras air di semua empangan utama Kedah secara purata mencapai 80 peratus, namun berada pada tahap berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun masih belum mencapai tahap membimbangkan, namun langkah berwaspada diambil dengan melakukan pemantauan secara berkala.

“Kita perlu berhati-hati dengan paras air sekarang kerana perlu menampung keperluan pengairan sawah padi tidak lama lagi. Walaupun ada kalanya berlaku hujan tetapi kawasan empangan tidak hujan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Dalam perkembangan lain, katanya, kadar non-revenue water (NRW) bagi negeri ini mencecah 48 peratus dan merupakan antara negeri tertinggi disebabkan masalah kerosakan dan kebocoran paip lama yang masih belum ditukar.

“Nilai itu adalah sangat tinggi apabila setiap 100,000 liter air yang disalurkan, 48,000 liter air hilang begitu sahaja. Kita sudah berbincang beberapa kali dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri serta Kerajaan Pusat supaya memberi peruntukan khas kepada negeri ini untuk menurunkan kadar NRW melalui proses selenggara paip serta meter air terutamanya di kawasan tekanan air rendah,” ujarnya.

Tambahnya, negeri ini antara negeri yang masih belum berhijrah kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia dan hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat berkaitan infrastruktur air mencecah lebih RM2 bilion.

Sumber : UMTK