Kenal Pasti Lokasi Tapak Pasar Malam Bersesuaian

4air
ALOR SETAR 4 September – Kerajaan Negeri berusaha untuk mengenal pasti tapak bersesuaian di setiap daerah bagi dijadikan pasar malam yang boleh diterima peniaga dan pengguna.

Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, lokasi pasar malam itu tentunya tidak menyusahkan dan mengganggu keselesaan masyarakat setempat. Bagaimanapun tapak Pasar Malam Pantai Johor akan terus kekal di lokasi baru iaitu di Suka Menanti seperti yang diputuskan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Kita akan memastikan kemudahan di kawasan itu lengkap termasuk menjalankan kerja pembersihan longkang di situ untuk mengelakkannya dari menjadi tempat pembiakan nyamuk. Tapak pasar malam itu juga sudah dipecahkan kepada beberapa lot yang didaftar ke atas nama-nama penjaja. Nampaknya sambutan itu ada dalam kalangan mereka, namun kita perlu tingkatkan lagi promosi supaya pelanggan datang ke kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, pertemuan dengan kariah masjid dan penduduk setempat perlu dilakukan untuk mendapat maklum balas mereka berkenaan proses pemindahan pasar malam ke lokasi baru.

“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu mengambil tindakan memindahkan tapak pasar malam perlu memaklumkan dan mendapatkan persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) terlebih dahulu,” ujarnya.

Sumber : UMTK