Kutipan Zakat Di Kedah Meningkat RM7.83j

10zakat
Syeikh Ghazali Yaacob (kiri ) menyampaikan sumbangan kepada amil yang mengutip zakat fitrah di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 10 September - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) berjaya meningkatkan jumlah kutipan zakat fitrah kepada RM7.83 juta tahun ini berbanding RM7.45 juta pada 2013.

Setiausahanya, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata, peningkatan lebih RM370,000 itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran RM8 juta yang ditetapkan tahun ini.

"Kami yakin, tahap kesedaran umat Islam di negeri ini tentang kepentingan membayar zakat fitrah kian meningkat. Cumanya, sasaran itu mungkin gagal dicapai kerana mereka tidak membayar zakat kepada amil yang dilantik jabatan ini.

"Kutipan terbanyak dite-rima di daerah Kota Setar iaitu sebanyak RM1.89 juta, diikuti Kuala Muda dengan jumlah RM1.69 juta dan Kubang Pasu, RM966,868," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 307 amil yang bertugas di sekitar Kota Setar, Pendang, Yan, Padang Terap dan Kubang Pasu di Menara Zakat di sini hari ini.

Sekiranya kesemua 1.5 juta umat Islam di negeri ini membayar zakat kepada amil dilantik, jabatan itu dijangka mampu mengutip sebanyak RM10 juta zakat fitrah tahun ini.

Sementara itu katanya, sehingga awal September lepas, JZNK telah membina 120 rumah dengan harga RM40,000 seunit untuk didiami rakyat miskin.

"Keseluruhan pembinaan rumah itu menelan belanja RM4.8 juta. Selain itu, kami turut membaik pulih 192 rumah rakyat miskin yang menelan belanja RM2.3 juta sejak Januari lepas.

"Setakat ini masih ada 23 permohonan membina rumah yang sedang kami pertimbangkan. Bagi mereka yang layak dan berminat untuk mendapatkannya, permohonan masih dibuka buat masa ini," katanya.

Sumber : UTUSAN