ALOR SETAR 4 September – Kerajaan Negeri
bercadang untuk mengadakan program penghayatan semula sejarah di Kedah
melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal
Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB.
Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, program tersebut amat penting
kerana masih ramai tidak mengetahui sejarah peperangan di Kedah.
“Kita akan adakan program seperti ini
bagi memperingati semula perjuangan pahlawan Kedah yang telah berperang
dengan Siam pada tahun 1821 dan 1838. Masih ramai yang tidak tahu
perairan Sungai Kedah itulah kawasan pertempuran sekitar 200 tahun
lalu,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, Kedah adalah merupakan
negeri yang pernah berperang lebih daripada sekali berbanding negeri
lain. Beliau telah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan
mereka telah bersetuju untuk mengadakan program penghayatan sejarah
tersebut.
“Program ini akan dilaksanakan dalam
kawasan kubu di Kuala Kedah pada waktu malam supaya ia tidak Nampak
terlalu protocol. Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran dan
melahirkan suasana seolah-olah berada pada zaman dahulu,” ujarnya.
Tambahnya, dianggarkan seramai 1,019
orang telah terkorban dalam peperangan tersebut ketika mempertahankan
bumi Kedah daripada Siam.
Sumber : UMTK