Haji Yang Mabrur


2haji
ALOR SETAR 2 September – Setiap muslimin dan muslimat yang menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur yang jaminannya adalah syurga.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, ibadah Haji merupakan syariat Islam yang mengandungi pelbagai rahsia dan keberkatan.

“Haji mengajar umat Islam untuk bertoleransi dan saling bantu-membantu tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya. Hanya dengan sifat saling membantu akan wujud kesatuan yang kukuh di kalangan umat Islam dalam menghadapi kesulitan menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini,” titah Baginda pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji Musim 1435 Hijrah di Dewan Baiduri, Hotel Tabung Haji, di sini.

Baginda berharap agar umat Islam di negara ini terus bersatu hati dan saling membantu tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah. Umat Islam juga perlu prihatin terhadap apa yang dihadapi oleh saudara Islam di negara yang sedang bergolak dengan menghulurkan bantuan dan mendoakan kesejahteraan mereka.

“Umat Islam di negara ini harus bersyukur kerana hidup aman damai dan dapat melaksanakan amal ibadat tanpa halangan. Saya meminta kepada semua jemaah haji negara untuk mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara kita dan juga umat Islam yang kini berada dalam kesusahan dan kesengsaraan rakyat di Palestin, terutamanya semasa berada di Tanah Suci,” titah Baginda.

Baginda bertitah, setiap ibadah yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan. Ibadah haji juga menuntut pengorbanan menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram.

Berangkat sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK