Kerajaan Pusat Positif Tiga Projek Negeri

9kerajaan
ALOR SETAR 9 September – Kerajaan Pusat memberi respons positif terhadap proses rundingan awal berhubung tiga projek pembangunan yang mahu dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, tiga projek berkenaan ialah pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kedah yang baru di Kulim, projek menaiktaraf Jeti Kuala Kedah dan projek lebuhraya Sungai Petani Kedah Interland.

“Setakat ini, proses rundingan berjalan lancar dan kita menerima reaksi positif dari Kerajaan Pusat. Langkah seterusnya adalah untuk memperincikan lagi perbincangan mengenai pelaksanaan projek berkenaan sehingga mendapat kelulusan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menjelaskan cadangan pembinaan sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa yang dianggap bukan projek yang membazir, sebaliknya dapat membuka banyak peluang pekerjaan.

Tambahnya, idea untuk mewujudkan lapangan terbang itu tercetus hasil dari Makmal Transformasi Kedah yang diadakan pada 1 hingga 29 September 2013 yang bersetuju dengan keperluan projek berkenaan kerana akan berlaku kesesakan trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sumber : UMTK