Dua Lagi PAWE Dibina Di Kedah

8dua
SURAYA YAACOB

Oleh OPAT RATTANACHOT

KULIM 8 September - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan membina dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negeri ini bagi meningkatkan keberkesanan menjaga kebajikan golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Mas­yarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, setakat ini, Kedah hanya mempunyai tiga pusat seumpama itu iaitu di Sungai Kob di sini, Sungai Petani dan Bandar Baharu.

Katanya, penubuhan pusat ber­kenaan dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi sebagai pusat sehenti bagi mengumpul golongan warga emas, di samping memastikan mereka berinteraksi di antara satu sama lain di situ.

"Setakat ini, seramai 2,300 warga emas telah mendaftar sebagai ahli di PAWE tersebut. Pusat ini menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah kelas tazkirah mingguan, membaca al-Quran, memasak dan kraf tangan serta aktiviti pertanian.

"Namun begitu, kita merasakan pusat seumpama ini perlu diperluaskan ke kawasan lain. Justeru, kerajaan negeri dengan kerjasama JKM mengambil keputusan menambah dua lagi PAWE di Pendang dan Alor Setar tidak lama lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Maj­lis Muhibbah PAWE 2014 peringkat negeri di Sungai Kob di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik; Pegawai Daerah Kulim, Datin Safiah Isa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Nordin Ayon.

Suraya berkata, berdasarkan matlamat asal, penubuhan PAWE bertujuan sebagai pusat sehenti bagi golongan anak-anak meninggalkan ibu bapa sementara waktu iaitu ketika mereka keluar bekerja.

Katanya, dengan kewujudan PAWE, sekali gus dapat mengurangkan budaya anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.

"Berbeza dengan rumah orang tua, PAWE diwujudkan supaya anak-anak yang keluar bekerja boleh meninggalkan ibu bapa di pusat tersebut dan mengambilnya semula selepas pulang bertugas.

"Ini bagi mengelakkan warga emas kesunyian ketika tinggal bersendirian di rumah," ujarnya.

Sumber: UTUSAN