Golongan Profesional Disarankan Sertai Sahabat Perpustakaan

7sahabat
ALOR SETAR 7 September – Golongan profesional dalam pelbagai bidang disarankan menjadi Sahabat Perpustakaan bagi membentuk masyarakat bermaklumat yang mampu berdaya saing bersesuaian dengan keadaan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, bagi menjadikan perpustakaan tetap relevan dalam masyarakat, kerjasama daripada pelbagai pihak perlu untuk memberi idea baru dalam melaksanakan aktiviti.

“Golongan profesional yang terlibat juga mampu menjadikan budaya tabiat membaca dalam semua peringkat masyarakat. Kita harap golongan profesional yang dinamik, proaktif dan berwawasan boleh membantu menyumbangkan idea dan tenaga kea rah mencapai objektif Sahabat Perpustakaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sahabat Perpustakaan Awam dan Memori Kemerdekaan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Jalan Kolam Air, di sini.

Menurutnya, pihaknya juga memerlukan sumbangan daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, orang-perseorangan dan sebagainya supaya pelbagai aktiviti yang terus menjadikan perpustakaan masih menjadi tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat.

“Kita juga merangka pelbagai aktiviti Sahabat Perpustakaan yang dibantu oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sebagainya,” ujarnya.

Sumber : UMTK