Bawa Bekal Untuk Jimat

7bekal
ALOR SETAR 7 September – Amalan pelajar membawa bekal makanan ke sekolah dilihat mampu menangani masalah kos sara hidup meningkat yang membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bawa bekal memberi faedah kepada pengguna.

“Seminggu sekali ataupun dua minggu sekali bawalah bekal makanan ke sekolah masing-masing. Insya-Allah, ia mampu mengurangkan beban kewangan keluarga. Bayangkan, belanja harian dikeluarkan sekiranya memiliki lima anak. Namun, perbelanjaan keluarga dikurangkan, manakala kos sara hidup diringankan dengan kempen ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Bawa Bekal Ke Sekolah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Uda, di sini.

Katanya, kempen sukarela sedemikian bertepatan dalam usaha mendidik pengguna berjimat cermat, malah sebagai langkah penjimatan wang saku harian pelajar.

Menurutnya, amalan membawa bekal perlu diterapkan dari peringkat muda bagi membolehkan pelajar merancang dan mengurus perbelanjaan harian secara berhemah.

Sumber : UMTK