Kerajaan Negeri Sanggup Jadi Orang Tengah

8orang
ALOR SETAR 8 September – Kerajaan Negeri sedia menjadi orang tengah antara pemilik tanah dan penduduk bagi menyelesaikan isu pengambilan tanah Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Sungai Petani.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun isu terbabit tidak melibatkan Kerajaan Negeri secara langsung, namun ia sanggup menjadi perantara agar kedua-dua pihak mencapai penyelesaian yang memuaskan hati masing-masing.

“Kita sedar ada antara penduduk yang sudah mendirikan rumah sejak tahun 1960-an di kawasan itu. Justeru, kita mempunyai beberapa cadangan untuk membantu, namun kerjasama dan kesabaran semua pihak amat diharapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, rundingan awal penduduk bersetuju menyerahkan tuntutan mereka melalui Kerajaan Negeri untuk diberikan kepada tuan tanah.

“Kita masih menunggu permohonan daripada mereka. Tanggungjawab menyediakan pampasan, tapak dan tempat tinggal lain bagi menggantikan rumah untuk penduduk berteduh adalah bawah tanggungan tuan tanah, bukannya Kerajaan Negeri. Kita hanya membantu bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, tuan tanah sepatutnya sedia maklum perkara itu kerana mereka membeli tanah yang masih didiami penduduk. Mereka perlu mencari jalan untuk membantu penduduk terlibat mendapat hak sewajarnya.

Sumber : UMTK