Lampu Hijau Buat Tanjung Chali

9chali
ALOR SETAR 9 September – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tiada halangan untuk meluluskan perancangan pembangunan semula Dataran Tanjung Chali sebagai kawasan tarikan baru pelancong ke negeri ini.

Dato’ Bandar, Dato’ Mat Noh Ahmad berkata, secara dasarnya pihaknya bersetuju dengan cadangan tersebut setelah perbincangan bersama dibuat menerusi Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO).

“Bagaimanapun, kita masih memerlukan surat permohonan rasmi daripada sebuah syarikat swasta berkenaan mengenai cadangan tersebut. Selagi kita belum menerima permohonan itu, kita tidak boleh memberi kelulusan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, surat permohonan itu penting bagi membolehkan MBAS meneliti beberapa aspek berkaitan terlebih dahulu. Sekiranya permohonan tersebut menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan MBAS, pihaknya tiada masalah untuk meluluskannya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan perbincangan awal, proses penyelenggaraan dan menaiktaraf Dataran Tanjung Chali melibatkan kos sekitar RM6 juta. Ia melibatkan kos anggaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri. Pihaknya masih memerlukan permohonan rasmi daripada syarikat swasta berkenaan untuk dikenal pasti berapakah nilai kos yang sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan semula Dataran Tanjung Chali sebagai kawasan tarikan baru pelancong ke Negeri Kedah.

Tambahnya, selain menaiktaraf kawasan itu, beberapa restoran terapung juga akan dibina sebagai tarikan pelancong serta memperindah kawasan penempatan penduduk berhampiran.

Sumber : UMTK