Kesederhanaan Perlu Dipertahankan

7Kesederhanaan
ALOR SETAR 7 September - Pendekatan kesederhanaan yang diamalkan negara sejak sebelum Merdeka, perlu dipertahan kerana ia penting untuk mengimbangi fahaman ekstrem yang cuba menguasai naratif sosial negara.

Untuk itu, Kerajaan Persekutuan diharap mempertimbang semula hasrat menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan tiga akta baharu, selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat 1969.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Kedah, YAB, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ketika berucap sempena perasmian Persidangan UMNO Bahagian Jerlun yang disempurnakan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri kepada kontrak sosial dan Rukunegara, disusuli Dasar Ekonomi Baru sehingga terkini Gagasan 1Malaysia, Gerakan Moderat Sedunia dan Wasatiyyah, semuanya bertujuan mempertahan jalan tengah yang mengambil kira semua tanpa menidakkan mana-mana golongan masyarakat seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Katanya, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, dasar yang tidak ekstrem perlu dipertahankan agar tidak tercetus pertelingkahan yang merebak menjadi keganasan seperti yang berlaku di beberapa negara termasuk negara jiran.

"Ironinya, kita memerlukan dasar-dasar dan undang-undang yang kelihatan 'draconian' untuk melindungi pendekatan kesederhanaan serta undang-undang bersifat halangan yang mungkin kelihatan ekstrem sahaja dapat membendung ekstremisme," katanya.

Sumber : UMTK